Skip to main content

Singapura

Persembahan, acara seni dan acara sukan sempena rumah terbuka Istana pada 3 Ogos untuk meraikan SG60

Istana akan dibuka kepada orang ramai pada 3 Ogos sempena ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura, dengan pelbagai acara disajikan termasuk persembahan secara langsung.

Anggaran Waktu Membaca:
Persembahan, acara seni dan acara sukan sempena rumah terbuka Istana pada 3 Ogos untuk meraikan SG60

Bangunan Istana. (Gambar fail: CNA/Howard Law)

SINGAPURA: Istana akan dibuka kepada orang ramai pada 3 Ogos sempena ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura, dengan pelbagai acara disajikan termasuk persembahan secara langsung.

Meraikan tema SG60, "Membina Singapura Kita Bersama", rumah terbuka Istana tahun ini akan menawarkan aktiviti untuk semua peringkat umur, termasuk acara sukan dan seni interaktif, menurut Pejabat Presiden dalam satu kenyataan media pada Khamis (24 Jul).

Acara akan berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 6.00 petang.

Para pengunjung boleh menyertai aktiviti sukan inklusif yang direka untuk individu dengan pelbagai keupayaan, seperti boccia, bola tampar duduk dan memanah secara maya.

Antara aktiviti seni interaktif yang akan diadakan termasuk trak seni bergerak oleh Galeri Nasional, peluang menghasilkan karya seni bersama artis tempatan Herman Chong serta mengubah kain terpakai menjadi barangan seni sebagai sebahagian daripada kerjasama antara Lembaga Warisan Negara dan Uniqlo.

Para pengunjung juga berpeluang mendapatkan beg cenderahati Hari Kebangsaan. Sehingga 10,000 beg tersebut akan diedarkan pada hari itu.

Persembahan secara langsung akan diadakan dari pukul 10.00 pagi hingga 4.30 petang, menampilkan penyanyi-penulis lagu tempatan LAYYI dan Sherman Zhuo serta jurulatih daripada SportSG.

Persembahan muzik, tarian dan pancaragam oleh para pelajar dari Sekolah Rendah Bukit View, Sekolah Rendah Woodlands, Madrasah Alsagoff Al-Islamiah dan Sekolah Menengah Hwa Chong Institution turut dijadualkan.

Lawatan pandu sendiri ke Vila Istana, di mana pengunjung boleh melihat koleksi hadiah yang pernah disampaikan oleh pemerintah pelbagai negara kepada pemimpin Singapura, juga tersedia sepanjang hari.

Para pengunjung yang sudah mendaftar awal untuk Lawatan Warisan Istana berpanduan boleh melakukan lawatan ke pekarangan Istana mengikut slot masa pilihan mereka dari pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Orang ramai juga dialu-alukan untuk meneroka persekitaran Istana, termasuk seni bina serta flora dan fauna Istana. Bagaimanapun, harap maklum bahawa Bangunan Utama Istana kini ditutup untuk kerja-kerja pemulihan sehingga diberitahu kelak.

Gerai makanan dan minuman akan tersedia di lokasi, selain gerai jualan barangan cenderahati Istana edisi terhad dan cenderahati Cabaran Presiden. Hanya pembayaran tanpa tunai - melalui kad kredit, kad debit atau kod QR - akan diterima.

Para pengunjung boleh memasuki kawasan Istana melalui pintu utama di Orchard Road, dengan Dhoby Ghaut sebagai stesen MRT yang terdekat. Kemasukan mungkin dihadkan bergantung kepada kapasiti atau keadaan cuaca, menurut Pejabat Presiden.

Warga Singapura, penduduk tetap dan pembantu rumah hijrahan yang menemani keluarga boleh masuk secara percuma.

Semua pengunjung lain perlu membayar yuran masuk sebanyak S$20 bagi setiap dewasa dan S$10 bagi setiap kanak-kanak berumur empat hingga 12 tahun, melalui kaedah pembayaran tanpa tunai.

Hasil kutipan daripada bayaran masuk, lawatan - sama ada berpanduan atau pandu sendiri - dan jualan gerai akan disalurkan kepada badan kebajikan yang disokong Cabaran Presiden.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita