Persaingan antara S'pura, M'sia akan 'bantu kita berkembang dengan lebih pesat': Mahathir
Persaingan antara Singapura dengan Malaysia akan "bantu kedua-dua pihak berkembang dengan lebih pesat", kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Khamis (6 Dis).
SINGAPURA: Persaingan antara Singapura dengan Malaysia akan "bantu kedua-dua pihak berkembang dengan lebih pesat", kata Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Khamis (6 Dis).
"Malaysia dan Singapura seperti saudara kembar, cuma mungkin kembar lebih tua sedikit lebih besar berbanding yang muda," tulis Dr Mahathir menerusi catatan Facebooknya.
"Seperti banyak negara lain, akan ada perbezaan dan persaingan antara kita. Namun, ia akan membantu kita membangun dengan lebih cepat."
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong kerana menyambut kedatangannya di Singapura semasa sidang ASEAN pada November, di mana beliau juga menggunakan analogi saudara kembar untuk menggambarkan hubungan Singapura-Malaysia.
Catatan media sosial Dr Mahathir dikeluarkan sedang Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan mengumumkan pada Khamis (6 Dis) bahawa Singapura meluaskan had pelabuhannya dekat Tuas.
Singapura dan Malaysia terjebak dalam satu pertikaian maritim menyusuli langkah Kuala Lumpur meluaskan had pelabuhan Johor Bahru. Singapura menyifatkannya sebagai mencerobohi perairannya.
Encik Khaw berkata terdapat 14 pencerobohan oleh kapal-kapal Malaysia di perairan wilayah Singapura di Tuas bagi tempoh dua minggu lalu, yang mendorong Singapura untuk meluaskan had pelabuhannya sebagai menjawab "perkembangan provokatif baru-baru ini".
Dr Mahathir pada Rabu (5 Dis) menafikan bahawa Malaysia sudah 'menyentuh' sempadan Singapura, satu dakwaan yang disangkal Singapura.
Singapura dan Malaysia juga sedang bertikai tentang ruang udara selatan Johor. Pada Selasa (4 Dis), Malaysia menyatakan bahawa ia berhasrat untuk mengambil semula ruang udara yang diuruskan Singapura sejak 1974, di tengah-tengah pergeseran tentang laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar.
Sejak Dr Mahathir kembali dalam politik Malaysia pada Mei lalu, beberapa isu dua hala antara kedua-dua negara dipertikaikan semula dengan Dr Mahathir mengatakan bahwa beliau ingin merundingkan semula perjanjian air yang dimeterai pada 1962.
Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur dengan Singapura turut ditangguhkan selepas Malaysia menyemak semula beberapa projek mega yang diluluskan kerajaan Malaysia sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.