Perpustakaan awam sambung semula operasi biasa mulai 1 Sep; langkah COVID-19 terus dilaksana
Semua perpustakaan awam akan dibuka semula mengikut waktu operasi biasa mulai 1 Sep dengan langkah jarak selamat dan jumlah pengunjung terus dikawal, menurut Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Jumaat (28 Ogos).

(Gambar: AP)
SINGAPURA: Semua perpustakaan awam akan dibuka semula mengikut waktu operasi biasa mulai 1 Sep dengan langkah jarak selamat dan jumlah pengunjung terus dikawal, menurut Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Jumaat (28 Ogos).
Perpustakaan Negara, Bangunan Arkib Negara Singapura dan kesemua perpustakaan awam akan dibuka mulai pukul 10.00 pagi hingga 9.00 malam.
Perpustakaan-perpustakaan yang ditempatkan dalam pusat beli-belah akan dibuka mulai 11.00 pagi hingga 9.00 malam, menurut NLB dalam kenyataan medianya.
"Kami berharap ia akan memudahkan para pengunjung, di samping membolehkan mereka untuk sekali lagi memanfaatkan khidmat kami pada sebelah pagi dan juga selepas selesai bekerja pada sebelah petang," menurut NLB.
NLB turut mendedahkan bahawa Kilang Ford Lama akan dibuka dari pukul 9.00 pagi hingga 5.30 petang.
Perpustakaan-perpustakaan akan terus beroperasi pada dasar "pinjam buku dan bawanya pulang", yang bermakna para pengunjung masih boleh meminjam dan memulangkan bahan-bahan fizikal serta menggunakan khidmat tempahan dan pulangan buku.
Setiap pengunjung dihadkan hanya 30 minit bagi perpustakaan awam dan dua jam bagi Perpustakaan Rujukan Lee Kong Chian.
"Para pengunjung digalak supaya membuat tempahan bagi waktu kunjungan yang diinginkan menerusi sistem tempahan online," menurut NLB.
Semua ruang belajar dan tempat duduk, termasuk sudut membaca akhbar dan berbilang media tidak dibuka kepada orang awam. Kesemua program, lawatan berpandu dan acara juga akan terus digantung.
Disebabkan oleh pandemik COVID-19, semua perpustakaan awam di Singapura ditutup dari 7 April, iaitu permulaan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.
Ia dibuka semula pada 1 Julai dengan waktu operasi yang lebih singkat serta had ditetapkan pada jumlah pengunjung dan waktu kunjungan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.