Skip to main content

Singapura

Persatuan Buddhist Lodge sumbang 30 tan beras untuk masyarakat Islam jelang Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 30,000 kilogram beras disumbangkan oleh Persatuan Buddhist Lodge kepada Masjid Ba'alwie siang tadi (6 Mac).

Ini merupakan tahun ke-12 Masjid Ba'alwie menerima sumbangan beras daripada persatuan itu.

Presiden Persatuan Buddhist Lodge, Tan Lee Huak, berkongsi dengan wartawan Nurfazirah Azman bahawa ia bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan berbilang agama di negara ini.

"Kami berharap melalui usaha ini, ia akan membuatkan lebih ramai rakyat Singapura dari agama dan budaya yang berbeza menjadi lebih erat," kata Encik Tan.

Beliau menjelaskan bahawa bungkusan-bungkusan beras yang disumbangkan adalah hasil sumbangan daripada para peniaga dan individu-individu di Singapura.

a
Presiden Persatuan Buddhist Lodge, Tan Lee Huak
"Beras ini didermakan oleh perniagaan-perniagaan kerana mereka mendapat untung yang lumayan jadi inilah sumbangan yang mereka berikan kepada kami. Kami rasa ini adalah usaha yang kecil tetapi bagi masyarakat berbilang kaum Singapura, ini amat penting.

"Kami ingin melihat semangat ini dicontohi pertubuhan lain seperti masjid-masjid untuk menjadikan Singapura negara yang terbaik untuk didiami," kata Encik Tan.

Beliau turut mendedahkan bahawa jumlah keseluruhan 30,000 kilogram beras itu bernilai hampir $90,000.
MASJID BA'ALWIE BANTU AGIH 30 TAN BERAS

Masjid Ba'alwie akan menjalankan usaha pengagihan beras ke masjid-masjid dan pertubuhan di sekitar Singapura.


"Agihan beras bukan sahaja kepada masjid tetapi juga kepada pertubuhan akar umbi yang bekerjasama dengan persatuan rakyat. Kami juga akan memberi beras kepada pertubuhan bukan mencari untung," kata Pengurus Pengagihan bBras Masjid Ba'alwie, Abbas Ali Mohamed Irshad.

30,000 kilogram beras yang disumbangkan itu diterima dalam pek beras seberat 25 kilogram.

Ia akan dibungkus semula dalam bungkusan lebih kecil untuk membolehkan mereka mengagihkan beras kepada lebih ramai individu.


"Beras yang diterima dibungkus dalam pek 25 kilogram jadi apabila pertubuhan-pertubuhan dan masjid-masjid menerima beras ini, mereka akan membungkus semula beras ini kepada jumlah yang lebih kecil misalnya tiga atau lima kilogram. Beras ini kemudian akan disumbangkan kepada mereka yang memerlukan," ujar Encik Irshad.

Bagi masjid-masjid dan pertubuhan yang berminat untuk mendapatkan beras tersebut. mereka boleh mendaftar menerusi borang dalam talian. 
"Selepas anda menyatakan minat, kami mempunyai jumlah yang terhad, 30,000 kilogram beras dan ia berdasarkan 'first come, first serve'. Kami kemudian akan hubungi anda dan memaklumkan tentang jumlah beras yang diperuntukkan buat anda dan dari mana anda boleh mengambil beras itu," kata Encik Irshad.

USAHA ERATKAN HUBUNGAN DENGAN BERBILANG AGAMA LAIN

Bagi Encik Irshad, usaha itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara masyarakat Islam dan Buddhist tetapi juga masyarakat lain.

"Ketika kami membungkus semula dan mengagihkan beras, kami juga ada relawan daripada gereja dan dari kumpulan agama lain seperti penganut Hindu yang tampil ke hadapan untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini. Ia benar-benar menggambarkan aspek berbilang kaum, budaya Singapura dan keharmonian sosial yang diperkukuh di negara ini," kata Encik Irshad.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Buddhist Lodge atas sumbangan mereka yang berterusan.
CERMINAN FABRIK SOSIAL SG

Turut hadir untuk menyerikan lagi acara adalah Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad yang mengalu-alukan sumbangan yang diterima.

Menurutnya usaha itu dapat memperkukuh fabrik sosial rakyat Singapura.

"Saya rasa ini satu perkembangan yang baik di mana kita melihat di mana fabrik sosial Singapura membawa rakyat bersama tidak kira agama ataupun bangsa dan kita menolong mereka yang memerlukan di Singapura terutama sekali dalam bulan Ramadan," kata Encik Zaqy Mohamad.
"Di sini kita akan memberi beras ini di merata Singapura terutama sekali kepada masjid-masjid dan Kelab Masyarakat yang akan mengagihkan atau menjalankan program-program seperti berbuka puasa dan sebagainya," tambah beliau.

Beliau menanam harapan agar masyarakat Islam dapat menyahut semangat Ramadan untuk menyumbang kembali kepada mereka yang lebih memerlukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita