Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persatuan Ain tambah peruntukan untuk bantu lebih ramai pesakit barah terjejas oleh COVID-19

Persatuan Ain akan memperuntukkan S$150,000 tahun depan dalam usaha membantu para pesakit barah dan juga keluarga mereka yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Ain akan memperuntukkan S$150,000 tahun depan dalam usaha membantu para pesakit barah dan juga keluarga mereka yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Jumlah tersebut 25% lebih tinggi berbanding berbanding dana yang diperuntukkan bagi Dana Khas Ancaman COVID-19 tahun lalu iaitu sebanyak S$120,000.

Ini hasil sumbangan lebih banyak daripada badan-badan tidak meraih keuntungan (NPO) serta jumlah penerima bantuan yang kian bertambah.

Persatuan Ain menjangkakan jumlah penerima akan meningkat kepada 500 individu tahun depan, 20% lebih ramai berbanding sekarang.

DARUL ARQAM SINGAPURA SUMBANG S$30,000

Bergabung demi membantu lebih ramai penerima bantuan.

Itulah yang dilakukan badan tidak meraih keuntungan seperti Darul Arqam Singapura yang menyumbang S$30,000 hari ini (16 Dis) kepada usaha bantuan COVID-19 yang dikendalikan oleh Persatuan Ain.

Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada dana S$150,000 yang akan diperuntukkan Persatuan Ain untuk membantu pesakit barah yang berdepan dengan pelbagai cabaran dek COVID-19.

Jumlah dana yang meningkat itu juga adalah bagi menampung jumlah penerima bantuan yang semakin meningkat.

Presiden Persatuan Ain, Encik Abdul Malek Osman berkata: "Kami menjangkakan dalam setahun ini, jumlah pesakit barah yang akan menerima akan meningkat daripada 420 ke 500."

"Sumbangan dari Darul Arqam, untuk membantu dalam usaha ini dan membantu para pesakit barah yang memerlukan dan datang daripada keluarga yang susah, kami sangat alu-alukan. Kami berharap akan ada lebih banyak NPO untuk bekerjasama untuk menolong masyarakat kita yang memerlukan terutama sekali pesakit barah," tambah Encik Abdul Malek.

Oleh itu, Darul Arqam Singapura tampil untuk turut membantu golongan khusus tersebut.

Presiden Darul Arqam, Imran Kuna berkata, "Sedangkan bagi orang biasa, pandemik ini sudah memberi kesan kepada kita, apatah lagi mereka yang menghidapi barah. Jadi sebarang kesan positif kepada kehidupan mereka untuk memperbaikinya, saya percaya adalah satu sumbangan yang besar"

Selain Persatuan Ain, Darul Arqam Singapura turut menyalurkan sumbangan yang diterima mereka kepada Mercy Relief, Yayasan Rahmatan Lil Alamin dan Palang Merah Singapura.

SETIAP PENERIMA BANTUAN TERIMA SEHINGGA S$1,000

Setiap penerima bantuan Dana Khas Ancaman COVID-19 Persatuan Ain boleh menerima sehingga S$1,000.

Ia tambahan kepada sokongan kewangan antara S$100 hingga S$300 yang diberikan kepada para penerima bantuan Persatuan Ain setiap bulan.

Selain Darul Arqam, badan-badan lain termasuk AMP, Kesatuan Kakitangan HDB, Pusat Buddha Vimalakirti dan Persatuan Kuil Chettiar turut menyumbang kepada usaha tersebut.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan