Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES) sertai kempen Dadah Itu Haram

(Gambar: CNB)
SINGAPURA: Usaha meningkatkan kesedaran dan menyebarkan mesej antidadah kini diperluaskan kepada kumpulan-kumpulan sukan di sini dan yang pertama menyertainya adalah
Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES).
Kerjasama yang diadakan buat julung-julung kalinya antara Biro Narkotik Pusat (CNB) dan PERSES, menonjolkan sokongan dan komitmen PERSES terhadap usaha memerangi penyalahgunaan dadah.
Ini di samping sokongan CNB untuk mengajak para belia untuk mengamalkan gaya hidup sihat menerusi sukan.

Di majlis pelancaran "Sepak Takraw Bebas Dadah", Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata ini merupakan satu kerjasama yang bermakna dan amat penting.
Dr Faishal juga menarik perhatian bahawa penyalahgunaan dadah boleh menjejas perjalanan seseorang ke arah gaya hidup yang sihat.
"Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita bergabung, usaha bersama dan bantu belia kita jauhi dadah dan terus menjalani gaya hidup yang sihat," kata Dr Faishal.
JERSI PEMAIN DIJAHIT DENGAN PERCA KAIN DADAH ITU HARAM

Majlis pelancaran ini juga menyaksikan satu acara penyerahan simbolik jersi-jersi yang dijahit dengan perca kain "Dadah Itu Haram" kepada 34 Pengurus Pasukan.
Selain itu, majlis pelancaran ini juga diadakan serentak dengan permulaan program 'Sportcares' oleh PERSES buat belia dan lantas menyebarkan mesej antidadah DIH kepada mereka, sambil menggalak pengamalan gaya hidup sihat menerusi sukan.
Ini sebagai melambangkan dedikasi mereka menyokong dan berkongsi mesej antidadah.

"Sepak takraw Bebas Dadah' merupakan mesej yang kuat, yang ada kaitannya dengan usaha PERSES mendekati masyarakat dan memberi inspirasi kepada anak muda untuk melakukan yang terbaik, dan cemerlang dalam sukan termasuk sepak takraw," kata Dr Faishal.
"Kami ingin setiap individu yang meminati sepak takraw cemerlang dan membawa kebanggaan kepada Singapura. Kita tidak ingin sesiapa pun merosakkan masa depan mereka, kebahagiaan mereka dan keluarga hanya kerana penyalahgunaan dadah," tambah beliau.

Selain itu, para pasukan liga dan belia PERSES juga akan didekati menerusi sesi-sesi perkongsian yang akan memberi mereka pengetahuan mengenai bahayanya dadah.
"Kami berharap kolaborasi bersama PERSES akan menghasilkan kesan berganda yang membolehkan mesej antidadah dikongsi bukan sahaja kepada kumpulan sepak takraw tetapi kepada masyarakat umum," kongsi CNB dalam jawapan bertulisnya kepada BERITAmediacorp.
SEKITAR 340 RAKAN MASYARAKAT SUDAH SERTAI KEMPEN DIH
Sejak dilancarkan pada 2017, CNB sudah bekerjasama dengan badan-badan bukan meraih untung (NGOs) dan rakan-rakan masyarakat untuk berkongsi dan menyebarkan mesej antidadah kepada masyarakat.

Kempen DIH ini yang dahulunya bermula dengan tempat-tempat makan dan kedai gunting rambut sebagai tapak mendekati masyarakat, sudah mempunyai sekitar 340 rakan masyarakat.
Ini termasuk enam rakan masyarakat yang baru menyertai tahun ini.
Dengan terjalin kerjasama dengan badan sukan seperti PERSES, pihak CNB berharap lebih banyak badan sukan dapat menyertai kempen ini.
"Ini merupakan satu langkah yang menunjukkan bagaimana masyarakat sukan yang lain boleh ikut serta bersama kami dalam usaha ini, kerana dadah itu berbahaya bagi olahragawan," gesa Dr Faishal.
"Dadah juga boleh menghalang para atlit daripada mencapai kecemerlangan dalam sukan serta mengganggu dan merosakkan keluarga dan masyarakat," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.