Skip to main content

Singapura

PERSISI hidupkan semula Piala Presiden buat pesilat cilik berusia 6-11 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Jan 2026 05:58PM Dikemas Kini : 02 Feb 2026 01:58PM
SINGAPURA: Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) baru-baru ini kembali menganjurkan Piala Presiden, satu kejohanan yang memberi peluang kepada para pesilat tempatan untuk bertanding di peringkat nasional.

Kali terakhir kejohanan itu dianjurkan ialah lebih dua dekad lalu, pada tahun 2005, ketika ia menjadi medan persaingan bagi pesilat berusia antara 17 hingga 35 tahun.

Bagi edisi kali ini, tumpuan diberikan kepada pesilat cilik berusia antara enam hingga 11 tahun, dengan hampir 360 peserta daripada 20 perguruan mengambil bahagian.

PERSISI percaya pesilat dalam lingkungan usia tersebut mempunyai peluang yang terhad untuk bertanding di peringkat nasional. Maka Piala Presiden dihidupkan semula dan disesuaikan untuk memenuhi keperluan itu.

"Kita mengharapkan kita juga dapat berkongsi nilai budaya (kepada mereka) yang memang sepatutnya ada dalam silat sama ada berbentuk sukan ataupun berbentuk tradisional," ulas Pengerusi Pertandingan dan Ahli Lembaga PERSISI, Encik Isiah Majid.

Langkah ini juga, tambah beliau, akan memudahkan lagi PERSISI mahupun perguruan-perguruan di Singapura "dapat mencari bakal pewaris atau wakil negara suatu hari nanti".

Kejohanan berlangsung dari Jumaat (16 Jan) hingga Ahad (18 Jan).
Related article image
(Gambar: Muhd Jailani) 
PENTINGNYA SEDIAKAN PLATFORM BUAT PESILAT CILIK

Penganjuran Piala Presiden bagi pesilat cilik seawal usia enam tahun mendapat sokongan atlet negara, Muhammad Nurshahfareeq Shahrudin.

Beliau mula menceburi silat sejak berusia empat tahun. Kini pada usia 21 tahun, beliau sudah berjaya mengharumkan nama negara di Sukan SEA.

"Untuk saya, pertandingan seperti Piala Presiden memang banyak membantu saya sejak dari kecil. Dari situlah seorang atlet belajar pelbagai suasana pertandingan sebenar dan cara kawal tekanan dan bagaimana untuk sentiasa perbaiki diri," kongsi Nurshahfareeq.

Beliau menambah, pendedahan awal dalam pertandingan membantu membentuk disiplin dan kematangan atlet, dengan sokongan jurulatih serta sistem yang kukuh memainkan peranan penting.

"Peranan jurulatih dan sistem sokongan memang sangat besar. Dari awal lagi, mereka bukan sahaja ajar cara untuk melancarkan teknik, tapi mereka ada nilai disiplin," ujarnya.

APA KATA PESERTA?

Antara peserta dalam Piala Presiden 2026 ialah Nur Nawal Husna Mohammed Izwanizam, 11 tahun, dari perguruan Sendeng Seturut.

Dia begitu bersemangat untuk bertanding sekalipun dia perlu berlatih beberapa kali seminggu dan mengorbankan masa semasa cuti sekolah.

"Saya belajar macam mana untuk tendang, tumbuk dan jatuhkan lawan dan saya ada kawan-kawan yang memberi saya semangat untuk bertanding," kata Nawal.

Dia turut berkongsi bahawa silat mendidiknya tentang tanggungjawab, selain mendorongnya membantu rakan-rakan yang lebih muda dalam pergerakan seni dan pertandingan.
Related article image
(Gambar: Muhd Jailani)
Piala Presiden 2026 membuka tiga kategori, iaitu Singa (6-7 tahun), Macan (8-9 tahun) dan 'Pre-Teen' (10-11 tahun), merangkumi acara tanding serta seni seperti Tunggal, Ganda dan Regu.

Perguruan Sendeng Belalang muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita