Skip to main content

Singapura

Perspektif baharu bagaimana bahasa Melayu terus jadi sumber kekuatan, keyakinan budaya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mahu menawarkan perspektif baharu tentang bagaimana bahasa ibunda boleh terus menjadi sumber kekuatan dan keyakinan budaya dalam dunia yang semakin berkembang.

Demikian gagasan Pengerusi baharu Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Anggota Parlimen GRC Nee Soon itu baru-baru ini mengambil alih jawatan Pengerusi MLLPC daripada mantan menteri, Dr Mohd Maliki Osman, yang menggalas tanggungjawab itu sejak 2020.

Beliau berkata demikian di acara Fiesta Bahasa 2025 yang diadakan di Anjung Wisma Geylang Serai pada Sabtu (26 Jul).

"MLLPC kekal komited dalam mewujudkan pelbagai platform yang menarik untuk menyemarakkan lagi keseronokan dalam pelajaran bahasa Melayu di luar bilik darjah.

"Kami juga ingin menjadikan bahasa Melayu lebih hidup lebih penuh emosi lebih berakar budaya dan lebih relevan dalam kehidupan seharian masyarakat kita terutamanya bagi kalangan pelajar pelajar kita.

"MLLPC juga akan terus memanfaatkan teknologi teknologi digital dengan lebih strategik lagi dengan secara lebih fokus bagi menyokong pembelajaran Bahasa Melayu kita," ujar Dr Syed Harun lagi, yang bakal dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan pada Oktober ini.

FIESTA BAHASA 2025 RAIKAN ULANG TAHUN KE-10

Fiesta Bahasa kali ini ada edisinya yang ke-10.

Ia dihadiri ratusan pengunjung termasuk para pelajar, guru-guru dan anggota masyarakat am yang bersesak-sesak di Anjung WGS.

Kesemua 11 reruai yang dikendalikan oleh para pelajar sekolah, maktab rendah dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) disediakan.

Fiesta edisi tahun ini membawa tema ‘Mencetus Pemikiran, Meneraju Perubahan’.

Menurut Dr Syed Harun, tema ini dipilih khas demi menekankan peranan bahasa bukan sekadar sebagai alat komunikasi tetapi juga sebagai pemangkin kepada pemikiran kritis dalam era digital sebegini.

Dalam ucapannya, Dr Syed Harun menegaskan peri pentingnya masyarakat mencipta persekitaran pembelajaran bahasa Melayu yang menyeronokkan.

"Kita akur bahawa pengaruh media sosial, sebagai contoh, dan juga perubahan landskap penggunaan bahasa ibunda berdepan dengan cabaran-cabaran tertentu terutamanya dalam kalangan generasi muda," kata beliau.

"Bahasa merupakan asas kepada proses kita berfikir. Bahasa juga membentuk cara kita mentafsir dunia menyampaikan hujah dan memahami pandangan yang berbeza. Bahasa juga mampu mengubah persepsi tidak membina nilai dan juga mendorong tindakan yang progresif dalam masyarakat."

KEGIATAN BAHARU - ORANG SG 2025

Sempena meraikan sedekad kegiatan Fiesta Bahasa, beberapa kegiatan diadakan buat julung-julung kali.

Ini termasuk peraduan Menulis Cerpen, bertemakan Orang Singapura 2025, yang memerlukan para peserta mencipta cerpen berdasarkan tema lagu pilihan komposer muzik tempatan terkenal, Almarhum Zubir Said.

Peraduan itu menerima lebih 550 penyertaan daripada pelajar sekolah rendah hingga prauniversiti.

Seramai 30 pelajar muncul sebagai pemenang, termasuk Aydrean Kasyief Burhanudin dari Maktab Rendah Yishun Innova.

Aydrean berkata rahsia di sebalik cerpennya datang daripada lagu Cinta Pergi Jauh gubahan Zubir Said.

Tertarik dengan gambaran alam yang ada dalam lagu tersebut, Aydrean menghidupkan suasana itu melalui penulisan.

"Saya memasukkan unsur-unsur alam seperti suasana hutan, bunyi burung berkicau serta kehadiran rama-rama dan bunga bagi mewujudkan latar yang jelas dan menyerlah yang mencerminkan keindahan dan ketenangan yang tersirat dalam lagu itu," cerita pelajar berusia 17 tahun itu.

PERTANDINGAN CIPTA KATA

Satu lagi kegiatan yang menjadi tumpuan acara itu ialah Pertandingan Cipta Kata, yang diadakan buat pertama kalinya juga.

Secara keseluruhannya, lebih 130 pelajar dari 66 sekolah rendah dan menengah menyertai pertandingan membentuk perkataan Melayu dalam grid huruf yang bertujuan memperkasa vokabulari dan ejaan mereka.

Dr Syed Harun menarik perhatian, pengalaman seperti ini membantu membentuk sikap yang positif yang berpanjangan terhadap bahasa ibunda Melayu kita.

"Ia juga memberikan keyakinan kepada pelajar bahawa bahasa Melayu ini bahasa yang hidup, relevan, yang ekspresif dan juga yang dinamik.

"Lebih penting lagi acara seperti Fiesta Bahasa mengukuhkan tanggapan bahawa bahasa Melayu tidak terhad kepada bilik darjah semata mata. Sebaliknya, kita terus berkembang dalam kehidupan seharian dalam ekspresi kontemporari."
Sumber : BERITA Mediacorp/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita