Skip to main content

Singapura

Persiapan Haji 2026 diteruskan; bayaran balik dipertimbangkan bagi jemaah tangguh perjalanan: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:
Persiapan Haji 2026 diteruskan; bayaran balik dipertimbangkan bagi jemaah tangguh perjalanan: Dr Faishal

Gambar fail: Saudi Press Agency/Reuters

SINGAPURA: Persiapan bagi ibadah Haji tahun ini tetap diteruskan, di tengah-tengah krisis di Timur Tengah.

Perkara itu ditegaskan oleh Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, di Parlimen pada Rabu (8 April).

Dr Faishal berkata bahawa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sedang bekerja rapat dengan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) dan ejen pelancongan dan penyedia khidmat Haji yang dipilih bagi memastikan perjalanan para jemaah kekal selamat.

"Ini termasuk menggunakan penerbangan langsung antara Singapura dengan Arab Saudi, menggunakan pengangkutan darat yang kurang terdedah kepada gangguan serta seberapa yang boleh bagi elakkan gangguan perjalanan, serta penyelarasan pergerakan jemaah lebih rapat di Madinah, Makkah dan Jeddah," ujar Dr Faishal.

Dalam pada itu, Dr Faishal menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan para jemaah kekal menjadi keutamaan utama.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa MUIS sedang membangunkan pelan kontingensi bersama AMTAS dan GSA dipilih untuk merangka tindak balas bagi potensi berlakunya gangguan perjalanan sepanjang ibadah haji.

JEMAAH HAJI 2026 AKAN DIBERIKAN KEUTAMAAN UNTUK MUSIM-MUSIM SETERUSNYA JIKA TUNDA RANCANGAN HAJI TAHUN INI

Jemaah haji tahun ini akan diberi keutamaan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada musim-musim berikutnya.

Ini sekiranya mereka memilih untuk menunda rancangan haji tahun ini atau terpaksa dibatalkan akibat krisis di Timur Tengah.

Namun, Dr Faishal menjelaskan bahawa keutamaan itu tetap tertakluk kepada kuota tahunan yang diperuntukkan oleh pemerintah Arab Saudi.

Dr Faishal berkata: "Sekiranya ibadah haji dibatalkan atau terganggu pada tahun ini, kami akan bekerjasama rapat dengan AMTAS bagi membolehkan jemaah yang terjejas menangguhkan penyertaan mereka ke musim haji yang seterusnya. MUIS juga akan bekerjasama dengan ejen pelancongan serta penyedia perkhidmatan yang berpangkalan di Arab Saudi untuk meneliti kemungkinan bayaran balik, bergantung kepada keadaan."

Dr Faishal berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan oleh Anggota Parlimen PAP GRC Jalan Besar Dr Wan Rizal Wan Zakariah mengenai aturan dan rancangan yang dilakarkan untuk para jemaah, terutama dengan perkembangan di Timur Tengah.

"Kami memahami bahawa para jemaah risau tentang kesan kewangan sekiranya ibadah Haji tahun ini dibatalkan atau terganggu. Jadi seperti yang saya kongsikan, kami bekerja rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah (MOHU) untuk memastikan bahawa para jemaah yang terjejas menerima sokongan dan bantuan kewangan yang diperlukan," ujar Dr Faishal.

Pada tahun ini, Singapura diperuntukkan kuota sebanyak 900 tempat bagi ibadah Haji.

Kumpulan pertama jemaah Haji Singapura juga dijadualkan berangkat pada 8 Mei.

Tambahnya lagi, pihak berkuasa Singapura akan terus memantau perkembangan situasi dan memastikan semua jemaah sentiasa dimaklumkan mengenai aturan terkini serta langkah sokongan yang disediakan tepat pada masanya.

“Kami memahami bahawa ibadah Haji merupakan satu pencapaian penting bagi umat Islam. Oleh itu, selain memudahkan urusan jemaah, kami juga ingin memastikan keselamatan dan kebajikan mereka sentiasa terpelihara," ujar Dr Faishal.

Beliau juga memohon agar masyarakat Islam tempatan berdiri teguh bersama mengharungi tempoh yang mencabar sekarang ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita