Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persembahan muzik 'RATA' bawa penonton ke 'alam baru'

Alunan muzik eksperimental, kontemporari dan klasikal menerusi persembahan audio visual yang luar biasa sebagai santapan hawa telinga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Alunan muzik eksperimental, kontemporari dan klasikal menerusi persembahan audio visual yang luar biasa sebagai santapan hawa telinga.

Itulah yang boleh dijangkakan dalam persembahan 'RATA: new grounds, new sounds' yang bakal dipentaskan di panggung Singtel Waterfront di Esplanade akhir bulan ini.

Ia dianjurkan bersempena siri 'In New Light' bagi meraikan ulang tahun Esplanade yang ke-20.

Ia menampilkan RATA Orkestra yang terdiri daripada barisan pemuzik elektik terkenal dari dalam dan luar negara.

Ia ilham kreatif Encik Safuan Johari.



"Dari segi muzik, ia memperlagakan muzik-muzik dari budaya dan genre yang berlain-lain daripada segi eksperimental, kontemporari, klasikal. Dan di dalam perlagaan ini kami membentuk gubahan lagu-lagu yang akan dipersembahkan.

"Kita menggunakan cahaya lampu, seni visual media sebagai elemen-elemen pembinaan alam supaya penonton akan melalui satu pengalaman yang sangat imersif di dalam teater," kata Pengarahnya, Encik Safuan Johari.

Bagi Encik Safuan yang sudah lebih 20 tahun berkecimpung dalam bidang rekaan bunyi dan penerbitan muzik, projek ini cukup bermakna baginya kerana inilah projek pertamanya sebagai pengarah.

"Saya tidak melihat diri saya sebagai seorang pengarah. Saya melihat diri saya sebagai seorang fasilitator kerana bakat-bakat yang telah saya jemput, mereka tersangat hebat sekali," tambahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Antara pemuzik yang ditampilkan ialah Encik Azrin Abdullah, seorang pemain 'Oud'.

Dengan lebih 20 tahun pengalaman, beliau berasa cukup teruja kerana berpeluang menunjukkan kepelbagaian alat muzik tradisional.

"Saya cuba kupaskan bunyian gambus itu dari segi luar dari tradisional. Gambus ini telah disambung kepada kesan gitar yang bakal memberikan pengalaman bunyi-bunyian yang berbeza," kata Encik Azrin.

Bagi pemain gendang, Cik Cheryl Ong, beliau berharap penonton akan datang dengan minda yang terbuka dan dapat menikmati persembahan tersebut.

"Kita mencipta satu 'alam baru' dan ingin mengajak anda menikmati dunia kami.

"Projek ini benar-benar meraikan kepelbagaian dan juga meraikan atau menampilkan sejarah muzik kita. Sebagai contoh, pengaruh kita dan sudah tentu meraikan semua tonaliti yang berbeza seperti yang anda boleh lihat daripada instrumen yang akan dimainkan," tambahnya.

Orkestra RATA turut menampilkan Andy Chia, Rizman Putra dan Weish dari Singapura termasuk Nova Ruth dari Indonesia.

PERSEMBAHAN LUAR BIASA

Tidak seperti persembahan orkestra yang lazimnya, persembahan itu memberi peluang kepada penonton untuk menikmati muzik dengan lebih dekat.

Para penonton bebas bergerak sepanjang persembahan.

Mereka berpeluang meneroka dan menikmati pengalaman audio visual dari setiap sudut, sepanjang persembahan lebih sejam.

(Facebook/Esplanade)

Perancangan sebenarnya bermula sejak 2019 dan sepatutnya diadakan pada Ogos 2020.

Namun ia terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

'RATA: new grounds, new sounds' berlangsung dari 29 hingga 31 Disember ini di Panggung Singtel Waterfront di Esplanade.

Tiket-tiket berharga daripada S$30.40 masih boleh didapatkan di lelaman Esplanade.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan