Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persatuan Guaman keluarkan amaran terhadap penipu menyamar sebagai peguam

Seorang pembeli hartanah mengalami “kerugian yang besar”, manakala seorang lagi hampir kehilangan S$300,000 akibat menjadi mangsa penipu yang berpura-pura menjadi peguam yang melaksanakan urus niaganya.

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Guaman keluarkan amaran terhadap penipu menyamar sebagai peguam

Gambar hiasan (Gambar: Duy Hoang/Unsplash)

Diterbitkan : 25 May 2019 10:08AM Dikemas Kini : 25 May 2019 10:10AM

SINGAPURA: Seorang pembeli hartanah mengalami “kerugian yang besar”, manakala seorang lagi hampir kehilangan S$300,000 akibat menjadi mangsa penipu yang berpura-pura menjadi peguam yang melaksanakan urus niaganya.

Menyusuli dua kes penipuan yang berlaku dalam tempoh sebulan yang lalu, Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) menasihati orang ramai agar berhati-hati apabila mereka menerima emel dari firma guaman mereka yang meminta mereka untuk memindahkan wang.

Kedua-dua kes itu melibatkan firma guaman bagi pemindahan hak (conveyancing) dan urus niaga hartanah, menurut presiden LawSoc, Peguam Kanan Gregory Vijayendran di satu taklimat media pada Jumaat (24 Mei).

Para penipu menyamar diri dengan menggunakan identiti anak guam atau firma guaman dan memperdaya anak guam dengan menggunakan emel palsu yang hampir serupa dengan emel sebenar.

Ini merupakan "sejenis penipuan'", kata Encik Vijayendran. Penipuan sebegini akan memancing data menggunakan tipu helah untuk memperoleh maklumat sensitif.

LawSoc bagaimanapun tidak mendedahkan nama firma yang terlibat demi memelihara kerahsiaan firma itu.

Menurut LawSoc lagi, pihaknya amat prihatin terhadap pembeli kali pertama atau pembeli asing yang mungkin kurang peka tentang proses-proses urus niaga. Persatuan itu menambah, para peguam seharusnya menerangkan proses pemindahan hak dan garis waktunya kepada para pelanggan dan anak guam.

Ia juga menasihatkan para anggotanya supaya menerangkan dengan jelas tentang cara pembayaran kepada para pelanggan yang kurang celik IT, seperti warga emas.

Meskipun LawSoc tidak dimaklumkan tentang sebarang kes penipuan sedemikian dalam kalangan firma lain atau yang melibatkan jenis urus niaga undang-undang lain di sini, Encik Vijayendran menarik perhatian bahawa penipuan emel yang serupa turut dilaporkan di luar negara, seperti Britain.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan