Skip to main content

Singapura

Persiapan Grand Prix F1 SG terus berjalan lancar di tengah siasatan CPIB

Anggaran Waktu Membaca:
Persiapan Grand Prix F1 SG terus berjalan lancar di tengah siasatan CPIB

(Gambar fail: Lillian SUWANRUMPHA / AFP)

SINGAPURA: Persiapan bagi Grand Prix Formula 1 Singapura dari 15 hingga 17 September ini "terus berjalan lancar" di tengah-tengah siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) melibatkan pengerusinya Ong Beng Seng, kata Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan Tan See Leng pada Ahad (3 Sep).

Bercakap kepada pemberita di luar tayangan Grand Prix Itali di Hab HDB di Toa Payoh, Dr Tan, yang juga Menteri Tenaga Manusia, menambah bahawa "perlumbaan diteruskan".

“Berdasarkan jualan tiket, ia amat menggalakkan. Saya rasa ramai akan teruja dengan acara tahun ini.”

Sebagai sebahagian daripada siasatan CPIB, Encik Ong dan Menteri Pengangkutan S Iswaran ditahan pada Julai dan kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin.

Encik Ong, jutawan hartanah berusia 77 tahun itu, dikenali sebagai orang yang memainkan peranan penting dalam memeterai perjanjian pada 2007 antara Lembaga Pelancongan Singapura dan ketua F1 ketika itu Bernie Ecclestone, untuk membawa perlumbaan F1 sebelah malam pertama sukan itu ke Singapura.

Encik Ong memiliki hak bagi Grand Prix Singapura dan merupakan pengerusi promoter perlumbaan GP Singapura.

Kontrak untuk Singapura terus menjadi tuan rumah grand prix F1 selama tujuh tahun lagi ditandatangani pada 2022 iaitu sambungan keempat dan juga yang paling panjang setakat ini.

Encik Iswaran terlibat secara aktif dalam penglibatan pemerintah dengan F1, termasuk membuat penampilan di sidang media.

Dr Tan enggan mengulas mengenai siasatan yang sedang dijalankan.

“Siasatan masih dijalankan, jadi saya rasa saya tidak harus mengulas mengenainya. Saya juga tidak boleh mengulas mengenainya,” kata beliau.

“Jadi kita tunggu pihak berkuasa untuk buat kenyataan. Tetapi saya rasa acara ini menjanjikan pengalaman yang pasti akan diingati semua orang.”

Permintaan tiket "masih sangat kukuh", dengan 16 daripada 23 kategori kini sudah habis dijual dan "jumlah terhad" untuk lima daripada kategori yang tinggal, kata penganjur perlumbaan sebelum ini.
"Terdapat minat yang sangat baik dan kehadiran penonton yang sangat, sangat menjanjikan," tambah Dr Tan.

Beliau juga menyentuh tentang kesan limpahan acara Grand Prix Singapura itu terhadap perniagaan tempatan.

Menurutnya, kira-kira 28 acara Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) akan diadakan dari hujung minggu depan hingga seminggu selepas perlumbaan.

"90 peratus daripada semua kerja yang menggunakan khidmat luar diberikan kepada perusahaan tempatan... jadi anda boleh bayangkan impak besar daripada acara itu," katanya.
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita