Skip to main content

Singapura iklan

Persatuan Muhammadiyah bantu 15,000 individu setiap tahun berkat sokongan padu masyarakat SG

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Muhammadiyah bantu 15,000 individu setiap tahun berkat sokongan padu masyarakat SG

Penerima bantuan menerima agihan barangan makanan daripada Muhammadiyah. (Gambar: Muhammadiyah)

Diterbitkan : 23 Mar 2023 06:32PM

BERITAmediacorp: Sejak ditubuhkan lebih enam dekad yang lalu, Persatuan Muhammadiyah berjaya membantu sekitar 15,000 individu setiap tahun.

Bantuan-bantuan tersebut dihulurkan menerusi sokongan padu masyarakat Melayu/Islam setempat.

Salah seorang penerima bantuan yang sudah meraih manfaat daripada bantuan tersebut ialah Cik Mariam* (bukan nama sebenar).

Malah, Cik Mariam, 70 tahun, merupakan salah seorang daripada 100 penerima bantuan yang disenaraikan dalam kategori ‘berisiko tinggi’.

Ini bermakna, beliau memerlukan sokongan tambahan dan lebih kerap selain habuan Ramadan dan zakat setiap tahun. Kini, sudah lebih 10 tahun beliau menjadi penerima bantuan Muhammadiyah.

TERIMA KASIH “SUDI BERI BANTUAN”

Cik Mariam tinggal sebatang kara di sebuah flat tiga bilik sejak suami beliau meninggal dunia lapan tahun lalu.

Related article image
Cik Mariam merupakan salah seorang penerima bantuan Muhammadiyah dalam kategori 'berisiko tinggi'. (Gambar: Persatuan Muhammadiyah)
Meskipun, beliau turut menerima sumbangan anak-anaknya, beliau masih bergantung kepada badan-badan bantu diri seperti Muhammadiyah dari semasa ke semasa bagi menanggung bil dan perbelanjaan bulanan serta kos perubatan yang tertunggak.

Beberapa tahun lalu, beliau dimasukkan ke hospital disebabkan oleh masalah limpa. Cik Mariam kini berusaha menjaga kesihatan diri agar tidak lagi perlu dirawat di hospital.

Setiap dua atau tiga bulan, anak-anak Cik Mariam akan membantu mengambil bungkusan beras daripada Muhammadiyah dan menghantarnya kepada ibu mereka. Cik Mariam juga menerima habuan berbentuk barangan dapur, baucar dan wang daripada Muhammadiyah setiap Ramadan.

Bantuan-bantuan tersebut amat membantu beliau dari segi perbelanjaan dan membuat persiapan bagi juadah berbuka, kelengkapan Hari Raya dan sebagainya. Cik Mariam, yang gemar memasak, juga akan menyediakan hidangan untuk berkongsi rezeki dengan rakan-rakannya.

“Saya sangat berterima kasih dengan Muhammadiyah dan orang-orang yang menderma. Sudi berikan bantuan kepada kami. Bukan senang nak dapat bantuan, walau sedikit sekali pun, saya terima dan saya bersyukur kerana itu semua rezeki. Dengan bersyukur, insya Allah rezeki akan murah,” kata Cik Mariam.

GERAKAN LESTARI DAKWAH MENERUSI KEBAJIKAN, PENDIDIKAN

Persatuan Muhammadiyah, yang ditubuhkan pada 1957, menyediakan pelbagai khidmat sokongan bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam Singapura. Ia adalah sebuah gerakan yang melestarikan dakwah menerusi kebajikan dan pendidikan.
Related article image
(Gambar: Persatuan Muhammadiyah)
Dari segi pendidikan, ia menawarkan Tadika Muhammadiyah, madrasah mingguan KABA, Madrasah Al-Arabiah
Al-Islamiah, Kolej Islam Muhammadiyah serta Tapak Suci Pencak Silat.

Dari segi kebajikan pula, Muhammadiyah menyediakan Rumah Kebajikan Muhammadiyah, Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Hari untuk Warga Tua Muhammadiyah (MHCC), Pusat Penuaan Aktif Muhammadiyah di Yishun, Agensi Keluarga Titipan - Projek Sinar Ihsan serta bantuan kebajikan yang turut termasuk pengurusan jenazah.

Di bawah khidmat kebajikan juga, Muhammadiyah menjalankan beberapa program sepanjang bulan
Ramadan seperti pengagihan habuan kepada 700 keluarga, pengagihan zakat dan habuan Hari Raya, di
samping pengagihan makanan berbuka puasa kepada 100 keluarga setiap minggu, juadah berbuka dan
sahur untuk para jemaah dan juga ubah elok rumah bagi keluarga penerima bantuan.
Related article image
(Gambar: Persatuan Muhammadiyah)
Selain itu, Muhammadiyah turut menggalak masyarakat Islam supaya ikut serta dalam program-programnya sepanjang bulan puasa seperti solat tarawih, majlis tazkirah setiap hari dan kelas percuma bacaan al-Quran setiap Isnin hingga Jumaat.

KEJAYAAN MUHAMMADIYAH TIDAK MUNGKIN TERCAPAI TANPA SOKONGAN MASYARAKAT

Menerusi kepercayaan dan sokongan masyarakat juga, Muhammadiyah dapat menjalankan tanggungjawab itu sejajar dengan harapan “Dari Masyarakat…Untuk Masyarakat”.

“Alhamdulillah, dengan kecekalan dan semangat gigih yang kami warisi daripada para pengasas dan penggiat awal Muhammadiyah, kami dapat terus berkhidmat dan memberi manfaat kepada seramai 15,000 anggota masyarakat setiap tahun.

“Namun dengan rendah hati kami ingin nyatakan bahawa kejayaan usaha Muhammadiyah ini tidak mungkin terhasil tanpa sokongan dan kepercayaan daripada masyarakat yang ikhlas dan bersungguh-sungguh memberikan sumbangan kepada kami dalam bentuk infak, zakat, dan fidyah,” kata Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman.
Related article image
(Gambar: Persatuan Muhammadiyah)
Lantaran itu, sedang umat Islam mengimarahkan bulan Ramadan, Muhammadiyah turut mengalu-alukan sokongan dan derma masyarakat agar ia sedikit sebanyak dapat menyemarakkan semangat menyumbang dan menyuntik keceriaan kepada para penerima bantuan sempena bulan suci ini.

Untuk cara-cara menderma dan maklumat lanjut, anda boleh melungsuri muhammadiyah.org.sg/donate.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita