Skip to main content

Singapura

Persaingan harga mungkin hadkan kesan kos skim pulangkan bekas minuman ke atas pengguna: MSE

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Feb 2026 02:54PM Dikemas Kini : 01 Mar 2026 12:46PM
  • Dr Janil Puthucheary menjelaskan skim pulangkan bekas minuman akan bermula di Singapura pada 1 April, dengan deposit S$0.10 dikenakan untuk kebanyakan minuman dalam tin dan botol.
  • Pengguna boleh mendapatkan semula deposit apabila bekas minuman dikitar semula di pusat yang disediakan, dan NEA akan memantau harga minuman selepas pelaksanaan skim.
  • Pengeluar perlu membayar yuran S$0.03 hingga S$0.04 bagi setiap bekas kepada pengendali skim, manakala pengeluar kecil menerima geran S$2,500 untuk menampung kos awal.
  • Pemerintah bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dan menyediakan duta serta sokongan tambahan untuk membantu golongan rentan menyesuaikan diri dengan skim ini.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebarang kos yang disalurkan kepada pengguna disebabkan oleh skim pulangkan bekas minuman berkemungkinan dihadkan oleh persaingan harga dalam kalangan pemain industri, kata Menteri Negara Kanan Kemampanan dan Sekitaran Janil Puthucheary di Parlimen pada Selasa (3 Feb).

"Ini merupakan pengalaman bagi sesetengah bidang kuasa yang melaksanakan perkara ini, di mana kajan mendapati pengenalan skim pulangan deposit tidak mempunyai kesan langsung yang ketara terhadap harga minuman atau penjualan minuman," katanya.

Dr Puthucheary menarik perhatian bahawa harga minuman adalah keputusan yang rumit, yang terjejas oleh corak permintaan pengguna dan strategi pemasaran.

"Kami melakar skim ini supaya ia dapat beroperasi secekap mungkin, dengan kos rendah kepada pengeluar," katanya.

"Sebarang kos yang disalurkan kepada pengguna berkemungkinan disederhanakan lagi oleh persaingan harga dalam kalangan pemain industri, kerana para pengguna mempunyai pelbagai pilihan yang luas."

Di bawah skim itu, yang bermula pada 1 April, para pengguna perlu membayar deposit S$0.10 bagi kebanyakan minuman dalam tin dan botol.

Bayaran deposit itu akan dipulangkan apabila bekas minuman kosong dipulangkan ke mesin kitar semula.

Menjawab soalan tambahan tentang bagaimana para pengguna akan dilindungi jika kenaikan kos menyebabkan harga minuman lebih mahal, Dr Puthucheary berkata pada Selasa (3 Feb) bahawa para pengguna mempunyai 'kecenderungan'.

"Mereka akan menyesuaikan pembelian mereka jika benar terdapat percubaan untuk memperolehi keuntungan tambahan melalui proses itu," katanya, sambil menambah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memantau harga minuman selepas skim itu dilancarkan.

Dr Puthucheary menjelaskan semua pengeluar perlu membayar yuran pengeluar sebanyak S$0.03 hingga S$0.04 kepada pengendali skim BCRS, bagi menampung pengumpulan dan pengitaran semula bekas minuman.

Para pengeluar kira-kira 80 peratus bekas minuman boleh meletakkan tanda deposit dan syarat kod bar langsung pada bekas minuman mereka, katanya lagi.

"Selain kos pelaksanaan sekali sahaja, syarikat pengeluar akan menyaksikan kos bagi setiap bekas minuman hampir dengan kos pengeluar iaitu sebanyak S$0.03 hingga S$0.04, yang sepatutnya memastikan kos pematuhan rendah untuk kebanyakan minuman yang dijual,” katanya.

Untuk mematuhi skim itu, sesetengah pengeluar mungkin perlu, atau memilih untuk meletakkan pelekat pada bekas minuman mereka daripada mengubah reka bentuk bekas tersebut.

Kos pelekat juga berbeza, kata Dr Puthucheary.

Dalam responsnya kepada soalan tambahan untuk menimbangkan sokongan jangka panjang bagi pengeluar kecil-kecilan, Dr Puthucheary berkata geran sebanyak S$2,500 yang diberikan kepada semua pengeluar berdaftar ditetapkan bagi menangani keperluan syarikat-syarikat pengeluar lebih kecil yang mempunyai kurang daripada 50,000 bekas minuman untuk dipasarkan setiap tahun.

"S$2,500 saya fikir, sudah lebih daripada mencukupi untuk menampung kedua-dua kos pendaftaran produk serta kos pengeluar bagi tahun pertama,iaitu kira-kira S$2,000," katanya.

"Namun kami juga sedia maklum bahawa tujuan skim ini adalah untuk memindahkan sedikit tanggungjawab kepada pihak pengeluar."

Skim pulangkan bekas minuman pada asalnya sepatutnya dimulakan pada April 2025, namun pihak berkuasa menangguhkannya selama setahun kerana pengeluar minuman yang besar memohon lebih masa untuk mengoperasikan skim tersebut.

Bekas-bekas minuman itu dijangka memasuki pasaran secara bertahap-tahap pada 1 April hingga 30 September, dengan ia tersedia secara meluas menjelang Ogos dan September.

Sembilan daripada 10 penduduk Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hanya perlu berjalan kaki selama lima minit untuk ke pusat pulangkan bekas minuman apabila skim itu dilancarkan pada April, kata Dr Puthucheary pada Januari lalu.

Kira-kira 1,000 pusat pulangkan bekas minuman akan ditempatkan di pasar raya utama dan kawasan dikunjungi ramai, dan matlamatnya adalah untuk menggandakan jumlah itu sepanjang tahun pertama ia mula beroperasi, katanya lagi.

"Kami mahu melakar sebuah skim yang berkesan bagi kita semua," kata Dr Puthucheary di parlimen pada Selasa (3 Feb).

Para duta akan dikerahkan ke lapangan untuk membimbing orang awam tentang cara penggunaan mesin itu semasa pelancarannya, katanya.

"Kami sedia maklum bahawa sesetengah warga emas dan golongan rentan dalam masyarakat mungkin memerlukan bantuan tambahan untuk menyesuaikan diri dengan skim itu," katanya, sambil menarik perhatian NEA dan pengendali skim, BCRS, komited untuk menyediakan sokongan tambahan bagi lebih menangani keperluan mereka.

Tumpuan utama dalam masa beberapa minggu akan datang ini adalah untuk bekerjasama dengan kesemua pihak berkepentingan untuk memupuk pemahaman dan sokongan bagi skim tersebut, kata Dr Puthucheary.

Pemerintah juga sedang berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan utama yang lain, termasuk kedai kopi dan peruncit kecil untuk membantu mereka memahami skim itu supaya mereka boleh menjelaskannya kepada para pengguna, katanya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita