Skip to main content

Singapura

Persatuan Barah SG lancar projek perintis ujian kendiri HPV, saringan barah serviks kini lebih mudah

Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan akses kepada saringan barahserviks, Persatuan Barah Singapura (SCS) telah bekerjasama dengan Perikatan Singapura bagi Tindakan Aktif Terhadap Papilomavirus Manusia (A4HPV) untuk melaksanakan projek perintis ujian kendiri HPV pertama dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Barah SG lancar projek perintis ujian kendiri HPV, saringan barah serviks kini lebih mudah

Persatuan Barah SG lancar projek perintis ujian kendiri HPV. (Gambar: Persatuan Barah SG)

SINGAPURA: Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan akses kepada saringan barahserviks, Persatuan Barah Singapura (SCS) telah bekerjasama dengan Perikatan Singapura bagi Tindakan Aktif Terhadap Papilomavirus Manusia (A4HPV) untuk melaksanakan projek perintis ujian kendiri HPV pertama dalam masyarakat.

Inisiatif itu dilancarkan semasa acara kesihatan wanita di Kelab Masyarakat Tampines West pada Sabtu (17 Mei), yang memberi peluang kepada wanita menjalani saringan sendiri secara lebih mudah dan selesa.

Ia merupakan sebahagian daripada kajian yang dijalankan A4HPV, sebuah gerakan sukarelawan belia, untuk menilai tahap penerimaan wanita terhadap kaedah ujian kendiri, dengan matlamat meningkatkan kadar saringan yang kian merosot.

KADAR SARINGAN BARAH PANGKAL RAHIM SEMAKIN MENURUN

Menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional (NPHS), walaupun barah pangkal rahim merupakan antara 10 jenis barah paling lazim dalam kalangan wanita di Singapura, kadar saringan telah merosot secara ketara, daripada 57.9 peratus pada tahun 2007 kepada hanya 43.1 peratus pada 2022.
Cara melakukan ujian kendiri HPV. (Gambar: Persatuan Barah SG)
Wanita yang tidak menjalani saringan berisiko tinggi dijangkiti virus papilloma manusia (HPV) berisiko tinggi, yang boleh kekal dalam badan tanpa gejala dan berpotensi menyebabkan barah jika tidak dikesan dan dirawat awal.

Satu kajian oleh SCS pada tahun 2024 mengenal pasti rasa malu, ketidakselesaan dan kekangan masa sebagai halangan utama kepada saringan.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa pensampelan kendiri HPV dikaitkan dengan kadar penyertaan yang lebih tinggi, membuktikan bahawa peningkatan kesedaran dan kemudahan akses boleh mendorong lebih ramai wanita untuk tampil menjalani saringan.

KAEDAH MUDAH, SELESA DAN PRIVASI TERJAGA

Semasa acara tersebut, wanita yang layak diberikan panduan untuk mengambil sampel faraj sendiri secara peribadi menggunakan swab, sebelum dihantar ke makmal untuk diuji.

"Wanita hari ini mempunyai pelbagai cara untuk melindungi diri mereka melalui saringan awal dan pencegahan, dari ujian berasaskan klinik hingga vaksinasi HPV.

"Pengambilan sampel sendiri boleh menjadi satu lagi pilihan. Ia boleh dipercayai, mudah, dan telah terbukti setanding dalam keberkesanan dengan ujian yang dikendalikan oleh doktor. Ia juga boleh membantu menjangkau wanita yang mungkin mengelak daripada saringan kerana halangan peribadi atau budaya," kata pakar obstetrik dan ginekologi Dr Ida Ismail-Pratt.

SCS juga akan menyediakan penjagaan susulan kepada peserta dengan keputusan ujian yang tidak normal, termasuk menjemput mereka menjalani pemeriksaan lanjut di Klinik SCS @ Bishan.

Cik Alimanachiya Abdulla, 60 tahun, seorang suri rumah yang mencuba ujian kendiri buat kali pertama, berkongsi pengalamannya:

“Arahan sangat mudah difahami dan saya rasa lebih senang melakukannya sendiri. Ramai wanita malu untuk jalani ujian seperti ini. Saya ingin beritahu mereka, lebih baik buat saringan awal," kata beliau.

Selain ujian kendiri, acara yang dianjurkan dengan sokongan Persatuan Rakyat turut menampilkan ceramah kesihatan oleh doktor dan bekas pesakit barah, serta sesi "SCS Sharing Circles".

Ia ruang untuk para wanita berkongsi pengalaman peribadi dan memperkukuh pemahaman tentang barah.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli, yang juga penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi Tampines, menyokong usaha itu.
Encik Masagos Zulkifli sokong usaha menggalakkan wanita menjaga kesihatan diri. (Gambar: Persatuan Barah SG)
“Usaha komuniti seperti ini penting untuk menggalakkan wanita menjaga kesihatan diri. Saya mengucapkan tahniah kepada SCS kerana membawa pilihan saringan lebih dekat dengan masyarakat dan membantu wanita melindungi diri daripada penyakit seperti barah serviks yang boleh dicegah," kata beliau.

SCS akan menilai maklum balas dan hasil daripada inisiatif ini untuk meneroka bagaimana pensampelan kendiri HPV boleh melengkapi strategi saringan serviks kebangsaan, termasuk kemungkinan untuk diintegrasikan ke dalam Klinik SCS @ Bishan dan program mendekati masyarakat pada masa akan datang.

Buat masa ini, wanita boleh terus membuat janji temu untuk ujian HPV dan Pap Smear secara percuma di SCS @ Clinic @ Bishan. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://sgcancersociety.info/screening
 
Sumber : BERITA Mediacorp/NA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita