Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perspektif masyarakat Melayu/Islam meluas dan peka terhadap pelbagai isu

Masyarakat Melayu/Islam jelas mencapai tahap pemikiran lebih maju berbanding dahulu, dengan kian ramai peka terhadap pelbagai isu meruncing Singapura termasuk tentang isu-isu ekonomi, iklim dan identiti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam jelas mencapai tahap pemikiran lebih maju berbanding dahulu, dengan kian ramai peka terhadap pelbagai isu meruncing Singapura termasuk tentang isu-isu ekonomi, iklim dan identiti.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli merumuskan demikian kepada media semasa menggulung dialog pasca Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) ketiga anjuran M³ pagi tadi.

Dalam dialog tersebut, Encik Masagos dan Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat berbincang dengan sekitar 200 anggota masyarakat untuk bertukar-tukar pandangan tentang rancangan-rancangan Pemerintah yang dibentangkan dalam NDR bulan lalu.

USUL PRASEKOLAH DIWAJIBKAN SEPERTI PENDIDIKAN SEKOLAH RENDAH

Dalam sesi dialog itu, para peserta rata-rata mengalu-alukan sokongan Pemerintah bagi memastikan kos pendidikan terus dimampui rakyat Singapura.

Ini termasuk, langkah menaikkan had pendapatan kasar isi rumah daripada $7,500 kepada $12,000 bagi membantu lagi 30,000 keluarga, selain memperuntukkan lebih banyak dermasiswa bagi para pelajar posmenengah.

Meski gembira bahawa kos pendidikan dijaga sehingga keluarga kurang mampu membayar yuran prasekolah serendah $3 sahaja, ada peserta yang mahukan langkah lebih berani diambil.

Iaitu, menyarankan agar pendidikan prasekolah juga diwajibkan di bawah Akta Pendidikan Wajib, sebagaimana ditetapkan bagi pendidikan sekolah rendah.

"Saya rasa umur yang paling mantap untuk mempelajari ilmu baru adalah ketika anak-anak masih kecil lagi, seawal usia tiga tahun. Jadi bagus kalau semua dapat melakukan itu," cadang anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Limbang, Syed Mohamad.

IDENTITI MASYARAKAT MELAYU MENYERLAH, DIKAGUMI

Pelbagai isu lain turut dibincangkan dalam sesi berkenaan, termasuk tentang bagaimana identiti masyarakat Melayu/Islam Singapura begitu kukuh.

"Tidak kira anda Jawa atau Boyan, kita kini semua dikenali sebagai orang Melayu, seperti yang dikatakan oleh PM Lee. Kita mengetepikan semua perbezaan, hidup bersatu dan mengecapi kejayaan. Dan pencapaian kita dikagumi kaum lain," ulas Encik Masagos tentang ucapan PM Lee di hadapan semua peserta.

Perbincangan rancak tentang pelbagai isu, tambah Encik Masagos, juga satu cerminan betapa pemikiran orang Melayu/Islam semakin maju kerana peka terhadap isu-isu semasa.

"(Masyarakat Melayu) bukan sahaja membahaskan tentang cabaran dalam kehidupan seharian tapi juga masalah-masalah yang menjejas ekonomi kita, perubahan iklim dan juga identiti kita sebagai orang Melayu/Islam di Singapura," jelas beliau lagi.

MELAYU BOLEH LAKUKAN LEBIH BANYAK LAGI TANGANI PERUBAHAN IKLIM

Semasa isu perubahan iklim dibahaskan pula, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, menekankan bahawa pelbagai langkah diambil oleh pemerintah sahaja - seperti membelanjakan $100 bilion untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan daripada perubahan iklim - tidak mencukupi jika rakyat tidak memainkan peranan mereka.

"Saya fikir tindak lanjut kami sebagai Melayu/Islam boleh diperbaiki lagi. Umpamanya kalau kita prihatin tentang penggunaan air dalam botol plastik," kata Encik Masagos.

Memainkan peranan memelihara alam sekitar juga dapat menjimatkan kos. Encik Masagos memberi contoh, kita tidak perlulah asyik membeli minuman dalam botol yang berharga sekitar $1, sedangkan kos air yang diminum seseorang dalam tempoh setahun hanya menelan kos kurang $2 sahaja.

"Jika isu ini tidak dibincangkan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan, saya juga kurang tahu kalau perkara ini sememangnya sesuatu yang perlu ditangani," kata Cik Nur Aqilah Selamat, seorang guru pelatih yang menghadiri sesi dialog pagi tadi.

MASAGOS AJAK MASYARAKAT AMAL 3 'S' MENITI USIA SENJA

Menjawab keprihatinan mengenai langkah pemerintah menaikkan umur persaraan dan kadar sumbangan CPF pula, Encik Masagos dan Encik Saktiandi memberi jaminan semua itu demi menjaga kehidupan rakyat sedang mereka meniti usia senja.

Dalam ucapan NDR 18 Ogos lalu, PM Lee berkata Singapura akan menaikkan usia persaraan dan usia pengambilan semula pekerja, masing-masing kepada usia 65 dan 70 tahun, menjelang 2030.

Encik Masagos dan Encik Saktiandi bertemu dengan sekitar 200 anggota masyarakat bincang isu NDR2019. 

Kadar sumbangan CPF pula akan dinaikkan bagi pekerja yang berusia 55 tahun ke atas.

Menggesa agar masyarakat Melayu bersikap terbuka, Encik Masagos berkongsi 3 'S' demi mengajak mereka menjalani penuaan aktif.

Pertama adalah untuk 'Siap' menyumbang secara berterusan kepada masyarakat. 'S' kedua pula adalah 'Sikap' di mana kita harus bijak mengurus diri. Akhir sekali, elak menjadi 'Sepi' agar ada matlamat hidup dan dorongan untuk terus mencapai kemajuan dalam hidup.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan