Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Personaliti YouTube Dee Kosh dijangka mengaku bersalah atas kesalahan seksual; mengeksploitasi budak bawah umur

Anggaran Waktu Membaca:
Personaliti YouTube Dee Kosh dijangka mengaku bersalah atas kesalahan seksual; mengeksploitasi budak bawah umur

(Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 25 Jan 2022 12:23PM Dikemas Kini : 25 Jan 2022 03:16PM

SINGAPURA: DJ radio dan personaliti YouTube Dee Kosh mengaku bersalah atas pelbagai kesalahan berkaitan seks, menurut peguamnya kepada mahkamah daerah hari ini (25 Jan), lima bulan selepas dia didakwa. 


Dee Kosh atau nama sebenarnya, Darryl Ian Koshy, yang berusia 33 tahun berdepan dengan tujuh tuduhan - tiga tuduhan berkomunikasi dengan budak bawah umur untuk mendapatkan layanan seks, satu tuduhan mengeksploitasi budak bawah umur, satu tuduhan memili vido-video lucah dan dua tuduhan membuat video-video lucah.

Dee Kosh dibela oleh peguam daripada firma Eugene Thuraisingam LLP termasuk Encik Johannes Hadi dan Encik Joel Wong. 

Encik Wong memberitahu Hakim Daerah Terence Tay hari ini (25 Jan) bahawa pihak pendakwa sudah bersiap sedia dan arahan Koshy adalah dia "sudah bersedia untuk mengambil tindakan tertentu". 

Encik Wong meminta tempoh 10 hingga 12 minggu untuk menyiapkan kenyataan fakta yang dipersetujui, sambil menambah bahawa ia "mengandungi beberapa kerumitan, maka itu ia mungkin akan mengambil sedikit masa untuk disiapkan". 

Pendakwa polis berpendapat tempoh yang diminta itu "agak lama" dan Hakim Daerah Tay bersetuju dengan pandangan tersebut. Hakim kemudian menetapkan 10 Mac sebagai tarikh untuk Koshy mengaku bersalah. 

Koshy tidak hadir di mahkamah kerana tidak diperlukan untuk berbuat demikian. Dia dibebaskan dengan ikat jamin S$20,000. 

Koshy mendapat perhatian ramai di media sosial selepas dituduh  meminta gambar bogel dan layanan seks daripada para remaja terbabit. Dia kemudian diberkas dan didakwa kira-kira setahun selepas dakwaan-dakwaan tersebut ditimbulkan. 

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Koshy dipercayai cuba meminta seorang budak lelaki berusia 15 tahun untuk melakukan perbuatan tidak senonoh antara Mac dengan Jun 2018, dengan melakukan perbuatan seks ke atasnya dan sebagai ganti, budak lelaki itu akan diberi upah. Tiada maklumat lain diberikan.

Secara berasingan, Koshy juga dituduh menawarkan sehingga S$1,000  kepada dua remaja lelaki berusia 17 tahun untuk melakukan perkara yang serupa pada Julai 2018 dan Ogos 2020.

Selain itu, dia juga didakwa menawarkan sehingga sebanyak S$2,000 kepada seorang lelaki berusia 16 tahun supaya dapat melakukan aksi seksual terhadap lelaki tersebut. 

Dia juga dipercayai memiliki 23 video lucah di flatnya yang terletak di Woodlands Street 41 pada 5 Oktober tahun lalu dan menghasilkan dua video bertajuk "00001" dan "00007" antara 2016 hingga 2017. 

Pihak polis pada awalnya menyatakan bahawa sesetengah video yang dipercayai dimiliki oleh Koshy menunjukkan dia melakukan aksi seks dengan orang lain dan dirakam tanpa pengetahuan mereka. 

Nama para mangsa tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah untuk melindungi identiti mereka. 

Koshy menjadi terkenal selepas melancarkan saluran YouTubenya pada 2011 di mana dia kini mempunyai lebih 365,000 pengikut. Selain tugasnya sebagai seorang DJ di Power 98, dia juga menjadi hos bersama bagi rancangan sebelah malam untuk stesen radio 987FM pada 2013. 

Jika didapati bersalah di bawah  Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA) kerana melakukan eksploitasi seksual ke atas budak bawah umur, Koshy boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga $10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sekiranya didapati bersalah kerana berurusan dengan tujuan untuk mendapatkan layanan seks daripada budak bawah umur, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun dan didenda. 

Hukuman terhadap kesalahan membuat filem lucah adalah hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda antara S$20,000 dengan S$40,000. Hukaman bagi kesalahan memiliki filem lucah adalah hukuman penjara maksimum selama enam bulan, denda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sekali. 
 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan