Perpustakaan terbesar dalam pusat beli-belah dibuka di VivoCity 12 Jan
Perpustakaan terbesar yang terletak di pusat beli-belah akan dibuka secara rasmi pada 12 Jan, di VivoCity.
SINGAPURA: Perpustakaan terbesar yang terletak di pusat beli-belah akan dibuka secara rasmi pada 12 Jan, di VivoCity.
Perpustakaan seluas 3,000 meter persegi itu dikenali sebagai library@harbourfront dan menghadap pulau peranginan Sentosa.
Ia menggantikan Perpustakaan Bukit Merah Central yang ditutup pada 1 Disember lalu.
Kemudahan yang dikelilingi suasana menghijau itu terletak di tingkat tiga VivoCity dan mempunyai 460 tempat duduk.
Ia mempunyai dua bahagian khas, iaitu untuk kanak-kanak dan orang dewasa serta remaja.
Perpustakaan itu juga dilengkapi dengan kemudahan digital dengan 16 stesen akhbar elektronik.
Sekitar 150 sukarelawan akan berkhidmat bagi membantu para pengunjung ke perpustakaan baru itu.
Library@habourfront dijangka menarik sekitar 1.5 juta pengunjung setiap tahun, tiga kali lebih ramai daripada jumlah pengunjung Perpustakaan Bukit Merah Central.
ZON KANAK-KANAK RANGSANG PEMBELAJARAN KREATIF
Bahagian kanak-kanak direka bagi membantu para pembaca muda menimba ilmu menerusi teknologi. Dalam satu ruang dipanggil 'Tinker Truck', buku-buku Realiti Terimbuh (Augmented Reality) yang meliputi pelbagai topik disediakan untuk menjadikan pengalaman membaca mereka lebih interaktif.
Ia juga akan menampilkan ruang "makerspace" pertama dalam sebuah perpustakaan bertujuan mengembangkan daya kreativiti dan kemahiran kanak-kanak menyelesaikan masalah menerusi bahan-bahan pembelajaran DIY, kraf dan teka-teki.
NLB menyatakan ia akan bekerjasama dengan rakan-rakan lain untuk menjalankan program-program berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik secara bulanan.
Bagi menyediakan pengalaman penceritaan lebih mendalam, ruang itu direka untuk membolehkan video-video dipaparkan pada semua empat dinding bilik itu, dengan menggunakan kesan cahaya dan audio.
(Gambar-gambar: Cheryl Lin)
RUANG PEMBACA DEWASA DAPAT SENTUHAN DIGITAL
Di bahagian pembaca dewasa dan remaja, suratkhabar dalam bentuk fizikal digantikan dengan 16 stesen membaca akhbar digital - yang terbanyak dalam mana-mana perpustakaan awam di Singapura.
Pameran tetap tentang teknologi-teknologi baru muncul pula akan diadakan pada setiap tiga bulan.
Sementara itu, sepertiga daripada 200,000 buku di perpustakaan itu merupakan bahan bacaan dalam bahasa ibunda merangkumi subjek yang rencam.
"Untuk para penulis Singapura dan mereka yang mencintai bidang fiksyen, kami akan sediakan bahan-bahan fiksyen yang terkini. Untuk para penulis Singapura dan pencinta sastera tempatan, kami juga menyediakan satu sudut khusus yang mengetengahkan bahan-bahan penulis dari Singapura," ujar Encik Herman Rothman, pustakawan bersekutu (Bahasa Melayu) NLB.
"Singapura sedang dalam usahanya untuk menggalak negara bijak dan NLB merasakan kami boleh memainkan peranan dalam usaha ini. Kami ingin menjadikan teknologi sesuatu yang mudah untuk orang ramai rasa dan sentuh namun bukan dengan cara yang menakutkan," kata penolong ketua eksekutif (khidmat perpustakaan awam) NLB, Cik Catherine Lau.
Perpustakaan itu juga menawarkan sesi realiti maya (VR) secara mingguan bagi para pengunjung, di samping menyediakan alat-alat interaktif seperti Google Voyager.
Bahagian dewasa dan remaja akan dikendalikan oleh para sukarelawan yang akan membantu untuk mencari, mencadangkan atau menyusun buku-buku.
NLB menjangkakan jumlah sukarelawannya akan terus meningkat. Perpustakaan awam lain di Chinatown, Tampines dan Bukit Panjang beroperasi mengikut model serupa.
"Bila kami berkongsi dengan mereka, mereka akan lebih percaya sebab kalau saya warga emas boleh buat, dia pun boleh buat sama," kongsi Cik Wan Shamsiah Mohd Woojdy, 60 tahun, salah seorang pelayan perkhidmatan di library@harbourfront.
"Mula-mula saya lihat mereka takut hendak gunakan kemudahan elektronik ini semua sebab mereka takut kalau pegang nanti salah ke rosak, tetapi selepas mengajar mereka cara membaca akhbar elektronik, mereka suka sangat, sampai tak hendak berganjak dari tempat itu," katanya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.