Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Persaingan sengit, saling tidak percaya punca negara lebih memilih keselamatan negara berbanding isu ekonomi: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Persaingan sengit, saling tidak percaya punca negara lebih memilih keselamatan negara berbanding isu ekonomi: PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa sidang puncak APEC. Gambar: CNA

SINGAPURA: Persaingan yang semakin sengit dan saling tidak percaya antara ekonomi utama dunia menyebabkan negara memilih keselamatan negara berbanding isu ekonomi, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Sabtu (19 Nov).

Merujuk kepada perang di Ukraine yang disifatkan Encik Lee sebagai satu "ancaman besar" kepada peraturan global, beliau menarik perhatian bagaimana konteks geopolitik sudah berubah sejak lebih 30 tahun lalu selepas pembentukan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, sebuah forum yang menggalakkan perdagangan bebas di rantau ini.

"Prinsip kecekapan pasaran, layanan saksama dan persaingan adil sudah di atasi pertimbangan daya tahan rantaian bekalan dan penguasaan teknologi," kata Encik Lee di Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-29 di Bangkok.

Dunia juga sedang berdepan dengan kemajuan teknologi dan ia akan mempunyai kesan yang berpotensi besar, tambah Encik Lee.

Namun bagi ekonomi terus terus maju, usaha globalisasi dan kerjasama ekonomi kekal penting.

Encik Lee berkata masanya adalah tepat bagi Thailand memulakan semula rundingan mengenai Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP).

Reuters melaporkan pada Sabtu (19 Nov) bahawa Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha berkata kumpulan itu telah membuat "kemajuan besar" kerana bersetuju dengan rancangan kerja berbilang tahun bagi FTAAP.

Beliau bagaimanapun tidak memberi penjelasan terperinci mengenai usaha memajukan FTAAP yang bertujuan untuk memanfaatkan rangka kerja dagangan sedia ada di rantau ini.

SISTEM DAGANGAN BERASASKAN PERATURAN

Encik Lee berkata dalam "dunia yang lebih rumit" sekarang, sistem perdagangan berasaskan peraturan yang kukuh diperlukan.

Peraturan sedia ada harus dikemas kini, dan sehingga tercapainya persetujuan mengenai peraturan baru, semua negara harus mematuhi peraturan yang sedia ada.

"Saya rasa APEC adalah salah satu wadah di mana kami boleh membincangkan perkara tersebut dan mengekalkan rundingan berterusan. Sekurang-kurangnya kami harus terus berbincang sementara mencari huraian terhadap masalah."

APEC ditubuhkan pada 1989 ketika usaha globalisasi sedang berkembang pesat, ekonomi semakin mendalami kerjasama ekonomi sedang halangan kepada perdagangan antarabangsa semakin berkurangan, kata beliau.

Namun 33 tahun kemudian, keadaan sudah berubah akibat ketegangan geopolitik yang disebabkan ketegangan dalam kumpulan APEC sendiri yang semakin meruncing termasuk China, Rusia dan Amerika Syarikat (AS) yang merupakan rakan kerja sejak awal lagi, kata Encik Lee.

Mesyuarat APEC di Bangkok adalah acara utama ketiga yang dihadiri Encik Lee dalam tempoh seminggu selepas sidang puncak ASEAN di Phnom Penh dan sidang puncak G20 di Bali.

Ditanya sama ada masalah geopolitik sudah berkurangan, Encik Lee menjawab tidak.

Beliau menyifatkan pertemuan di Bali antara Presiden AS, Joe Biden dan Presiden China, Xi Jinping sebagai satu "perkembangan positif" tetapi berkata ia "huraian terhadap masalah dan memulihkan keadaan, masih akan mengambil masa yang lama".

Encik Lee juga menarik perhatian kesan positif sidang puncak sedemikian buat negara kecil seperti Singapura.

"Dari sudut pandangan negara yang kecil, kami amat menghargai peluang untuk berkongsi perspektif kami dan bertemu dengan pelbagai pemimpin dan kekal dalam pandangan mereka .

"Mereka juga mendengar keprihatinan kami dan bagaimana kami berharap dunia akan maju ke hadapan."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan