Persiapan KC dan Mariam sebagai pengulas NDP, Nadiah M Din jadi hos NDP
Meskipun pernah mengacara bagi acara praperbarisan tiga tahun lalu, ini kali pertama beliau harus mengendalikan NDP secara langsung di hadapan sekitar 30,000 penonton.
SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan 9 Ogos ini menjanjikan lebih banyak interaksi dengan penonton di pentas terapung Marina bay.
Kemeriahan NDP juga dibawa langsung ke rumah anda menerusi ulasan langsung di kaca televisyen dan corong radio.
BERITAMediacorp menjenguk persiapan hos dan pengulas NDP tahun ini untuk menghidupkan suasana sambutan ulang tahun ke-53 Singapura ke merata negara.
KALI PERTAMA KC JADI PENGULAS NDP
Memerlukan kesediaan mental dan fizikal demi melaksanakan tugas dengan sempurna.
Itulah yang dikongsi pengulas bahasa Melayu NDP buat kali ketiga, penyampai radio Mariam Mas'od.
Tugasan mencabar ini bagaimanapun, kata beliau, dipermudahkan dengan adanya rakan penyampai radio KC, yang membantu menaikkan semangat.
"Sebelum kita melakukan satu acara secara langsung, bukan sahaja badan tetapi minda kita juga harus sentiasa bersiap sedia. Dan kadang-kadang dengan keceriaan sebegini dapat mengurangkan tekanan yang kita rasakan," kata Mariam Mas'od, pengulas NDP 2018.
Yang jelas, debaran itu tetap ada bagi seseorang yang sudah berpengalaman sepertinya.
Apatah lagi bagi rakan penyampai radio KC yang kali pertama ditugaskan sebagai pengulas NDP.
"Pastinya ada perasaan 3G - ghairah, gementar dan gembira. Kalau di radio ini kita boleh bercakap bersahaja, secara santai tetapi untuk Perbarisan Hari Kebangsaan ini, harus menjaga cara kita bercakap, bertutur bicara sebabnya didengari oleh ribuan rakyat Singapura," kata KC, pengulas NDP 2018.
Malah, KC juga memastikan beliau menonton video NDP lama dan membuat penterjemahan sendiri demi melancarkan dan memperbaiki cara penyampaiannya.
NADIAH M DIN KONGSI SEKILAS PERANANNYA
Cabarannya berbeza pula bagi salah seorang hos NDP tahun ini, Nadiah M Din.
Meskipun pernah mengacara bagi acara praperbarisan tiga tahun lalu, ini kali pertama beliau harus mengendalikan NDP secara langsung di hadapan sekitar 30,000 penonton.
"Kita akan diberi arahan dari monitor, jadi apa saja silap yang kita lakukan pada waktu itu, kita akan diberitahu segera, jadi dengan segera kita harus berubah," kata Nadiah M Din, hos NDP.
Walaupun baru kembali mengacara sejak bergelar ibu November lalu, Nadiah mahu terus memberikan yang terbaik kerana, kata beliau, didorong oleh kehadiran Presiden Halimah Yacob.
Yang pasti, persembahan NDP tahun ini akan dimeriahkan lagi dengan bakat-bakat tanah air kita ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.