Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persatuan Bangladesh Singapura terkejut, kecewa dengan khutbah pendakwah pelampau

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Bangladesh Singapura terkejut, kecewa dengan khutbah pendakwah pelampau

(Gambar: Facebook/Md Golam Malwa, Google Street)

SINGAPURA: Seorang penceramah pelampau Bangladesh yang menyampaikan khutbah secara haram kepada pekerja hijrahan di Singapura mengejutkan Persatuan Bangladesh, kata setiausaha agungnya pada Jumaat (23 Ogos).

Pendakwah tersebut, Amir Hamza, memasuki Singapura menggunakan pasport dengan nama yang berbeza daripada nama dalam pangkalan data keselamatan Singapura.

Demikian menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri pada Rabu (21 Ogos).
Setiausaha agung Persatuan Bangladesh Singapura, yang tidak ingin dinamakan, menyifatkan insiden itu sebagai 'menyedihkan", dan memberitahu Mediacorp bahawa mereka yang tiba daripada negara mereka adalah "orang yang mencintai perdamaian".

Kumpulan tersebut adalah sebuah pertubuhan tidak meraih untung yang menggalakkan persefahaman antara warga Singapura dengan Bangladesh.

Setiausaha agung tersebut, yang sudah bersama kumpulan itu selama 17 tahun, menambah bahawa kebanyakan warga Bangladesh di sini tidak ingin terlibat dalam perbincangan bersifat kontroversi. Pada masa yang sama, dia mengakui bahawa mereka tidak dapat meramalkan perkara buruk yang mungkin berlaku.

Pada Rabu malam (21 Ogos), kumpulan tersebut mengeluarkan makluman di Facebook dan Whatsapp kepada lebih daripada 700 anggotanya, serta menggesa mereka yang menghadiri khutbah itu supaya tidak "terbawa-bawa dengan mesej dari seorang pendakwah yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya terlibat dalam perkara yang dilarang di sini".

"Setiap pekerja dari Bangladesh juga diingatkan agar mematuhi undang-undang Singapura, dan tidak membawa sebarang isu yang berlaku di Bangladesh atau negara-negara lain ke Singapura," tulis makluman tersebut.

Apablia Mediacorp mengunjungi dormitori itu pada petang Khamis (22 Ogos), nama dan logo syarikat bernama SBM Group, dilihat pada bangunan tersebut.

Menurut laman web syarikat itu, SBM Group memulakan operasinya pada 2007 dan menawarkan perkhidmatan seperti pembinaan dan pembaikan kapal, kerja keluli dan paip. Ia juga mempunyai syarikat pelancongan.

Lima pekerja yang bercakap dengan Mediacorp, yang tidak ingin nama mereka didedahkan, berkata bahawa mereka tidak tahu siapa yang menganjur khutbah Amir Hamza.

Dua pekerja berkata mereka beragama Hindu dan tidak menghadiri khutbah tersebut, tetapi pekerja lain yang hadir berkata mereka hanya tahu tentang khutbah itu sehari sebelumnya.

Apabila ditanya mengapa mereka memutuskan untuk menghadiri khutbah tersebut, seorang pekerja berkata: "Kami Muslim. Mereka datang dari negara kami. Mereka menyampaikan nasihat, jadi kami dengar khutbahnya."

Pekerja yang sudah bersama SBM Group selama tujuh tahun itu menambah, bahawa Amir Hamza bercakap tentang cara untuk menunaikan solat, dan ajaran yang patut mereka ikuti, perkara yang patut dilakukan dan tidak dilakukan sebagai Muslim.

Satu catatan di Reddit, yang memuat naik rakaman khutbah Amir Hamza, menarik perhatian bahawa pendakwah itu mengatakan tentang perkara "haram" dan yang bertentangan dengan Islam, dan perlu "dibersihkan dan dihalalkan".

Satu lagi pekerja, yang sudah bertugas dengan syarikat itu selama 10 tahun, menambah bahawa Amir Hamza "terkenal" di Bangladesh, namun terdapat "masalah" antara pendakwah tersebut dengan pemerintah Bangladesh.

Pada 2021, Amir Hamza ditangkap di Bangladesh kerana dikatakan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganasan, aktiviti berkaitan pengganasan dan menghasut perbuatan berkaitan keganasan.

Menurut laporan, dia dibebaskan dengan ikat jamin pada Disember tahun lalu sementara menunggu perbicaraan.

Warga Bangladesh itu menambah bahawa dormitori tersebut mempunyai kira-kira 500 hingga 600 pekerja, dan hanya mereka yang beragama Islam menghadiri khutbah itu, tanpa memberikan sebarang jumlah orang yang menghadirinya.

SIAPA AMIR HAMZA?

Amir Hamza menarik perhatian di Bangladesh berkaitan keselamatan negara, kerana ajarannya yang dikatakan bersifat ekstremis dan mempunyai hubungan dengan pengganasan, dedah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

“Dia dilaporkan menggalak sikap tidak bertoleransi, kebencian dan keganasan terhadap terhadap agama lain dalam khutbahnya. Dia juga didakwa sebagai tokoh berpengaruh dalam Ansar al-Islam (AAI), sebuah pertubuhan pengganas pro-Al-Qaeda yang beroperasi di Bangladesh,” tambah MHA.

Ceramah Amir Hamza juga didakwa mempengaruhi suspek pengganas yang dikaitkan dengan AAI Bangladesh, yang merancang untuk menyerang parlimen Bangladesh.

Penyiar berita Bangladesh, The Business Standard, melaporkan pada tahun 2020 bahawa sekurang-kurangnya 60 ulama, termasuk Amir Hamza, mengeluarkan komen dan maklumat yang tidak saintifik dalam khutbah ketika pandemik COVID-19.

Ketika disoal siasat, Amir Hamza mengaku bahawa dia menghasut orang ramai untuk "melakukan kegiatan menentang pemerintah" ketika menyampaikan khutbahnya. Pendakwah itu juga "mengganggu" keselamatan awam dan menghasut orang ramai untuk mengambil bahagian dalam jihad.

Berikutan khutbahnya di Singapura pada 9 Ogos, Hamza meninggalkan negara ini pada hari berikutnya, dan pihak berkuasa menerima aduan polis pada 12 Ogos.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan