Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persiapan Bazar Raya WGS sudah bermula; guna teknologi digital pertingkat pengurusan selamat

Persiapan sedang dijalankan untuk mewujudkan Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai (GSHRSE) sepanjang bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Anggaran Waktu Membaca:
Persiapan Bazar Raya WGS sudah bermula; guna teknologi digital pertingkat pengurusan selamat

Lakaran artis acara Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai di WGS. (Gambar: Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)

SINGAPURA: Persiapan sedang dijalankan untuk mewujudkan Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai (GSHRSE) sepanjang bulan Ramadan yang bakal menjelang.

Dalam kenyataan medianya pada Sabtu (19 Mac), Wisma Geylang Serai (WGS)menyatakan GSHRSE adalah sebuah acara yang secara tegas akan mematuhi Langkah-Langkah Pengurusan Selamat Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS).

Orange Travel Pte. Ltd, yang dianugerahi tender, akan mengendalikan acara selama 31 hari itu dari 2 April sehingga 2 Mei nanti.

Orang ramai akan berpeluang melanggani gerai-gerai, yang beroperasi dari pukul 1.00 tengah hari hingga 11.00 malam pada setiap hari sepanjang tempoh berkenaan, melalui dua zon berbeza - terletak di dalam pekarangan Wisma Geylang Serai (WGS).

Lakaran artis acara Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai di WGS. (Gambar: Prof Madya Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)

Dengan bertemakan Taman Bunga Kisah Masyarakat, pengunjung boleh menjangkakan sekitar 40 gerai yang terdiri daripada lapan gerai makanan 100 peratus halal dan 32 gerai runcit. Ia menawarkan pelbagai produk tradisional sempena sambutan Syawal selain barangan lebih kontemporari daripada jenama-jenama terkenal.

Walaupun dianjurkan pada skala jauh lebih kecil berbanding bazar Hari Raya yang lalu sebelum pandemik COVID-19 mencengkam, orang ramai masih tetap dapat merasakan kemeriahan menyambut Lebaran dengan pihak penganjur cuba menyuntik ciri-ciri unik bagi membangkitkan dan menyemarakkan semangat perayaan.

CIRI-CIRI UTAMA PELAKSANAAN SMM

Sungguhpun demikian, pengendali juga akan mematuhi secara tegas Langkah-Langkah Pengurusan Selamat (SMM) dan melaksanakan rancangan menguruskan kesesakan dengan mengerahkan para pegawai di lapangan. Usaha itu akan dipertingkatkan dengan penggunaan beberapa sistem teknologi serta digital.

Pengenalan teknologi Keupayaan Realiti Maya, misalnya, akan membolehkan para pelanggan untuk meninjau-ninjau dan melihat secara online produk yang ditawarkan terlebih dahulu sebelum memutuskan zon yang hendak dilanggani mahupun gerai yang ingin dituju untuk membeli-belah.

Lakaran artis acara Pengalaman Membeli-Belah Hari Raya Geylang Serai di WGS. (Gambar: Wisma Geylang Serai)

Selain itu, penggunaan kod QR dan e-menu serta tempat mengambil makanan yang sudah diperuntukkan, juga akan dilaksanakan untuk mengawal kesesakan di sesebuah zon.

Sistem pemantau kesesakan masa nyata turut disediakan melalui sebuah wadah online untuk memaklumkan bakal pengunjung dan pelanggan tentang kepadatan orang ramai di lokasi acara tersebut. Ini agar mereka dapat memutuskan masa yang sesuai untuk mengunjungi GSHRSE bagi mengelakkan kesesakan.

Di samping itu, sebuah sistem kad beratur juga akan dilaksanakan bagi mengawal dan menghadkan jumlah pengunjung yang datang ke acara tersebut.

Khemah akan didirikan di kawasan beratur untuk menyediakan tempat berteduh buat pengunjung menanti giliran untuk masuk.

Penasihat Utama WGS, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, turut mengongsi butiran persediaan bagi acara GSHRSE dalam satu catatan di Facebooknya hari ini.

"Sedang kita kembali menjalani kehidupan dalam kebiasaan baru ini secara bertahap-tahap, WGS berharap dapat membawa lebih banyak keceriaan sempena perayaan kepada masyarakat dengan pengalaman membeli-belah di Geylang Serai untuk melengkapi perhiasan lampu raya, yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perundingan Rakyat Geylang Serai, Kembangan Chai Chee serta Marine Parade," kata Dr Faishal yang juga adalah Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri.

"Untuk meningkatkan (pengalaman) ini lebih lanjut, pengunjung ke WGS juga akan dapat menikmati program fizikal dan hibrid yang disusun khas di tempat acara serta melalui semua wadah online WGS," tambah beliau.

"Saya berharap semua orang akan dapat meluangkan masa untuk turun padang ke WGS dan menghirup suasananya serta berkongsi kemeriahan perayaan bersama-sama. Jumpa anda di sana!," ungkapnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan