Persatuan Pengakap S'pura lancar kempen kumpul dana online; Presiden Halimah gesa masyarakat perkasa generasi muda
Persatuan Pengakap Singapura (SSA) melancarkan kempen baru 'Scouting It Forward' untuk mengumpul dana secara online.
Presiden Halimah Yacob mengumumkan pelancaran kempen 'Scouting It Forward' pada 5 Sep 2020. (Petikan video: Halimah Yacob/Facebook)
SINGAPURA: Persatuan Pengakap Singapura (SSA) melancarkan kempen baru 'Scouting It Forward' untuk mengumpul dana secara online.
Mengumumkan pelancaran kempen itu di Facebooknya hari ini (5 Sep), Presiden Halimah Yacob berkata ia bermatlamat untuk memupuk dan menguatkan semangat kesukarelaan dalam kalangan pengakap.
Pada masa yang sama, kempen itu juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi program-program pembangunan semasa tempoh yang mencabar ini.
Presiden Halimah berharap para penduduk akan memberikan sokongan padu kepada inisiatif itu, sedang pemerintah berusaha membina sebuah masyarakat yang lebih prihatin dan inklusif dalam masa yang serba tidak menentu ini.
Dengan semangat bersatu padu, Presiden Halimah berharap penduduk setempat akan memperkasakan generasi lebih muda untuk menyumbang kepada masyarakat.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-110 Persatuan Pengakap Singapura (SSA).
Saban tahun, Persatuan Pengakap Singapura (SSA) giat memupuk nilai prihatin, sikap peduli dan sifat belas ihsan dalam kalangan pengakap melalui kerja-kerja sukarela dalam masyarakat.
Tahun ini, sebilangan kegiatan pengakap seperti Minggu Kerja Pengakap yang diadakan setiap tahun, terpaksa dibatalkan dek pandemik COVID-19.
Sungguhpun demikian, Presiden Halimah berbesar hati melihat ramai pengakap muda yang berdedikasi untuk menabur bakti kepada masyarakat dan terus mempamerkan semangat yang tidak gentar untuk berkhidmat.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen mengumpul dana SSA, sila lungsuri: https://scoutingitforward.scout.sg
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.