Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perpustakaan Awam, Arkib Negara buka pintu kepada lebih ramai pengunjung mulai 19 Ogos

Lebih ramai orang boleh mengunjungi perpustakaan awam mulai Khamis (19 Ogos) apabila Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) meningkatkan kapasiti operasinya menyusuli pelonggaran langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat). 

Anggaran Waktu Membaca:
Perpustakaan Awam, Arkib Negara buka pintu kepada lebih ramai pengunjung mulai 19 Ogos

படம்: (Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 16 Aug 2021 02:51PM Dikemas Kini : 16 Aug 2021 02:52PM

SINGAPURA: Lebih ramai orang boleh mengunjungi perpustakaan awam mulai Khamis (19 Ogos) apabila Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) meningkatkan kapasiti operasinya menyusuli pelonggaran langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

NLB akan meningkatkan had tampungan operasinya di Perpustakaan Negara, 26 perpustakaan awamnya, Arkib Negara serta Bekas Kilang Ford dari 25 peratus kepada 50 peratus. Demikian menurut lembaga itu dalam satu kenyataan media pada Isnin (16 Ogos).

Had masa lawatan pengunjung juga akan ditarik balik pada hari-hari biasa "untuk membolehkan pengunjung meluangkan lebih banyak masa membaca dan belajar di kemudahan-kemudahan tersebut".

"Bagi hujung minggu, kami akan meneruskan dengan sistem kemasukan berjadual untuk menguruskan tampungan," tambah NLB.

Orang ramai dibenarkan mengunjungi perpustakaan daerah di Jurong, Tampines dan Woodlands serta Perpustakaan Negara, ruang belajar di bangunan Perpustakaan Negara dan Arkib Negara selama sehingga tiga jam.

Di kesemua perpustakaan awam lain, had meluangkan waktu bagi pengunjung adalah dua jam manakala di Bekas Kilang Ford, ia kekal hanya satu jam.

Pengunjung juga perlu membuat tempahan online lebih awal untuk slot pilihan jika mereka merancang untuk mengunjungi tempat-tempat itu pada hujung minggu.

Mereka boleh membuat tempahan sehingga lima orang bagi setiap slot. Pengunjung juga boleh memeriksa secara online melalui aplikasi NLB untuk mengetahui jumlah orang yang berada di perpustakaan dan arkib berdasarkan masa nyata sebelum membuat lawatan mereka.

Jumlah penonton bagi tayangan awam Arkib Filem Asia di Teater Oldham di bangunan Arkib Negara akan dinaikkan dari 33 orang kepada 50 orang, menurut NLB. Langkah jarak selamat akan terus dilaksanakan bagi tempat duduk di teater itu serta had pergaulan antara kumpulan. 

Pemeriksaan suhu badan juga tidak lagi disyaratkan di premis NLB mulai Khamis. Bagaimanapun, orang ramai masih perlu memakai pelitup pada setiap masa dan mematuhi had kapasiti di kemudahan perpustakaan.

Pemerintah mengumumkan pelonggaran lanjut langkah-langkah COVID-19 pada 6 Ogos. Ini termasuk membenarkan orang ramai duduk makan di luar bagi mereka yang sudah divaksin dan meningkatkan jumlah orang di tempat kerja.

Di bawah langkah-langkah baru itu, muzium, perpustakaan, daya tarikan dan kapal pesiaran juga dibenarkan untuk meningkatkan jumlah orang di premis masing-masing dari 25 kepada 50 peratus mulai 19 Ogos.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan