Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persatuan Ain turunkan sasaran bagi Projek Kasih 2025 ekoran keadaan ekonomi tidak menentu, inflasi

Anggaran Waktu Membaca:
Persatuan Ain turunkan sasaran bagi Projek Kasih 2025 ekoran keadaan ekonomi tidak menentu, inflasi

Konsert amal 'Projek Kasih' bakal kembali dipentaskan buat kali ke-10 pada 10 Januari 2025.

SINGAPURA: Konsert amal 'Projek Kasih' bakal kembali dipentaskan buat kali ke-10 pada 10 Januari 2025.

Dengan tema "Rapuh, Setitis Ihsan Segunung Harapan", konsert amal anjuran Persatuan Ain dan Mediacorp Suria itu akan menekankan bagaimana rasa ihsan boleh menyuntik harapan kepada para pesakit barah yang dilanda kedukaan atau kesusahan.

Ketua Eaglevision, Fadila Abdul Wahid, berkongsi keterujaan Mediacorp Suria dapat meneruskan kerjasama dengan Persatuan Ain bagi tujuan murni itu.

"Dalam edisi kesepuluh ini, kami akan bawakan persembahan yang menyentuh hati oleh artis-artis berbakat dan menampilkan kisah-kisah daya tahan pesakit barah dan penjaga mereka dalam perjuangan mereka menentang barah.

"Kami berharap para penonton akan mengambil inspirasi dan menyokong kami dalam tujuan yang bermakna ini," kata Cik Fadila.

Konsert itu nanti akan menampilkan persembahan istimewa oleh Ziana Zain, Ramli Sarip, Hady Mirza dan ramai lagi.


Konsert amal selama dua jam itu akan dikemudikan oleh dua orang pengacara iaitu Khairudin Saharom dan Marina Yusoff.

Penaung Persatuan Ain, Puan Halimah Yacob juga diundang sebagai tetamu terhormat bagi memeriahkan lagi acara.

Rancangan pengumpulan dana itu bakal disiarkan secara langsung di saluran Mediacorp Suria pada pukul 8.30 malam.

Orang ramai boleh menyalurkan derma melalui PayNow ke UEN: T00SS0163F atau melalui platform Persatuan Ain. 

SASAR KUMPUL S$700,000, LEBIH RENDAH BERBANDING TAHUN LEPAS

Untuk konsert amal kali ini, Persatuan Ain menurunkan sasaran bagi kutipan dana iaitu sebanyak S$700,000.

Ini jauh lebih rendah berbanding jumlah yang diraih semasa siaran Projek Kasih 2024 iaitu sebanyak S$1,485,281.

Secara keseluruhan, kempen itu tahun lalu berjaya mengumpul S$1.5 juta.

Menurut Persatuan Ain, sasaran bagi Projek Kasih 2025 diturunkan memandang keadaan ekonomi yang tidak menentu dan peningkatan inflasi dalam kos
kehidupan.

KEMPEN PENGESANAN AWAL BARAH

Di samping konsert amal Projek Kasih, Persatuan Ain juga giat menganjurkan pelbagai lagi usaha untuk membantu para pesakit barah dan keluarga mereka.

Ini termasuk kempen 'Pengesanan Awal, Selamatkan Nyawa' Persatuan Ain yang diadakan sejak 2023.

"Tahun ini, kami berbesar hati melancarkan kempen pengesanan awal barah yang ketiga bagi menggalak masyarakat Melayu/Islam melakukan saringan awal penyakit barah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Md Yusof Ismail.

Encik Md Yusof juga turut mengumumkan penubuhan sebuah pusat baharu di Bedok.

Menurutnya, pusat itu akan meningkatkan keupayaan Persatuan Ain untuk memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat dan dalam masa yang sama, mengembangkan sayap penyelidikan Persatuan Ain.

"Kami menyasarkan untuk memberikan lebih banyak maklumat berasaskan bukti untuk memperkukuh usaha jangkauan dan misi kami. Kami amat berbesar hati dengan sokongan anda yang membolehkan kami memberi kesan yang bermakna dalam kehidupan para pesakit kami," kata Encik Md Yusof.

Tahun ini juga, Persatuan Ain telah melancarkan Pusat Jagaan Barah Young Heroes yang baru diubah suai untuk bantu pesakit barah muda dan belia.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan