Persiapan menjelang pelaksanaan ibadah korban fizikal di dua lokasi berjalan lancar
Menjelang Aidiladha esok (29 Jun), beberapa tempat yang melaksanakan ibadah korban secara fizikal tahun ini sibuk membuat persiapan terakhir mereka.
Antaranya ialah Persatuan Muhammadiyah dan Masjid Petempatan Melayu Sembawang di mana upacara tersebut kembali diadakan secara fizikal sejak COVID-19.
Seawal 10 pagi lagi, para kakitangan dan relawan Persatuan Muhammadiyah sibuk menyingsing lengan menyiapkan dan membersihkan kawasan kandang kambingnya.
Sebanyak 100 ekor kambing biri-biri yang sudah ditempah sepenuhnya akan dihantar ke pekarangan bangunan ibu pejabatnya di Jalan Selamat sekitar 9 atau 10 malam pada Rabu (28 Jun).
Sungguhpun begitu, pihaknya tidak bimbang kerana persiapan sudahpun dimulakan lebih awal.
"Walaupun sudah tiga tahun kita tidak melakukan korban disebabkan COVID-19, kita masih memberikan segalanya untuk proses korban untuk tahun ini, insya-Allah," kata Pengurus Operasi Korban, Persatuan Muhammadiyah, Encik Shamsulbahri Talib.
Menurut Encik Shamsulbahri, pihaknya juga sudah menjalani pemeriksaan daripada pihak Agensi Makanan Singapura (SFA) sebanyak dua kali sejauh ini dan sudah mendapat pentauliahan mereka.
"Kita tertakluk kepada SFA untuk korban. Prosedurnya sama sebenarnya. Semua mesti tertutup, dihadang dan tidak boleh mengambil video dan gambar, dilarang. Khususnya dekat kawasan penyembelihan itu agak sensitif. Mesti dikepung. Orang luar tidak boleh tengok melainkan sohibul," ujarnya.
Tahun ini seramai 90 kakitangan dan relawan lama dan baru berusia semuda 17 tahun dijangka akan turun padang untuk membantu.
Dengan lebih ramai relawan itu juga, pihaknya yakin keseluruhan proses korban hanya akan mengambil masa sekitar 45 minit.
Aspek keselamatan para relawan juga tidak diambil ringan, lebih-lebih lagi bagi yang baru.
"Para relawan yang baru ini kita kalau boleh tidak mahu meletakkan ke jabatan yang menggunakan alat-alat tajam untuk mengupas kulit atau memotong daging. Kita akan letakkan mereka pada yang senang-senang dahulu," jelas Encik Shamsulbahri.
LEBIH 10 TAHUN JADI RELAWAN; BANGGA ANAK JUGA TURUT TERLIBAT
Antara relawan yang ghairah untuk menyumbang tenaga ialah Encik Mohd Noh Mohd Eunos, 46 tahun.
"Saya sudah membantu Muhammadiyah dalam upacara ini setelah lebih 10 tahun. Saya rasa saya dapat memberi saya punya pengalaman pada kaum-kaum muda kita di Muhammadiyah," kata Encik Mohd Noh yang bertugas dalam bidang perubatan forensik.
Walaupun boleh dikatakan cukup berpengalaman, beliau sendiri perlu 'mengulang kaji' dengan menonton video ataupun membaca artikel-artikel tentang korban.
Lebih istimewa kali ini, bapa tiga orang anak itu turut disertai anak lelakinya yang berusia 19 tahun.
"Mula-mula saya ajak dia lepas itu dia sendiri bersuara nak jadi relawan untuk membantu Muhammadiyah untuk tahun ini. Saya rasa begitu bangga terhadap anak saya kerana sudi menolong dan menjadi relawan untuk ibadah korban," ujarnya.
KEBAJIKAN KAMBING DIUTAMAKAN
Sementara itu, persiapan di Masjid Petempatan Melayu Sembawang juga sibuk sejak seminggu yang lalu.
Suasananya juga lebih riuh dengan lebih 500 kambing biri-biri yang sudahpun ditempatkan di pekarangan masjid itu.
Sejak kambing-kambing itu yang berusia antara enam hingga 22 bulan itu tiba dari Australia sekitar 4 pagi pada Selasa (27 Jun), mereka diberikan makanan yang bermutu tinggi dan air minuman juga disediakan sepanjang masa.
"Kita memilih makanan semasa mereka di sini iaitu makanan yang bagus untuk mereka. Di mana kita memilih rumput kering (hay) tetapi rumput kering yang kita gunakan ini adalah mutu yang baik di mana ada juga tahunya sebagai 'Horse Hay'. Ini adalah mutu yang premium yang kita telah import daripada Amerika Syarikat. Jadi dengan makanan yang bagus dan juga kandang yang besar, kebajikan mereka, tahap tekanan mereka agak rendah," kata pengendali upacara korban masjid tersebut, Pengasas Aaliyah's Pte Ltd, Encik Rafee Eunos.
Encik Rafee menambah, sekiranya terdapat sebarang kambing yang sakit ataupun tercedera, mereka akan diasingkan dalam ruang yang khas untuk diperiksa oleh doktor haiwan sekiranya mereka sesuai untuk menjalani ibadah korban.
Proses yang lebih sistematik tahun ini juga memerlukan sekitar hanya 25 kakitangan sahaja berbanding ratusan sebelum ini.
"Ini adalah sama seperti sistem yang digunakan di rumah-rumah penyembelihan di Australia. Di mana kontak dengan manusia yang minimal. Alhamdulillah masjid ini adalah satu tempat yang kita pilih untuk mengadakan ibadah korban tahun ini. Kita sangat berpuas hatilah kerana tempatnya yang besar, luas, di mana haiwan-haiwan ini tidak berasa tertekan kerana mereka dapat bergerak dengan bebas," tambahnya.
"Seandainya hujan deras, mungkin sohibul itu lambat, ini akan melambatkan proses kita. Kalau ini berlaku, saya harap para sohibul itu akan bertimbang rasa. Kita semua harapkan kerjasama daripada semua orang," ujar Encik Rafee.
Demi mengelakkan kesesakan di kedua-dua lokasi itu, para sohibul juga akan diberikan jadual tertentu untuk mereka datang menyaksikan proses korban.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.