Skip to main content

Singapura

Persatuan Guaman gesa Samuel Seow digugurkan sebagai peguam kerana aniaya kakitangannya

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Guaman gesa Samuel Seow digugurkan sebagai peguam kerana aniaya kakitangannya

Gambar: TODAY

Diterbitkan : 28 Feb 2022 10:15PM Dikemas Kini : 28 Feb 2022 10:16PM

SINGAPURA: Persatuan Guaman Singapura (LawSoc) pada Isnin (28 Feb) menggesa Mahkamah Tiga Hakim supaya menggugurkan peguam hiburan, Samuel Seow Theng Beng atas kelakuannya yang mendera para pekerjanya secara fizikal dan lisan pada 2018.

Menurut peguam kanan LawSoc, Dinesh Dhillon Singh, tingkah laku Seow sebagai seorang peguam kanan dengan pengalaman kira-kira selama 19 tahun ketika itu, "adalah satu penghinaan dan sangat memalukan kerjaya tersebut".

Seow bukan saja 'tidak menyesali' perbuatannya itu, malah dia juga mengadakan temu bual dengan media yang memperkecilkan insiden tersebut dan satu-satunya kebimbangannya adalah "reputasinya sendiri".

Mahkamah Tiga Hakim adalah badan disiplin tertinggi yang ditugaskan untuk menangani isu salah laku peguam. Perbicaraan pada Isnin (28 Feb) terdiri daripada Hakim Besar Sundaresh Menon, Hakim Steven Chong dan Hakim Andrew Phang.

Ketiga-tiga hakim itu menangguhkan hukuman yang akan dikenakan ke atas Seow dan akan mengeluarkan keputusannya pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Seow juga sedang menghadapi pertuduhan jenayah di Mahkamah Negara atas insiden yang sama.

Dia mengaku bersalah atas lapan tuduhan yang dikenakan terhadapnya oleh LawSoc kerana menganiaya tiga kakitangannya secara lisan dan fizikal pada Mac dan April 2018.

BACA: Peguam hiburan Samuel Seow dituduh aniaya kakitangan

KELAKUAN YANG TIDAK BOLEH DITERIMA: PEGUAM KANAN LAWSOC

Pada Isnin (28 Feb), peguam kanan LawSoc, Encik Singh mengusulkan Seow digugurkan daripada persatuan tersebut sambil menegaskan bahawa kelakuannya "tidak boleh diterima" tanpa mengira kecekapan seseorang pekerja.

Encik Singh turut menggesa mahkamah supaya jangan memberi sebarang pertimbangan kepada laporan psikiatri pihak pembela, yang menyatakan bahawa Seow mengalami gangguan penyesuaian ketika itu.

Seow berjumpa pakar psikiatri hanya setahun selepas kejadian tersebut. Laporan psikiatri itu tidak banyak membantu atau menerangkan apa sebenarnya gangguan penyesuaian yang dihadapi Seow dan bagaimana ia menyumbang kepada tingkah laku Seow, kata Encik Singh.

Selain itu, laporan psikiatri tersebut kelihatan seolah-olah berdasarkan versi kejadian yang tidak konsisten dengan fakta dan bukti rakaman yang dikemukakan, kata Encik Singh.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita