Skip to main content

Singapura

Persatuan Bahas S'pura pertahankan ia berlaku adil dalam tuduhan seksual terhadap bekas anggota yang bunuh diri

Persatuan Bahas Singapura, yang disaman oleh bapa kepada salah seorang bekas anggotanya, menyatakan dalam kertas pembelaannya bahawa ia bertindak secara adil dalam tindakannya berhubung dakwaan salah laku seksual oleh Encik Lucas Li Guangsheng, yang kemudian membunuh diri. 

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Bahas S'pura pertahankan ia berlaku adil dalam tuduhan seksual terhadap bekas anggota yang bunuh diri

Lucas Li mati bunuh diri pada 8 Ogos 2018. (Gambar: Tributes to Lucas Li/Facebook)

Diterbitkan : 12 Jul 2021 08:03PM Dikemas Kini : 12 Jul 2021 08:06PM

SINGAPURA: Persatuan Bahas Singapura, yang disaman oleh bapa kepada salah seorang bekas anggotanya, menyatakan dalam kertas pembelaannya bahawa ia bertindak secara adil dalam tindakannya berhubung dakwaan salah laku seksual oleh Encik Lucas Li Guangsheng, yang kemudian membunuh diri.

Persatuan itu juga berhujah bahawa sesetengah perkara yang didakwa oleh bapa Encik Lucas adalah "melampau, remeh dan/atau menyakitkan hati" serta ia berhak untuk mengkritiknya pada tahap yang sesuai.

Mendiang Lucas merupakan pengarah pengasas Inisiatif Perkembangan Perbahasan (DDI) antara 2012 hingga 2014. Dia mati akibat bunuh diri pada 8 Ogos 2018, selepas persatuan tersebut mengeluarkan satu kenyataan awam tentang dakwaan salah laku seksual terhadapnya, tanpa mendedahkan namanya.

Ketika itu dia berusia 31 tahun.

Kenyataan itu mendakwa tingkah laku tidak wajar oleh Lucas, yang mewakili Singapura dalam pertandingan bahas antarabangsa pada 2005. Lucas menyelia kumpulan sembang WhatsApp bernama DDI Darkness di mana dia didakwa bertukar-tukar komen seksual dengan peserta kumpulan sembang itu.

Dia juga dituduh memberi tekanan kepada seorang anggota kumpulan itu untuk bertukar-tukar gambar lucah, yang berakhir dengan satu hubungan seksual yang dimulakannya.

Sehari sebelum Lucas membunuh diri, jawatankuasa eksekutif (EXCO) persatuan itu mengeluarkan satu kenyataan bertajuk "Dakwaan Salah Laku Terhadap Bekas Pengarah Inisiatif Perkembangan Perbahasan" ("Allegations of Misconduct Against A Former Director of the Debate Development Initiative") di lelamannya serta laman Facebook Singapore Debaters.

Menurut kenyataan itu, EXCO memutuskan untuk memfailkan aduan polis dan mengenakan larangan seumur hidup ke atas bekas pengarah itu bagi semua acara yang dianjurkannya. Ini selain memaklumkan pertubuhan rakan kongsi persatuan itu agar menghalang Lucas daripada menyertai mana-mana pertandingan atau perkhemahan yang dianjurkan bersama.

Bapa Lucas, Encik Lawrence Li See Kit, melancarkan satu tuntutan mahkamah terhadap persatuan itu pada awal tahun ini. Encik Li mendakwa persatuan itu berlaku cuai dalam cara ia menangani siasatan dan penerbitan dakwaan terhadap anak lelakinya.

Encik Li mendakwa tindakan mereka menyebabkan anak lelakinya membunuh diri apabila mereka tahu bahawa dia mengalami kemurungan. Encik Li juga merujuk kepada presiden EXCO persatuan ketika itu, Cik Cherylyn Wee, dan mendakwa wanita itu memaksa anggota lain agar mengambil tindakan terhadap anak lelakinya.

PERSATUAN BERTINDAK ADIL, MENURUT PEGUAM

Peguam persatuan itu, Encik Darren Tan dan Encik Joshua Tan dari Invictus Law, berkata ia telahpun bertindak secara adil, jujur dan tanpa berat sebelah atau penentuan awal dalam memfailkan aduan polis, melarang Lucas daripada acara-acara serta memberi amaran kepada pertubuhan rakan kongsi.

Mereka mengatakan dalam dokumen mahkamah, yang dilihat sendiri oleh Mediacorp, bahawa persatuan itu berhak bergantung kepada laporan audit di mesyuarat EXCO pada Julai 2018.

Laporan itu mendedahkan bahawa Lucas bertindak tidak wajar terhadap anggota kumpulan sembang WhatsApp tersebut, yang kebanyakannya berusia bawah umur. Ini termasuk insiden yang melibatkan perbuatan seksual yang dilakukan oleh Lucas terhadap seorang individu bawah umur.

Persatuan itu menafikan bahawa ahli EXCOnya tahu atau seharusnya mengesyaki bahawa Lucas lemah dari segi mental, atau kenyataannya itu berkemungkinan menyebabkan bahaya psikologi ke atasnya atau menimbulkan idea untuk bunuh diri.

Persatuan itu menyatakan bahawa pihaknya bertindak secara wajar dan jujur dalam membuat keputusan untuk menghebahkan tuduhan tersebut memandangkan sifat kes itu serta hakikat bahawa individu-individu bawah umur terlibat.

Persatuan itu mendakwa ia tidak menamakan Lucas secara terbuka mahupun menyatakan bahawa identiti pihak-pihak terlibat boleh didedahkan atas permintaan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita