Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persembahan dokumentari tarian Melayu Sri Warisan dipentaskan buat pertama kali

Sekali pandang tarian Melayu tampak mudah. Namun jika diteliti setiap gerak geri para penari 'dokumentari tarian Melayu' Sri Warisan sebenarnya membawa mesej yang amat tinggi nilainya. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekali pandang tarian Melayu tampak mudah.

Namun jika diteliti setiap gerak geri para penari 'dokumentari tarian Melayu' Sri Warisan sebenarnya membawa mesej yang amat tinggi nilainya.

Manakan tidak, setiap gerak tarian menceritakan tujuh nilai dan adat Melayu meliputi Adat berbudi bahasa, Adat menghormati orang tua dan tetamu, serta Adat dalam bersapa antara satu sama lain.

Berjudul "Semarak Warisan 7 Nilam", pementasan Sri Warisan itu menceritakan evolusi dunia tarian Melayu Singapura, selain mengupas adat dan nilai Melayu.

INSPIRASI DARI 2 BUKU

Pementasan itu mengambil inspirasi daripada dua buah buku.

Pertama, buku 'Seni Tari di Singapura: Perjalanan Som Said' yang ditulis oleh tokoh tarian Melayu itu sendiri, dan kedua, buku 'NILAM - Nilai Melayu Menurut Adat' yang ditulis oleh pendita bahasa dan budaya Dr Ariff Ahmad.

Pementasan Semarak Warisan 7 Nilam secara campuran online dan fizikal itu mempunyai lima segmen sepanjang 1.5 jam.

"Dalam keadaan COVID-19 sekarang ini di mana kita tetap ingin meneruskan nilai murni kita kepada orang awam walaupun mungkin dengan penonton yang amat sedikit ataupun secara online di mana produksi ini yang dipilih tujuh nilai adat ini akan terus kekal dan menjadi semangat kepada anak-anak muda untuk terus berkarya dan berseni walaupun dalam keadaan yang membimbangkan.

"Namun anak-anak muda dalam Sri Warisan akan terus berjuang dalam seni ini," kongsi Pengarah Kreatif Sri Warisan, Cik Marina Yusoff.

GABUNGAN 3 GENERASI

Menariknya juga, pementasan hasil tenaga 50 penari juga menggabungkan penari muda dan tua, dari tiga generasi.

Ini antara perkongsia tiga generasi itu:

"Selepas 30 tahun tidak menari, saya amat terharu dengan undangan untuk kembali menari dan saya dapat tunjukkan kepada generasi sekarang ini bagaimana kita orang-orang lama menari dengan penuh perasaan dengan menjiwai lagu-lagu dan tarian-tarian dulu." jelas Encik Rawi Hanim seorang penari veteran.

"Saya dah lama tak menari jadi saya rindu sangat nak menari nak membuat persembahan atas pentas jadi bila kita dapat peluang untuk membuat persembahan atas pentas kita macam sangat teruja." kata Cik Irdina Qistina, seorang penari dari unit artis budaya.

Persembahan dokumentari tarian Melayu Sri Warisan.

"Saya gembira kerana saya boleh menari dengan kawan kawan dan ibu bapa saya boleh menonton tetapi tidak semua orang boleh menonton di sini sekarang nenek dan datuk pun menonton produksi ini secara online," kongsi penari cilik, Ilham Mustaqim Md Mulia

"Semarak Warisan 7 Nilam" akan disiarkan secara online pada 13 Disember ini.

Ia dipentaskan hasil geran daripada Lembaga Warisan Negara (NHB) kepada Sri Warisan selepas menjadi antara penerima Anugerah Warisan Budaya Tidak Ternilai Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa