Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persatuan Bahasa Melayu NUS sambut ulang tahun ke-50 tahun ini

Sejak ditubuhkan pada 1969, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS) sudah menjalankan pelbagai program di dalam dan luar kampus bagi menjangkaui lapisan anggota masyarakat berbeza.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak ditubuhkan pada 1969, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS) sudah menjalankan pelbagai program di dalam dan luar kampus bagi menjangkaui lapisan anggota masyarakat berbeza.

Kini selepas 50 tahun, persatuan tersebut masih berdiri teguh menggalas tanggungjawabnya dalam melestarikan bahasa dan budaya Melayu selain membangunkan siswa yang peka terhadap isu-isu sosial.

Hari ini (19 Jul), PBMUKS menyambut ulang tahunnya yang ke-50 dengan mengumpulkan anggota dan alumni jawatankuasanya.

Salah seorang daripada alumninya yang turut hadir di acara tersebut, ialah Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam.

LAKARAN PROGRAM DISESUAIKAN DENGAN KONTEKS SEMASA

Sejarah perkembangan PBMUKS selama setengah abad jelas menunjukkan peralihan peranannya sebagai sebuah pertubuhan pelajar di kampus.

Di bawah naungan mantan-mantan Presiden PBMUKS yang lama seperti Encik Hawazi Daipi misalnya, persatuan Bahasa Melayu itu lebih bercorak dalam membangunkan keupayaan akademik para pelajar Melayu.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Ini kerana pada zaman tersebut, masyarakat lebih memerlukan program-program yang bercorak pendidikan. Contohnya, pada tahun 1980-an, PBMUKS mengadakan beberapa kelas bimbingan dan bantuan melalui telefon untuk pelajar-pelajar ini.

Namun, fokus PBMUKS kini beralih kepada program-program yang bersifat bahasa dan budaya. Fokus diberikan kepada program seperti itu bagi berdepan dengan masyarakat pengguna milenial hari ini yang lebih cenderung dan fasih berbahasa Inggeris. Lantaran itu, program bahasa dan kebudayaan diperluaskan.

INISIATIF BARU DILAKAR

Sebagai sebahagian daripada usaha menyambut ulang tahunnya yang ke-50, PBMUKS melancarkan beberapa inisiatif baru bagi memperbaiki mutu program-program yang sudah dijalankan setakat ini.

Antaranya, termasuk inisiatif mengisi dana yang akan dikumpulkan daripada para alumni PBMUKS.

"Sebagai badan yang berdikari, acara-acara kami sememangnya harus mengadakan pengumpulan dana dan mendapatkan penajaan. Pada masa sekarang, lebih banyak masa yang diketepikan untuk mendapatkan dana sahaja.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

"Cara pendermaan ini memberi peluang untuk para anggota acara-acara kami untuk menumpukan perhatian mereka lebih kepada meningkatkan mutu acara
mereka," kongsi Presiden PBMUKS ke-50, Erna Adlina Kamarul Zaman.

Selain itu, PBMUKS juga akan melakarkan program 'pendamping' atau mentoring, di mana alumni PBMUKS diajak untuk memberikan nasihat dan mengongsi pengalaman mereka kepada jawatankuasa yang sedia ada.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 100 orang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan