Perpaduan bukan satu kebetulan, ia perlu diusahakan: Edwin Tong
Perpaduan tidak berlaku secara kebetulan dan "memerlukan niat", kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong, pada Khamis (26 Jun).
Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong, berucap di Pusat Konvensyen Raffles City pada 26 Jun 2025. (Gambar: Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia)
“Ia mesti disengajakan, ia mesti menjadi keutamaan fikiran kita, ia mesti menjadi sesuatu yang kita sedar dan kita perlu menyusun diri kita mengikut keperluan ini,” kata Encik Tong di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Kohesif di Pusat Konvensyen Raffles City.
“Ia memerlukan apa yang saya sebutkan sebagai kerencaman budaya yang disengajakan – sesuatu yang tidak boleh dibentuk secara kebetulan,” tambahnya.
Encik Tong menekankan bahawa perpaduan sosial bukan keadaan semula jadi, malah “naluri paling asas kita cenderung untuk mencari individu yang serupa dengan diri kita”.
"Kita bergaul dengan orang yang kelihatan seperti kita, bercakap seperti kita, berkongsi kepercayaan kita, dan pada asasnya mencerminkan diri kita sendiri."
Beliau berkata, kita tidak boleh beranggapan bahawa perpaduan akan berlaku secara kebetulan, terutama sekali dalam masyarakat yang rencam dari segi minat, kepercayaan dan latar belakang.
“Kita mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh, dan ia bukan usaha yang mudah,” katanya.
“Namun jika kita berjaya, kita dapat membentuk norma bersama, matlamat dan aspirasi bersama, serta mewujudkan suasana di mana masyarakat bukan sekadar bertolak ansur, tetapi saling menerima satu sama lain.”
Encik Tong turut menegaskan bahawa perpaduan dan keharmonian masyarakat sejati tidak boleh dicapai hanya melalui "satu huraian mudah", memandangkan setiap individu datang daripada warisan dan norma budaya yang berbeza-beza.
“Ia melibatkan pelbagai aspek kerana tiada dua masyarakat yang benar-benar sama. Ia juga sentiasa berkembang dan berubah-ubah merentasi generasi yang berbeza-beza,” katanya.
Lebih 1,000 individu, termasuk penggubal dasar, pengamal masyarakat dan pemimpin muda dari lebih 50 negara, menghadiri persidangan tersebut yang dianjurkan oleh Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
KERENCAMAN BUDAYA “BUKAN KEADAAN SEMULA JADI”
Singapura bakal menyambut ulang tahun ke-60 kemerdekaannya tahun ini, dan Encik Tong berkata pencapaian itu merupakan detik penting dalam usaha negara membina masyarakat majmuk yang bersatu padu.
Namun, ia juga merupakan peluang bagi rakyat Singapura untuk merenung dan bertanya apa lagi yang boleh dilakukan untuk menuju ke arah “SG100 dan seterusnya”.
Singapura, katanya, sudah menjadi ibarat “kaleidoskop” yang merangkumi pelbagai etnik, agama dan bahasa, suatu keadaan yang menurutnya bukan semula jadi, sebaliknya memerlukan usaha berterusan.
Sebelum mengakhiri ucapannya, Encik Tong berkongsi pendekatan, yang menurutnya, perlu diambil dalam membina perpaduan.
"Saya percaya bahawa usaha kita mesti sentiasa dengan hati yang terbuka, sentiasa bersedia untuk melihat melangkaui perbezaan, mahu memupuk rasa prihatin, idea dan membina harapan dengan mereka yang mungkin kelihatan, berfikir dan bercakap dengan cara berbeza daripada diri kita sendiri," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.