Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persatuan PEGUAM dilancarkan; bina rangkaian pementoran untuk peguam, bantu masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para peguam Melayu/Islam perlu memikirkan bagaimana mereka boleh menjalankan usaha menghindar masyarakat daripada mengalami masalah perundangan.

Demikian menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli di majlis pelancaran persatuan PEGUAM pada malam Rabu (31 Jul).

Menurut Encik Masagos, para peguam Melayu/Islam telah lama menyumbang bakti kepada masyarakat dengan menawarkan khidmat mereka di badan-badan swasta ataupun NGO (Pertubuhan Bukan Pemerintah) Melayu/Islam.

"Dengan adanya lebih ramai peguam Melayu/Islam yang berkelayakan dan dengan adanya badan yang bergabung, mereka akan dapat menjalankan perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih berkesan. Saya harap mereka selalu memikirkan bagaimana dengan bakat yang mereka ada itu dapat meningkatkan lagi keberadaan masyarakat," kata Encik Masagos kepada wartawan Nurhelmy Hakim.

Beliau menggalakkan para peguam untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan masyarakat.

Beliau memberi contoh program SG Lebih Sihat, di mana setiap keluarga boleh berdaftar dengan klinik doktor keluarga (GP) untuk menguruskan kesihatan mereka.

Menurut Encik Masagos, para peguam juga boleh mengambil pendekatan serupa dengan memberi nasihat perundangan.

Lantaran itu, pelancaran PEGUAM sangat dialu-alukan.

"Saya sangat gembira kerana masyarakat kita yang sudah berjaya dalam kerjaya mereka mahu menabur bakti kepada masyarakat. Mereka akan lebih berkesan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan bersama-sama membina masyarakat gemilang," kata Encik Masagos.

Persatuan itu mahu membina usaha rangkaian dan penglibatan masyarakat yang sebelum ini dijalankan oleh peguam sukarelawan di bawah M³.

Pengerusi PEGUAM, Encik Imran Rahim berkata: "Kami telah menubuhkan persatuan lebih rasmi. Ia (PEGUAM@M³) merupakan satu kumpulan sukarelawan yang bukan formal. Jadi susah untuk kita mendapatkan sokongan daripada organisasi-organisasi terutamanya organisasi swasta, firma peguam-peguam, peguam mereka untuk meluangkan masa untuk program-program yang ingin kita anjurkan."

Beliau berkata persatuan itu antara lain akan meneroka peluang pekerjaan dan latihan amali untuk para anggotannya.

PEGUAM antara lain akan bekerjasama dengan Kelab MENDAKI, untuk menggalak para pelajar madrasah dan perempuan - golongan yang kurang diwakili dalam bidang guaman - untuk menceburi bidang itu.

Untuk membantu masyarakat Melayu/Islam yang memerlukan khidmat guaman pro bono, ia akan bekerjasama dengan Pro Bono SG untuk membina kemahiran para peguam tentang pengendalian kes-kes berkaitan Syariah.

Selain itu, kemahiran mereka di luar bidang guaman juga dapat dimanfaatkan untuk membantu masyarakat.

Encik Masagos berkata: “Saya gembira kerana masyarakat kita yang sudah berjaya dalam kerjaya mereka mahu menabur bakti kepada masyarakat. Mereka sebagai kumpulan peguam yang sudah menabur jasa, bergabung dan menjadi lebih berkesan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat dan membina masyarakat gemilang.”

Seiring dengan pengiktirafan bulan Ogos sebagai bulan Wakaf, Encik Masagos memuji penubuhan persatuan itu dalam usaha mendampingi masyarakat.

“Untuk Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), para asatizah kita harus memberikan penerangan bahawa pentingnya kita mewujudkan wasiat supaya wasiat itu dapat dijalankan mengikut agama dan juga supaya kita menjaga keberadaan kita hingga akhir hayat. Kedua, dengan untuk mengadakan wasiat kita perlu peguam lagi. Peguam- peguam juga akan memikirkan bagaimana setiap keluarga itu dapat mewujudkan sebuah wasiat dan juga tidak mengalami kos yang tinggi. Akhirnya. Ini adalah kerana kita perlu memikirkan bagaimana kita membina harta untuk keluarga dan untuk diri kita sendiri dan harta itu bukan hanya dapat dimanfaatkan selama kita hidup tapi juga dapat dimanfaatkan setelah kita pergi," kata Encik Masagos.

Para anggota pengasas PEGUAM termasuk:
1.Imran Rahim, Rakan Kongsi Elden Law LLP
2.Fathiah Najwa Khan, Konsultan Kanan Capco Consulting
3.Matin Razak, Anggota Bersekutu Withers KhattarWong LLP
4.Syafiqah Ahmad Fu’ad, Anggota Bersekkutu Kanan IRB Law LLP
5.Mohammad Rizuan, Pengarah Pengurusan Emerald Law LLP
6.Danial Hakim, Presiden Kelab MENDAKI
7.Muslim Albakri, Pengarah Pengurusan ALBAKRI LLC
8.Ezra Bunyamin, Pengarah Pengurusan Deansgate Barakah Law Corporation
9.Nazmi Bakar, Paralegal Central Chambers Law Corporation
10.Taikhoom Khairullah, Kakitangan Awam
11.Zamiq Azmeer, Anggota Majlis Komersil APAC
12.Raheja Jamaludin, Pegawai Bersekutu Kanan, Dentons Rodyk & Davidson LLP
13.Muzhaffar Omar, Pegawai Bersekutu Pengurusan Linklaters
14.Sheiffa Safi, Pegawai Bersekutu Kanan, Davinder Singh Chambers LLC
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan