Persidangan praperbicaraan Ong Beng Seng dijadual semula
Persidangan pra-perbicaraan bagi kes hartawan hartanah Ong Beng Seng dijadualkan semula ke minggu hadapan, selepas satu permohonan dibuat untuk menangguhkannya.
Hartawan hartanah Ong Beng Seng tiba di Mahkamah Negara di Singapura pada 4 Oktober 2024. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Warga Malaysia berusia 79 tahun itu, yang dikenali kerana membawa perlumbaan Formula 1 ke Singapura pada 2008, pertama kali didakwa dengan dua pertuduhan pada Oktober 2024. Kedua-dua pertuduhan itu berkaitan dengan dua dakwaan yang diakui oleh mantan menteri pengangkutan S Iswaran.
Ong sepatutnya hadir di mahkamah pada pagi Rabu (23 Jul) tetapi prosiding itu kini ditangguhkan ke 28 Julai. Berdasarkan rekod mahkamah, satu permohonan dikemukakan untuk menjadualkan semula prosiding tersebut dan permohonan itu sudah diluluskan.
Pihak yang membuat permohonan itu tidak dinyatakan. Mediacorp sudah menghubungi firma perhubungan awam Ong serta Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Perkembangan terkini ini menyusuli persidangan pra-perbicaraan pada 8 Julai yang turut membawa kepada satu lagi penangguhan, membolehkan “kedua-dua pihak mengemukakan dokumen yang sudah disemak semula”, susulan kenyataan daripada badan kehakiman bahawa kedua-dua pihak ingin mengemukakan hujahan lanjut berhubung hukuman.
Persidangan pra-perbicaraan ialah satu prosiding di hadapan hakim tanpa kehadiran umum atau media, di mana kedua-dua pihak membincangkan perkara-perkara berhubung pentadbiran.
Ia boleh melibatkan berhubung apa jua isu yang perlu diselesaikan sebelum kes dibawa ke mahkamah terbuka, dan tidak semestinya menandakan bahawa perbicaraan akan diadakan walaupun namanya adalah sedemikian. Lazimnya, sesuatu kes akan melalui beberapa pusingan persidangan pra-perbicaraan sebelum dibawa ke mahkamah terbuka untuk pengakuan bersalah atau perbicaraan.
Ong menghadapi dua pertuduhan. Pertuduhan pertama adalah kerana bersubahat dengan Iswaran untuk menghalang keadilan dengan membantunya membuat bayaran S$5,700 kepada Singapore GP bagi tiket penerbangan kelas perniagaan dari Doha ke Singapura.
Bayaran tertangguh itu didakwa hanya dibuat beberapa bulan selepas penerbangan tersebut, dan selepas Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menemui nama Iswaran dalam senarai penumpang semasa menyiasat satu kes berasingan.
Pertuduhan kedua pula adalah kerana menghasut Iswaran untuk mendapatkan penerbangan dan penginapan hotel yang ditaja oleh Ong, biarpun Iswaran mengetahui bahawa Ong mempunyai urusan perniagaan berkaitan dengan tugas rasminya.
Ong sebelum ini dijadualkan untuk mengaku bersalah pada 3 Julai.
Sebelum ini, Ong merupakan pengarah urusan Hotel Properties Limited (HPL), yang menyatakan dalam satu pengumuman kepada Bursa Singapura (SGX) bahawa Ong akan mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang keadilan, dan bersetuju agar pertuduhan kedua dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Dia meletak jawatan pada 29 April atas sebab kesihatan, menurut syarikat itu.
Jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Iswaran dalam mendapatkan barangan berharga, Ong boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Jika disabit kesalahan menghalang keadilan di bawah Seksyen 204A, Ong boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Iswaran sudah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan pada Oktober 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.