Persatuan Barah SG buka Pusat Pemulihan Masyarakat Barah kedua di NCIS
SINGAPURA: Persatuan Barah Singapura (SCS) telah merasmikan pusat pemulihan masyarakat keduanya di Institut Barah Universiti Nasional Singapura (NCIS) hari ini (Khamis,12 Sep).
Pusat pemulihan masyarakatnya yang pertama, iaitu Pusat Pemulihan Barah SCS @ NCCS di bangunan Pusat Barah Nasional Singapura dibuka tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif SCS, Encik Albert Ching berkata: "Kes-kes barah semakin meningkat di Singapura. Dengan pengesanan awal serta rehabilitasi, lebih ramai pesakit dapat teruskan kehidupan, Itulah sebabnya permintaan rehabilitasi semakin meningkat. Ia menjadi hasrat kami untuk meningkatkan penjagaan barah kepada seramai mungkin pesakit."
"Kami sentiasa menambah baik model penjagaan kami, bekerjasama dengan NCIS untuk cuba menyesuaikan penjagaan untuk pesakit, memenuhi keperluan pesakit," tambah beliau lagi.
Pusat tersebut menyediakan penjagaan menyeluruh yang dikendalikan oleh pakar rehabilitasi onkologi.
Sokongan yang ditawarkan tertumpu kepada kes-kes barah tidak akut, dengan penekanan pada penjagaan yang disesuaikan mengikut keupayaan kesihatan dan matlamat pesakit.
Semua sesi rehabilitasi akan disesuaikan mengikut pelan penjagaan individu bagi setiap pesakit.
Ia boleh dilaksanakan secara perseorangan atau berkumpulan, membolehkan pesakit melakukan senaman bersama dan saling memberi motivasi.
Jenis terapi dan senaman yang disarankan akan bergantung pada keperluan khusus dan matlamat peribadi pesakit.
Konsultan Kanan Jabatan Haemotologi-Oncologi NUCI, Dr Samuel Ow berkata: "Rehabilitasi barah ini sesuai untuk semua pesakit kanser sepanjang perjalanan mereka, sebelum, semasa, dan selepas rawatan. Sebelum rawatan, rehabilitasi bertujuan untuk mempersiapkan tubuh pesakit dengan lebih baik untuk rawatan atau pembedahan. Semasa rehabilitasi, ia melibatkan fisioterapi, rawatan berasaskan penjagaan diri, serta sokongan dalam aspek pemakanan dan penilaian psikologi.
"Jika seseorang itu menjalani rehabilitasi selepas pembedahan pula, ia boleh mengurangkan kesan-kesan sampingan daripada antaranya luka ataupun perubatan. Misalnya, seseorang pesakit itu boleh merasakan sakit sendi ataupun kelemahan otot. Jadi rehabilitasi boleh mengurangkan kesan-kesan sampingan sebegitu," tambah Dr Ow.
JALANI REHABILITASI, BANTU ATASI KESAN SAMPINGAN KEMOTERAPI
Salah seorang pesakit yang meraih manfaat daripada sesi pemulihan di pusat tersebut ialah Cik Rozita Abidinsah, 55 tahun.
Ibu kepada dua orang anak itu telah berjaya mengatasi barah sebanyak tiga kali.
Beliau pertama kali didiagnosis menghidap barah kulit sekitar 10 tahun lalu, diikuti dengan barah ovari pada tahun 2019.
Dua tahun lalu, beliau didiagnosis pula dengan barah payudara tahap tiga dan telah menjalani pembedahan, kemoterapi, serta radioterapi dengan jayanya.
Walau bagaimanapun, kehidupan selepas pembedahan bukanlah sesuatu yang mudah bagi Cik Rozita.
Beliau berkata: "Pada waktu itu, pembedahan keluarkan 20 nodus limfa, jadi tangan kiri saya menjadi kejang dan tidak boleh angkat. Bahagian kiri saya kurang berupaya."
Cik Rozita kemudian dirujuk ke beberapa pusat pemulihan SCS.
Namun, lokasi pusat-pusat tersebut agak jauh dari rumahnya, menyukarkan beliau untuk mendapatkan rawatan secara konsisten.
Cik Rozita berkata: 'Untuk saya, jaraknya dekat dengan rumah saya. Anggota keluarga saya bekerja. Jadi saya perlu keluar bersendirian. Kalau jauh, saya takut pening, apa-apa sahaja boleh berlaku. Jadi kalau pusat ini dekat, bagus. Sebelum ini saya perlu ke pusat barah di pusat membeli-belah JEM, agak jauh."
Sesi-sesi pemulihan yang dilalui Cik Rozita termasuk melakukan program senaman khusus untuk mengurangkan kesan sampingan daripada kemoterapi dan radioterapi yang telah beliau jalani.
"Saya lakukan senaman di mesin 'treadmill', kuatkan bahagian badan bawah dan kaki. Saya boleh berjalan jarak jauh. Ada juga mesin gerakkan tangan, kuatkan tangan saya. Saya juga ada masalah lutut. Hasilnya tidak terlalu cepat, perlahan-lahan nampak perubahannya.
"Saya tidak boleh gunakan tangan kiri, jadi apabila pergi ke terapi, mereka bantu saya bagaimana untuk urut tangan, lakukan senaman ringan. Dahulu saya tidak boleh buka penutup botol, tidak ada kekuatan langsung. Selepas saya jalani latihan dan senaman, saya boleh. Saya pun tidak boleh angkat tangan sepenuhnya, sekarang sudah boleh," kongsi beliau.
Cik Rozita menghadiri sesi rehabilitasi sebanyak dua kali seminggu, dengan setiap sesi mengambil masa selama sejam.
Dalam sesi-sesi ini, beliau menerima bimbingan dan sokongan daripada pakar fisioterapi seperti Cik Richelle Mendoba Norsen.
Cik Richelle berkata: "Bagi Cik Rozita, beliau memerlukan penyesuaian badan secara umum. Ketika beliau mula menyertai kami, beliau masih menjalani rawatan kemoterapi. Beliau mungkin mengalami keletihan, jadi kami mengubah suai latihan beliau. Kadang-kadang, beliau mengalami kesakitan sendi yang boleh mempengaruhi latihan kardiovaskularnya. Kami perlu melatih beliau dengan menggunakan mesin tertentu, seperti treadmill atau basikal. Jika kesakitan beliau terlalu teruk, kami perlu beralih kepada peralatan lain. Jumlah dan beban latihan perlu dilakukan secara perlahan-lahan," jelas beliau.
Cik Rozita sesi-sesi pemulihan tersebut memberi kesan positif kepada dirinya.
"Pakar terapi sangat membantu, mereka memberikan motivasi. Kalau di rumah, kita lakukan senaman 5 minit sudah tidak mahu lakukan lagi. Kalau di sini, satu jam pun saya boleh lakukan," ujar beliau.
Cik Rozita kini merasa lebih bertenaga.
Beliau juga telah menyertai beberapa acara berjalan, seperti "Race Against Cancer" yang dianjurkan oleh SCS.
Cik Rozita kini berhasrat untuk menyertai lebih banyak lagi acara berjalan dalam masa terdekat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.