Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PERSISI kumpul dana hampir S$17,000 bantu belia kurang berkemampuan ceburi bidang silat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) akan memperuntuk sekurang-kurangnya S$16,800 dana yang diterima bagi membantu belia daripada keluarga-keluarga memerlukan untuk menceburkan diri dalam sukan silat. 

Jumlah dana tersebut diraih menerusi satu usaha pengumpulan dana secara online yang dinamakan 'Sponsor a Kid' anjuran persatuan itu.  

Dalam tempoh tujuh minggu, PERSISI berjaya mengumpulkan sekitar S$8,400.

Lembaga Tote yang menyokong usaha tersebut akan memadankan dana yang dikumpul PERSISI bagi setiap dolar yang disumbang orang ramai sehingga mencapai jumlah S$250,000. 

Usaha pengumpulan dana itu dimulakan dengan tujuan memberikan lebih banyak peluang kepada golongan remaja daripada keluarga-keluarga kurang berkemampuan untuk bergiat dalam pelbagai jenis sukan termasuk silat.

Usaha PERSISI itu akan membantu para belia berumur antara 13 hingga 17 tahun dan akan mula diagihkan pada tahun depan. 

'

SEDIAKAN BANTUAN KEWANGAN GALAK ANAK-ANAK MUDA CEBURI SILAT PADA TAHAP LEBIH SERIUS

Menerusi kempen itu, PERSISI menunjukkan komitmen mereka untuk menyediakan peluang untuk semua orang tidak kira latar belakang mahupun kedudukan kewangan keluarga mereka. 

Pegawai Eksekutif Persekutuan Silat Singapura (PERSISI), Dr Sheik Alau'ddin Yacoob Marican berkata: "Kita ingin membuat sokongan secara rasmi kepada anak-anak muda yang ingin menceburi sukan seperti silat. Sebelum ini, kita juga menyediakan bantuan kewangan kepada para pesilat muda  termasuk menyediakan seragam silat ataupun membenarkan mereka menghadiri kelas secara percuma." 

Sebagai permulaan, PERSISI tidak menetapkan jumlah pesilat muda yang akan menerima bantuan menerusi projek 'Sponsor A Kid' itu. 

'

Dr Sheikh Alau'ddin berkata: "Menerusi projek ini, PERSISI akan memberikan mereka bantuan dari segi produk-produk. Bukan semua daripada mereka akan menerima bantuan kewangan. Kita tidak boleh melakukan itu kerana jumlah wang yang dikumpul juga tidak banyak."

"Namun, apa yang mungkin kita boleh lakukan adalah untuk memansuhkan yuran keahlian. Sekiranya lebih banyak dana dikumpulkan, PERSISI juga boleh membantu para pesilat itu dari segi pembayaran bagi insurans untuk sukan ini." 

Bagi para pesilat yang akan menerima bantuan kewangan pula, PERSISI akan membiayai sekurang-kurangnya S$150 bagi kos-kos yang perlu ditampung mereka.

Ini termasuk kos pengangkutan ke tempat latihan, makanan mahupun untuk keperluan sekolah dan peribadi. 

"Dari sudut pandangan menceburi silat secara profesional, mereka mungkin memerlukan sekitar S$300 setiap bulan. Paling rendah yang diperlukan sekitar S$150. Ini termasuk kos pembiayaan pengangkutan, elaun untuk makanan. Untuk para pesilat lebih profesional, mereka memerlukan makanan yang berlainan juga misalnya pisang. Meskipun nampak makanan asas tetapi mahal juga," jelas Dr Sheikh Alau'ddin. 

GILAP ANAK-ANAK JADI JUARA MASA DEPAN DAN ANGGOTA MASYARAKAT YANG BERJAYA

Menurut Dr Sheik Alau'ddin, menyertai sukan secara profesional juga dapat bantu dalam sebahagian usaha pembangunan belia secara tidak langsung. 

Dr Sheik Alau'ddin berkata: "Jadi, kita rasa bahawa ini penting, untuk memberikan peluang kepada anak-anak muda dan pada masa yang sama, berikan mereka sokongan untuk mereka menjadi juara."

"Tujuannya adalah kita perlu sentiasa menggalak golongan pesilat muda ini, agar satu hari nanti, mereka akan jatuh cinta kepada silat dan akan menjadikannya sebagai kerjaya. Saya rasa ini akan dapat membantu dunia silat Singapura pada masa jangka panjang," tambah beliau lagi. 

Beliau juga berharap bahawa dengan adanya bantuan disediakan, ia akan mengurangkan kerisauan anak-anak muda mengenai tekanan kewangan yang mungkin mereka hadapi, sekali gus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan mereka dalam sukan silat untuk jangka masa panjang. 

"Menerusi kempen ini, kita juga berharap anak-anak muda akan berusaha untuk memberikan terbaik dan mencari inspirasi daripada juara-juara silat negara kita sekarang ini termasuk Nurul Suhaila Mohd Saiful, Muhammad Iqbal Abdul Rahman atau Sheikh Farhan Sheikh Alau'ddin," kata beliau. 

Sekiranya kempen bantuan kewangan itu akan berkembang pada masa depan, Dr Sheikh Alau'ddin mengatakan bahawa kepelbagaian wadah bantuan juga akan ditambah. 

Dr Sheikh Alau'ddin berkata: "Kita juga ingin anak-anak muda kita menjadi berjaya pada masa depan, luar daripada bidang silat. Sekiranya PERSISI dapat mengumpul lebih banyak dana pada masa depan, kita akan cuba membantu anak-anak muda ini termasuk dalam pendidikan mereka. Kita juga ingin anak-anak muda kita masuk ke universiti dan PERSISI akan berusaha membantu dari segi itu."

Orang ramai yang ingin membuat kepada usaha pengumpulan dana PERSISI boleh melakukannya melalui pautan berikut https://www.giving.sg/singapore-silat-federation/sponsor_a_kid_to_learn_silat_and_sport 

Usaha pengumpulan dana akan berakhir pada tengah malam Ahad (25 Dis). 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan