Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perpustakaan Awam Central, Marine Parade akan dinaik taraf; khidmat alternatif akan disediakan

Anggaran Waktu Membaca:
Perpustakaan Awam Central, Marine Parade akan dinaik taraf; khidmat alternatif akan disediakan

Mesin pinjaman buku NLB. (Gambar: NLB)

SINGAPURA: Perpustakaan Awam Central (CTPL) dan Perpustakaan Awam Marine Parade akan menjalani kerja-kerja naik taraf, menurut Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Selasa (5 Apr). 

Terletak di tingkat bawah bangunan Perpustakaan Negara di Victoria Street, Perpustakaan Awam Central akan ditutup dari 13 Jun sehingga separuh pertama tahun depan. 

Ia merupakan kerja-kerja naik taraf yang pertama bagi perpustakaan tersebut sejak ia dibuka pada 2005. 

Perpustakaan Awam Marine Parade pula akan ditutup dari 9 Mei sehingga tahun 2025 sebagai sebahagian daripada kerja-kerja bagi menyuntik kesegaran yang lebih meluas kepada Bangunan Masyarakat Marine Parade. 

Perpustakaan itu sudah ditempatkan di lokasi tersebut sejak Mei 2000 dan sebelum ini telah menjalani kerja-kerja naik taraf sepanjang tempoh selama dua bulan pada Mac 2013. 

Kerja naik taraf kedua-dua perpustakaan awam itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Perpustakaan dan Arkib 2025 (LAB25). 

"Kami menaik taraf perpustakaan-perpustakaan tersebut agar ia dapat memenuhi keperluan pembelajaran dan corak membaca yang kian berubah-ubah. Dengan setiap kerja naik taraf perpustakaan, kami akan menyediakan khidmat-khidmat baru untuk meningkatkan keseronokan belajar," menurut Ketua Pegawai Eksekutif NLB Ng Cher Pong. 

"Walaupun semasa penutupan sementara itu, kami akan terus menyokong pembacaan dan pembelajaran penduduk.

"Pelan LAB25 kami akan membimbing kerja-kerja naik taraf perpustakaan di Marine Parade dan Central, dan ia akan melibatkan masyarakat dan rakan-rakan kami dalam membayangkan semula bagaimana kita boleh meneroka dan belajar di perpustakaan-perpustakaan kita." 

KHIDMAT-KHIDMAT BARU 

Para pengunjung ke kedua-dua perpustakaan tersebut akan mendapat akses kepada beberapa khidmat alternatif buat sementara waktu ini.

"Sepanjang tempoh kerja naik taraf itu, para pengunjung ke kedua-dua perpustakaan tersebut boleh mencuba beberapa khidmat baru yang akan memastikan mereka dapat terus belajar, membaca dan meneroka," menurut NLB dalam kenyataan medianya. 

"Khidmat-khidmat ini adalah tambahan kepada sumber-sumber digital yang luas seperti e-buku, e-majalah dan e-surat khabar yang para pengunjung boleh mengakses melalui aplikasi NLB." 

Perpustakaan "Grab-n-Go" dengan kira-kira 5,000 buku bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil akan dibuka di Ruang Belajar di Tingkat Lima di Bangunan Perpustakaan Negara mulai 18 Mei. 

Dibuka dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam, perpustakaan tersebut akan merekod pinjaman para pengunjung secara automatik.

Para pengunjung ke Perpustakaan Awam Marine Parade boleh meminjam buku daripada mesin pinjaman buku 24 jam yang ditempatkan di luar pasar raya FairPrice Finest di 6 Marine Parade Central mulai Mei. Ia merupakan lokasi lama Perpustakaan Awam Marine Parade dari 1978 hingga 2000. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan