Persekutuan sukan minda akan dilancar jelang Mac persiap atlet, tingkat penyertaan
Pengiktirafan sukan minda merupakan satu cabaran lama, dengan ada berdepan kekangan ruang dan ada yang menyaksikan jumlah penyertaan merosot.
This audio is generated by an AI tool.
Ia akan menyelaraskan usaha dalam kalangan persatuan catur, 'contract bridge', weiqi dan xiangqi untuk mengembangkan permainan masing-masing dan menyokong atlet.
Langkah itu dibuat selepas satu Rang Undang-Undang diluluskan di parlimen pada awal bulan ini bagi mengiktiraf secara rasmi sukan minda, di samping esukan, sebagai sukan.
SEMAKIN DIIKTIRAF
Persekutuan Sukan Minda Singapura meletakkan sasaran untuk bergabung dengan Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC) dan diiktiraf sebagai Persatuan Sukan Minda Asia.
"Saya rasa ia bukan untuk mentadbir keempat-empat persatuan, tetapi lebih kepada membantu kita menguar-uarkan permainan ini, untuk meningkatkan kesedaran (dan) supaya lebih ramai anak muda dan ibu bapa memahami manfaat permainan ini," kata pakar catur Kevin Goh, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Catur Singapura.
"Saya tentu sekali rasa entiti baharu dengan individu sehaluan tentu sekali dapat membantu dalam projek kami."
Pengiktirafan sudah lama menjadi satu cabaran bagi sukan minda, dengan ada yang berdepan kekangan ruang dan ada yang menyaksikan jumlah penyertaan yang merosot.
Encik Goh memberitahu Mediacorp pada Ahad lalu (18 Jan) bahawa ia kadangkala sukar untuk mencari lokasi yang dapat menampung acara berskala beasr.
Ini termasuk Kejohanan Catur Individu Sekolah Kebangsaan, yang dijangka mencatat rekod penyertaan baharu tahun ini, berkemungkinan menjangkau 1,800 pelajar.
"Kami semakin ketandusan ruang dan kita sentiasa perlu mencari jalan untuk menanganinya," kata Encik Goh, sambil menambah bahawa permintaan bagi lokasi latihan juga tinggi.
Kelas mingguan di Pusat Permainan Intelek Singapura di Balai Rakyat Bishan, sebagai contoh, seringkali sibuk, dengan kira-kira 100 pemain menghadiri setiap sesi.
"Perkara paling mudah tentang permainan catur adalah kita tidak perlukan sebarang kemudahan khas," kata Encik Goh.
"Kita perlukan ruang, meja, kerusi dan set permainan catur. Jadi ia tidak rumit, tetapi perkara penting adalah mereka mempunyai ruang untuk semua orang."
Ini sedang minat kepada pemainan catur di Singapura semakin berkembang, dengan jumlah penyertaan meningkat kira-kira 20 peratus dari tahun ke tahun, menurut persekutuan itu.
Permainan itu sangat popular - dan sangat kompetitif - dalam kalangan pemain muda.
Jumlah perlawanan catur tempatan juga melonjak, di mana ia meningkat 10 kali ganda daripada kira-kira 30 pada 2021 kepada kira-kira 300 sejak empat tahun lalu.
KUMPULAN BAKAT SEMAKIN BERKEMBANG, PELUANG SERANTAU
Sementara itu, Persatuan Contract Bridge Singapura yakin pengiktirafan rasmi sebagai sebuah sukan dapat meningkatkan penyertaan dan peluang meraih lebih kejayaan di persada global.
Walaupun memenangi pingat dalam perlawanan peringkat serantau, sukan itu sukar menarik pemain baharu.
Jumlah peserta aktif merosot daripada kira-kira 500 sebelum pandemik COVID-19 kepada kira-kira 300 sekarang, dengan kerumitan permainan itu menghalang sesetengah orang daripada menceburinya.
Presiden Persatuan Contract Bridge Singapura Luwen Koh berkata pengiktirafan rasmi dapat bantu membina jambatan sebagai sukan penyertaan beramai-ramai yang sah.
Beliau menambah bahawa beliau percaya status baharu permainan itu juga akan membolehkan pertubuhan dan kelab-kelab permainan 'contract bridge' untuk menguar-uarkan permainan itu dengan lebih baik.
"Semoga ini bantu meningkatkan jumlah dan minat untuk menyertai permainan ini," katanya kepada Mediacorp pada Sabtu lalu.
Peluang bagi sukan minda di acara besar berbilang sukan tetap tidak konsisten dan sering bergantung pada kecenderungan negara tuan rumah, kata Encik Goh dan Koh.
Namun, persatuan-persatuan itu optimis bahawa pengiktirafan rasmi akan meningkatkan peluang mereka disertakan, seperti ke dalam Sukan SEA 2029, yang akan dianjurkan di Singapura.
Persatuan Weiqi Singapura menyatakan ia merupakan langkah positif dan menggalakkan untuk masyarakat itu.
Dengan sokongan lebih kukuh, sukan itu berharap dapat memperolehi lebih banyak sumber untuk memikat dan membangunkan bakat baharu, melancarkan program jangkauan dan mengukuhkan pasukan negara.
Persatuan Am Xiangqi Singapura menyatakan ia memahami kepentingan menguar-uarkan permainan itu dalam kalangan orang muda.
Ia bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menyediakan latihan dan menganjurkan pertandingan pelajar dan berharap lebih banyak sekolah menawarkan xiangqi sebagai aktiviti ko-kurikular.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.