Skip to main content

Singapura

Persatuan Peguam SG gesa Charles Yeo digugurkan daripada daftar peguam

Persatuan Peguam Singapura memohon supaya peguam warga Singapura yang melarikan diri, Charles Yeo, digugurkan daripada daftar peguam menerusi prosiding mahkamah di Mahkamah Agung pada Khamis (11 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Peguam SG gesa Charles Yeo digugurkan daripada daftar peguam

Charles Yeo tiba di Mahkamah Negara pada 19 Januari 2022. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Persatuan Peguam Singapura memohon supaya peguam warga Singapura yang melarikan diri, Charles Yeo, digugurkan daripada daftar peguam menerusi prosiding mahkamah di Mahkamah Agung pada Khamis (11 Sep).

Yeo, yang melarikan diri dari Singapura pada 2022 ketika berdepan tuduhan jenayah, tidak hadir bagi prosiding berhubung perkara tersebut, yang didengarkan di hadapan Mahkamah Tiga Hakim, iaitu badan disiplin tertinggi bagi bidang guaman.

Memandangkan Yeo tidak diwakili oleh peguam, kes itu diteruskan tanpa kehadirannya.

Peguam bagi Persatuan Peguam Singapura, Danny Ong memberitahu Hakim Besar Sundaresh Menon dan Hakim Mahkamah Rayuan Tay Yong Kwang dan Steven Chong bahawa Yeo tidak membalas makluman dari mahkamah atau emel yang dihantar sebagai sebahagian daripada penghantaran dokumen mahkamah secara rasmi, serta tidak menyatakan penyertaannya.

Yeo, 35 tahun, masih dibebaskan dengan ikat jamin di United Kingdom sementara menunggu prosiding mahkamah di sana, kata Encik Ong.

Walaupun Yeo mula berkhidmat sebagai peguam sejak 2017, sijil amalan terakhirnya luput pada 31 Mac 2023.

Lima permohonan Persatuan Peguam Singapura yang dikemukakan kepada Mahkamah Tiga Hakim itu berkaitan dengan kelakuan Yeo sebagai seorang peguam dalam beberapa kes yang dirujuk kepada tribunal disiplin.

Tiga berkaitan pekerja hijrahan yang membuat tuntutan kecederaan di tempat kerja.

Dalam kesimpulan perbicaraan itu, Encik Ong berkata Persatuan Peguam Singapura berpendirian bahawa "tiada hukuman lebih sesuai" selain menggugurkan Yeo daripada daftar peguam.

Ini bermakna Yeo akan digugurkan daripada daftar guaman dan dilarang mengamalkan undang-undang.

Walaupun ia dicadangkan sebelum ini bahawa Yeo sepatutnya digantung khidmat selama setahun, hukumannya "tidak memadai", kata Encik Ong, sambil menambah terdapat "kecacatan watak yang serius" yang menunjukkan Yeo "tidak layak" menjadi seorang peguam.

TUDUHAN JENAYAH YANG BELUM SELESAI

Selain prosiding disiplin, Yeo kini berdepan enam tuduhan jenayah dan dijangka menerima lebih banyak tuduhan.

Satu semakan waran tangkap ditetapkan pada 23 September bagi kesalahan yang didakwa dilakukannya.

Yeo, sebelum ini pengerusi parti pembangkang Parti Reform, dikenakan enam tuduhan pada Januari 2022 iaitu:
 
  • Satu tuduhan melemparkan kata-kata kesat dengan niat untuk menyinggung perasaan penganut agama lain di bawah Kanun Jenayah
  • Dua tuduhan cuba meluahkan kata-kata kesat dengan niat untuk menyinggung perasaan pihak lain di bawah Kanun Jenayah
  • Tiga tuduhan melemparkan kata-kata berunsur ancaman, penghinaan terhadap pegawai awam di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan
     

Ketika kesnya masih dibicarakan, Yeo memohon untuk melakukan perjalanan ke Vietnam atas urusan kerja antara 27 dengan 30 Julai 2022.

Dia diberi kebenaran untuk pergi ke luar negara, namun dia tidak pulang ke Singapura atau melaporkan diri kepada pegawai penyiasat pada 1 Ogos 2022 seperti yang dikehendaki.

Sebaliknya, dia memuat naik pengumuman di Instagram pada 30 Julai 2022 yang menyatakan dia ingin mendapatkan "suaka politik" di Britain, dan tuduhan jenayah yang dikenakan ke atasnya "bermotifkan politik".

Satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya pada Ogos 2022.

Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada November 2024 menyatakan bahawa Singapura sudah membuat permohonan kepada Britain supaya Yeo dihantar pulang.

Yeo ditangkap oleh pihak berkuasa Britain pada 4 November 2024 dan prosiding mahkamah terhadapnya sedang dijalankan.

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita