Skip to main content

Singapura

Persidangan Kedamaian SG 2023 himpunkan peserta berbilang agama dan negara

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dan agama untuk bersama-sama memikirkan cara meneruskan usaha menjaga kedamaian dan meluaskan lagi kefahaman silang agama.

Itu antara tujuan Persidangan Kedamaian Singapura 2023 yang kembali diadakan pada skala besar sejak pandemik.

Related article image

Pelbagai tema dikupas para hadirin termasuk berkaitan hubungan silang agama, kesejahteraan mental dan kepimpinan wanita menerusi perbincangan panel yang melibatkan golongan profesional dan belia.

Para peserta juga berkesempatan mengikuti ceramah daripada Pejuang Silang Agama dan Anggota Majlis Pertubuhan Antara Agama (IRO) Singapura, Imam Habib Syed Hassan Al-Attas.

Beliau menyentuh tentang persamaan dalam ajaran pelbagai agama.

"Ajaran utama setiap agama adalah untuk menjadi insan yang baik. Kebaikan dalam memberi kasih sayang yang terhebat kepada orang lain. Dalam Islam, anda juga memenuhi keperluan orang lain," kongsi Imam Habib Hassan.

"Kerana itulah ajaran-ajaran semua agama, panduan untuk menjadi insan yang baik," tambah beliau.

Berjudul 'Connecting for P.E.A.C.E', persidangan itu ialah hasil kerjasama badan masyarakat pelbagai agama termasuk Pusat Harmoni, Heartfulness Limited Singapore, The Taoist Mission, International Multicultural (IMC) Organization dan Khalsa Dharmak Sabha Gurudwara.

BAWA MASYARAKAT BERSAMA, LUASKAN KEFAHAMAN AGAMA

Related article image

Menteri Negara Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang turut hadir di acara itu siang tadi memuji usaha ini bagi memperdalam hubungan silang agama.

"Acara seperti dialog dan juga persidangan pada hari ini memberikan kita satu aspek di mana kita boleh mendalami usaha ini, di mana kita bersama-sama datang daripada pelbagai agama bangsa, memikirkan bagaimana kita boleh meneruskan usaha ini dan juga sekaligus meluaskan kefahaman dari segi agama dan bangsa yang berbilang," kata Dr Faishal yang juga merupakan Menteri Negara bagi Ehwal dalam Negeri.

"Dalam perjalanan ini, kita juga membangunkan nilai-nilai yang diterapkan dalam kehidupan kita, bukan sahaja dalam memahami dan juga menghormati antara satu sama lain tetapi menjadi seorang yang mungkin boleh mempunyai pendirian yang mantap tentang aspek ini," tambah beliau.

Related article image

Dr Faishal juga berharap semua pihak dapat memainkan peranan untuk menjaga keharmonian kaum yang dinikmati kini.

"Memelihara perpaduan sosial akan sentiasa menjadi usaha berterusan. Ia juga memerlukan usaha tetap dan perlahan-lahan untuk mengekalkan keharmonian kaum dan agama dalam masyarakat kita," ucap Dr Faishal.

"Ia juga memerlukan penyertaan individu dari pelbagai segmen masyarakat dan bukan sahaja pemerintah," tambahnya.

Dalam pada itu, Dr Faishal juga menarik perhatian kepada bagaimana Singapura boleh menjadi contoh keharmonian kaum bagi negara-negara berbilang kaum yang lain.

"Dengan adanya kerja-kerja baik yang kita lakarkan, mereka di luar negara pun dapat mengambil peluang ini untuk mempelajari daripada kita. Mereka pun tahu Singapura adalah tempat di mana bukan sahaja kita hidup berbilang bangsa tetapi bagaimana mereka boleh menimba ilmu," ujarnya.

Acara itu turut dihadiri para serta dari luar negara termasuk Australia dan Malaysia.

Secara keseluruhannya, persidangan itu dihadiri 180 peserta.

KONSEP KEDAMAIAN BOLEH DIBINCANGKAN DALAM PELBAGAI SUDUT

Perbincangan tentang kedamaian itu juga relevan dengan konteks kehidupan dan pengalaman masyarakat Singapura.

Demikian antara aspek persidangan itu yang menonjol bagi Ketua Pusat Harmoni, Ustazah Liyana Rosli Asmara.

Related article image
"Secara lazimnya kalau kita katakan konsep kedamaian biasanya kita hanya mahu membincangkan konsep kedamaian dari sudut peperangan ataupun potensi ada konflik tapi pada hari ini, konsep kedamaian yang kita mahu membincangkan ialah dari sudut apa yang kita alami dalam kehidupan seharian kita di Singapura," kongsi Ustazah Liyana.

"Sebagai contoh, kita lihat bagaimana kita berbicara di tempat kerja untuk mengelakkan konflik. Bagaimana sebagai seorang yang mempunyai nilai-nilai agama dan juga nilai-nilai sekular yang juga mahukan alam persekitaran yang baik," tambahnya.

Di sini, beliau menekankan bahawa perdamaian itu boleh dibincangkan dalam pelbagai sudut, dan yang relevan dalam konteks Singapura.

"Perdamaian ini merupakan proses yang kita perlu usaha melakukan setiap hari dan kita tidak perlu menunggu sehingga ada konflik timbul, baru kita ingin berbincang tentang kedamaian," ujar Ustazah Liyana.

Persidangan itu merupakan acara permulaan menjelang Hari Keamanan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada September ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita