Persaingan sihat SG-Hong Kong beri manfaat kepada dagangan global: PM Wong
Persaingan sekali-sekala yang berlaku antara Singapura dan Hong Kong adalah sesuatu yang sihat dan akhirnya memberi manfaat kepada perdagangan global yang lebih luas, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Jumaat (27 Mac).
Semasa berucap dalam pertemuannya dengan Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee, Encik Wong berkata kedua-dua bandar itu mempunyai banyak persamaan dan hubungan mereka kini lebih penting berbanding sebelum ini.
“Kami merupakan hab bagi rantau masing-masing, dan walaupun terdapat sedikit persaingan dari semasa ke semasa, saya fikir ia adalah persaingan yang sihat. Lebih penting lagi, apabila kita saling berhubung, saiz perkongsian berkembang dan kedua-duanya meraih manfaat kerana kita sama-sama percaya kepada perdagangan bebas dan pendekatan berbilang hala berasaskan peraturan,” kata beliau.
Encik Wong turut menekankan hubungan antara kedua-dua bandar itu “lebih penting daripada sebelum ini dalam dunia yang semakin berpecah belah dan dengan rintangan yang semakin meningkat”, sambil menambah bahawa Singapura menantikan kerjasama yang lebih erat dengan Hong Kong.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Encik Wong ke Hong Kong sebagai perdana menteri.
Encik Wong berkata beliau berbesar hati dapat kembali ke bandar tersebut, sambil menyatakan bahawa lawatan rasmi terakhir olehnya adalah pada 2019 ketika beliau masih lagi seorang menteri.
“Banyak perkara telah berlaku di Hong Kong,” kata Encik Wong, sambil menambah beliau ingin mengetahui perkembangan baharu di bandar itu, termasuk pelan lima tahun serta projek Northern Metropolis, iaitu pembangunan seluas 30,000 hektar di sempadan Shenzhen yang bertujuan memacu perumahan dan pertumbuhan bandar.
“Saya ingin melihat apa yang dilakukan Hong Kong dan bagaimana Singapura boleh turut serta dalam peluang-peluang tersebut,” kata beliau.
Encik Wong dijadual melawat beberapa lokasi utama di Northern Metropolis semasa lawatan tersebut.
Hong Kong merupakan destinasi kedua dalam lawatan empat hari Encik Wong ke China, menyusuli persinggahan awal di Hainan.
HUBUNGAN KUKUH EKONOMI DAN RAKYAT
Selain diplomasi, kedua-dua bandar itu mempunyai hubungan rapat dalam bidang ekonomi dan sosial.
Singapura dan Hong Kong masing-masing merupakan rakan dagang kelima terbesar satu sama lain pada tahun lalu.
Lebih 5,000 syarikat Hong Kong beroperasi di Singapura merentasi beberapa sektor, termasuk perkhidmatan kewangan, maritim, rantaian bekalan dan logistik, serta pelancongan dan hospitaliti.
Syarikat Singapura pula sudah menubuhkan sekitar 60 ibu pejabat serantau, 100 pejabat serantau dan 430 pejabat tempatan di Hong Kong setakat akhir 2025.
Hong Kong juga menempatkan masyarakat ekspatriat Singapura yang terbesar di Asia, dengan lebih 20,000 penduduk.
Aliran pelancongan turut mencerminkan hubungan rapat tersebut - Singapura menerima lebih 330,000 pelawat dari Hong Kong tahun lalu, manakala lebih 470,000 melakukan perjalanan dari Singapura ke Hong Kong.
Awal dari itu pada Jumaat, Encik Wong bertemu dengan para pemimpin perniagaan Hong Kong.
Beliau juga dijadual menghadiri satu majlis resepsi bersama warga Singapura yang menetap di bandar tersebut sempena lawatannya ke Hong Kong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.