Perpaduan sosial S'pura hasil usaha konsisten, bukan kebetulan, kata DPM Lawrence Wong
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berkata perpaduan sosial di Singapura tidak berlaku secara kebetulan tetapi dibina menerusi usaha konsisten.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong berucap pada hari terakhir Persidangan Masyarakat Bersatu Padu pada 8 September 2022. (Gambar: International Conference on Cohesive Societies)
Beliau berkata demikian pada hari terakhir persidangan masyarakat bersatu padu, yang dihadiri 800 wakil termasuk pemimpin silang agama dan masyarakat dari 40 negara, pada Khamis (8 Sep).
Encik Wong berkata perpaduan sosial bermula dengan persefahaman. Ini dicapai dengan menggalakkan interaksi antara individu dari latar belakang berbeza-beza.
Ia dilakukan di Singapura menerusi skim-skim seperti dasar perumahan awam yang memastikan sesebuah kawasan perumahan didiami penduduk berbilang kaum.
Encik Wong menegaskan peri pentingnya untuk membudayakan sikap bertolak ansur dengan menghuraikan perbezaan menerusi rundingan dan kompromi. Ini bermakna mencari keseimbangan yang dapat diterima oleh semua pihak.
Menteri Kewangan itu juga menekankan perlunya semua pihak berasa mereka membentuk sebahagian masyarakat dan bersama-sama berkembang maju.
"Itulah sebabnya kami menjalankan gerakan baru-baru ini untuk memperbaharui dan memperkukuh kontak sosial bagi memastikan kita boleh mengusahakan pertumbuhan kukuh dan inklusif, dengan peluang-peluang bagi setiap warga serta meyakinkan rakyat bahawa mereka akan disokong sekiranya mengalami kesusahan," kata beliau.
"Kami menamakan gerakan itu sebagai Melakar Hala Tuju Singapura kerana kami berharap untuk membina kata sepakat tentang hala tuju negara dan, dalam berbuat demikian, memperdalamkan perpaduan sosial," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.