Persatuan Ain sasar kumpul dana lebih tinggi, S$850,000 bagi Projek Kasih 2026, lancar kumpulan sokongan baharu
SINGAPURA: Konsert amal Projek Kasih akan berlangsung esok (16 Jan) dan Persatuan Ain berharap, kempennya itu akan dapat mengumpul S$$850,000 tahun ini.
Sasaran itu lebih tinggi daripada S$700,000 yang ditetapkan tahun lalu, selaras dengan jumlah penerima bantuan yang bertambah.
"Ini disebabkan peningkatan dari segi pesakit barah yang bersama kami di bawah naungan Persatuan Ain. Dari tahun lalu sampai tahun 2026 ini, peningkatan sebanyak kurang lebih 190 pesakit barah baharu di bawah naungan Persatuan Ain. Dan ini menambahkan kos dari segi bantuan yang kami hulurkan kepada pesakit barah," Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ain, Encik Md Yusof Ismail.
Tambah beliau, peningkatan kepada jumlah penerima bantuan amat menggalakkan.
"Ia menggalakkan kerana lebih ramai pesakit barah dan keluarga mereka tampil ke hadapan, dan sudah tidak berasa berat hati dan malu untuk mendapatkan sokongan dan bantuan daripada Persatuan Ain," menurutnya.
Dana terkumpul akan turut digunakan untuk meningkatkan kemahiran para kakitangan Persatuan Ain.
"Kami sentiasa menitikberatkan kemahiran pegawai-pegawai atau kakitangan Persatuan Ain dalam kami menyantuni pesakit barah. Jadi kami menekankan setiap pegawai dan kakitangan kami mengikuti kursus dan latihan terkini dari segi kaunseling, sokongan emosi, psikososial dan juga urus tadbir Persatuan Ain, kerana pegawai-pegawai pentadbiran kami perlu meningkatkan kemahiran mereka agar kami dapat menyesuaikan diri dengan era digital sekarang ini," jelas Encik Md Yusof.
PERSATUAN AIN AKAN BENTUK KUMPULAN SOKONGAN BAHARU BUAT PENJAGA SELEPAS PEMERGIAN KELUARGA AKIBAT BARAH
Persatuan Ain juga akan melancarkan sebuah kumpulan sokongan buat para penjaga pesakit barah.
Dinamakan "Grieve and Bereavement" kumpulan itu diharap dapat menyediakan khidmat khusus buat para penjaga selepas pemergian ahli keluarga mereka akibat barah.
"Selalunya kehidupan mereka ialah menjaga pesakit, memberi ubat, mandikan, memberi makan dan sebagainya. Tetapi mereka terlalu memberikan tumpuan kepada pesakit barah. Dan kini pesakit itu tidak bersama mereka lagi, mereka seolah-olah hilang. Jadi sokongan diperlukan. Kalau tidak, mereka hanya duduk di rumah menghadap tembok dan hilang arah dan sudah tidak ada semangat untuk hidup," kongsi Encik Md Yusof Ismail.
CIK SALBIAH BERHENTI BEKERJA UNTUK JAGA ALMARHUM SUAMI SEPENUH MASA
Antara yang dapat meraih manfaat daripada usaha tersebut termasuk Cik Salbiah Abuchik, 66 tahun, isteri kepada Almarhum Raffi Khan, pelakon veteran yang suatu ketika dahulu menghiasi kaca televisyen.
Kini, sudah lebih setahun sejak Almarhum menghembuskan nafas terakhirnya akibat barah rektum.
Namun, masih segar dalam ingatan Cik Salbiah setiap detik suaminya berjuang melawan barah, termasuk ketika Almarhum memutuskan untuk tidak lagi menjalani kemoterapi kerana rasa sakit yang tidak tertanggung.
"Saya bercakap dengannya yang saya boleh menjaganya sebab sudah tiga tahun saya menjaganya. Jadi saya berharap dia tidak menghentikan kemoterapi. Tetapi dia mahu juga. Akhirnya, saya mengikut keputusannya dan itu yang membuat saya sedih," kongsi Cik Salbiah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Dia kesiankan saya. Selama tiga tahun itu, saya berhenti bekerja kerana ingin menjaganya. Itu yang membuatnya rasa dia menyusahkan saya, katanya," tambah beliau.
PERSATUAN AIN TERUS DAMPINGI CIK SALBIAH SELEPAS PEMERGIAN SUAMI
Keluarga Almarhum Raffi Khan menerima bantuan daripada pelbagai pihak bagi membiayai kos perubatan.
Selain itu, beliau juga menerima bantuan kewangan bulanan sejak di bawah naungan Persatuan Ain pada Julai 2024.
Cik Salbiah bagaimanapun menghargai sokongan emosi daripada Persatuan Ain, yang dianggap amat bermakna dalam menempuh saat-saat sukar.
Kakitangan Persatuan Ain bahkan masih mendampingi Cik Salbiah selepas pemergian suaminya.
"Untuk setahun, saya tidak bercampur dengan orang. Saya tidak keluar ke mana-mana. Hanya sekarang sahaja baru saya keluar. Itu pun baru-baru ini. Selama setahun Almarhum pergi, saya tidak bercampur dengan orang dan tidak berjumpa dengan sesiapa pun. Raya pun saya tidak menyambut. Kesannya sangat-sangat kuat," luah beliau.
"Persatuan Ain menolong saya semasa Almarhum masih ada. Daripada Almarhum ada sehingga beliau pergi, saya mengingatkan bantuan itu akan berhenti di situ sahaja. Namun, Persatuan Ain masih menolong saya, menghubungi saya dan menanya khabar. Ia memberi saya semangat. Mereka juga akan mengadakan perjumpaan dan acara untuk para penjaga pesakit di luar dan mereka akan menghubungi saya. Itu yang membuat saya terkesan sekali."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.