Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persatuan Rakyat anjurkan pelbagai acara semarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-56

Bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun Singapura tahun ini, beberapa acara dianjurkan Persatuan Rakyat (PA) sehingga 22 Ogos ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi menyemarakkan sambutan ulang tahun Singapura tahun ini, beberapa acara dianjurkan Persatuan Rakyat (PA) sehingga 22 Ogos ini.

Kebanyakannya diadakan di wadah online, namun ada juga yang diadakan secara hibrid dengan jumlah orang yang hadir secara fizikal dihadkan.

Sejak 9.00 pagi lagi hari ini (8 Ogos), sekitar 30 pegawai akar umbi berkumpul di Kelab Masyarakat Woodlands bagi upacara memperingati Hari Kebangsaan.

Acara hibrid itu diadakan serentak dengan empat lagi Kelab Masyarakat (CC) di kawasan GRC Sembawang, iaitu Kelab Masyarakat ACE the Place, Woodlands Galaxy, Canberra dan Sembawang.

Mereka turut disertai 230 penduduk yang mengikuti acara itu secara online.

Setelah itu, para peserta turut diajak untuk bersenam bersama-sama dan menyertai sesi 'piloxing' iaitu gabungan gerakan tarian, bertinju dan Pilate bagi merancakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

"Kami dapat mengadakan sesi 'piloxing', satu sukan yang boleh menyepadukan orang ramai. Maklumlah, sekarang pun musim Olimpik jadi kami memilih sukan ini kerana ia sangat unik," menurut Anggota Parlimen, Mariam Jaafar, yang turut hadir bagi acara itu di Woodlands CC.

200 PENDUDUK SERTAI ACARA KELAB MASYARAKAT GEYLANG SERAI

Di kawasan timur negara pula, sekitar 200 penduduk menyertai acara anjuran Kelab Masyarakat Geylang Serai.

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Sambutan Hari Kebangsaan di situ dibahagikan kepada tiga bahagian bermula dari jam 5 petang hinggalah lewat malam.

Meskipun tidak dapat turut serta secara fizikal, kemeriahannya tetap terasa di wadah online.

Orang ramai menyertai sesi nyanyian lagu-lagu seperti Geylang Si Paku Geylang dan Chan Mali Chan beramai-ramai secara online di Facebook Kelab Masyarakat Geylang Serai, sambil menantikan detik ulang tahun negara yang ke-56.

Terdapat juga persembahan-persembahan nyanyian yang akan berlangsung sehingga jam 1.00 pagi.

Sambutan ulang tahun negara itu juga tidak lengkap tanpa tradisi memotong kek. Lebih istimewa lagi, bagi yang menyertai acara itu secara online, mereka juga menerima kek kecil yang dihantar ke rumah masing-masing untuk meraikannya bersama-bersama.

"Kita ingin membangkitkan lagi semangat Hari Kebangsaan yang sedia ada. Bukan itu sahaja, di tempat-tempat riadah, kita juga adakan sedikit hiasan, jadi semangat itu masih ada lagi," kongsi Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman.

"Ini adalah hari di mana kita menyambut ulang tahun negara tak kira bangsa, agama dan keturunan. Kita akan dapat merasakan bahawa segala yang kita lakukan untuk tanah air kita ini amat penting bagi Singapura," tambah beliau lagi.

BANYAK LAGI ACARA SELEPAS 9 OGOS

Dari jam 9.00 pagi pada 9 Ogos, pelbagai acara sambutan Hari Kebangsaan akan disajikan di kejiranan lain.

Di Tampines misalnya, orang ramai boleh menyaksikan konsert maya hampir dua jam di laman Facebook Our Tampines Hub bermula jam 7.30 malam.

Antara artis tempatan yang bakal tampil membuat persembahan termasuk juara Asian Idol, Hady Mirza!

Bagi menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun Singapura, banyak lagi acara yang bakal dianjurkan sehingga 22 Ogos oleh PA.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan