Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persembahan 'belly dancing' di luar Masjid Sultan "menjolok mata, tidak sensitif"

Anggaran Waktu Membaca:
Persembahan 'belly dancing' di luar Masjid Sultan "menjolok mata, tidak sensitif"

Persembahan istimewa "belly dancing" di kawasan berhampiran Masjid Sultan dianggap tidak sensitif. Gambar: Abu Jalal Sarimon/Facebook

BERITAmediacorp: Tidak sensitif, menjolok mata dan boleh menjejas imej agama dan budaya di sekitar kawasan masjid ikonik negara.

Demikian reaksi seorang penduduk, Encik Abu Jalal Sarimon dan teman-temannya yang terlihat persembahan "belly dancing" (tarian gelek) diadakan di luar sebuah restoran menghidangkan makanan Turki di sekitar kawasan Masjid Sultan pada kira-kira jam 7.30 malam pada Sabtu (24 Dis).

Pada ketika itu, Encik Abu Jalal baru sahaja keluar masjid setelah menunaikan solat Maghrib dan melihat ramai orang berkerumun dan kedengaran lagu berirama Timur Tengah dimainkan dengan kuat.

"Ramai yang tengok, saya rasa macam tak sedap. Saya cuba tanya siapa pemilik kedai. Bila jumpa, dia kata dia bukan seorang Muslim. Saya kata perbuatannya mengadakan persembahan sebegitu di luar Masjid Sultan tidak sensitif. Jika anda tak tahu, anda perlu cari tahu kerana ini perniagaan anda dan kita perlu hormat-menghormati," kata Encik Abu Jalal semasa berkongsi kejadian itu dengan BERITAmediacorp.
 
Beliau juga memuat naik gambar dan kejadian itu di laman Facebook dan mendapat perhatian para pengguna.

Antara komen yang diterima: "Hormatlah sikit, masjid di depan itu" dan "Tiada kepekaan budaya (cultural intelligence)".

Lebih tidak menyenangkan beliau adalah pakaian yang dikenakan penari 'belly dancing' itu yang begitu menjolok mata dan "hampir bogel".
Menurut Encik Abu Jalal, sekitar 70 hingga 80 orang berkumpul di luar Restoran Derwish Turkish bagi menyaksikan persembahan itu dan ada juga beberapa orang yang berasa kurang senang semasa menyaksikan persembahan itu.

"Ada orang yang lalu di situ juga tak begitu senang. Mereka kata tak elok, macam kurang ajar buat persembahan begitu di luar masjid," kata Encik Abu Jalal.

Apabila dihubungi BERITAmediacorp, pihak restoran terbabit menjelaskan bahawa ia adalah sebuah persembahan istimewa sempena Hari Krismas.

Persembahan itu tamat sebelum jam 8.00 malam.

"Dia (pemilik) pada mulanya tak senang apabila ditegur tapi bila saya jelaskan tentang akibatnya, dia agak tenang dan berkata lain kali dia buat di dalam kedai sahaja," kata Encik Abu Jalal.

Beliau berharap kejadian seperti ini dapat dijadikan sebagai iktibar oleh para pemilik kedai berhampiran Masjid Sultan agar tidak mengulangi hal yang sama.

Mentelah itu, persembahan yang diadakan di tempat awam juga perlu mendapatkan lesen.

Menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), lesen diperlukan bagi mana-mana persembahan seni di tempat awam termasuk persembahan tarian atau nyanyian melainkan beberapa pengecualian.

Antara pengecualian itu termasuk nyanyian karaoke di majlis perkahwinan, permainan muzik di upacara persemadian ataupun hiburan jalanan (busking).
 
Sumber : BERITA Mediacorp/iz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan