Perompak StanChart David Roach dijel 5 tahun
Seorang lelaki yang merompak sebanyak S$30,450 dari cawangan Standard Chartered di Holland Village lima tahun lalu dan kemudian melarikan diri ke luar negara dikenakan hukuman di mahkamah pada Rabu (7 Jul).

David Roach mencuri lebih S$30,000 daripada bank Standard Chartered di cawangan Holland Village. (Gambar: SPF)
SINGAPURA: Seorang lelaki yang merompak sebanyak S$30,450 dari cawangan Standard Chartered di Holland Village lima tahun lalu dan kemudian melarikan diri ke luar negara dikenakan hukuman di mahkamah pada Rabu (7 Jul).
Warga Kanada, David James Roach, 31 tahun, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan. Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan merompak dan satu lagi tuduhan memindahkan hasil rompakan itu ke luar negara.
Pada Jun 2016, Roach buat pertama kali memasuki Singapura menggunakan pas lawatan sosial. Dia tidak mempunyai anggota keluarga di sini dan telah pergi ke cawangan StanChart di Holland Village pada 7 Julai 2016.
Dia menyerahkan sekeping kertas kepada pekerja di kaunter yang bertulis: "Ini satu rompakan. Aku ada pistol dalam beg."
Wanita itu membaca nota tersebut dan memandang Roach yang kemudian menyeluk tangannya ke dalam beg seakan dia ada senjata. Wanita itu percaya dan menyerahkan wang berjumlah S$30,450 dalam satu sampul surat.
Roach meninggalkan Singapura pada hari yang sama, menaiki sebuah pesawat menuju ke Bangkok pada sekitar 2.40 petang. Pihak berkuasa Thailand memberitahu polis Singapura beberapa hari kemudian bahawa mereka sudah menahan Roach dan mendakwanya kerana membawa masuk wang bernilai lebih AS$20,00 ke Thailand.
Dia dikenakan beberapa tuduhan lain di Thailand kerana membawa masuk mata wang Singapura yang merupakan barangan terbatas di negara itu, serta menukar mata wang tersebut kepada baht.
Namun, Roach ditahan ketika berada dalam transit di Britain selepas Pasukan Polis Singapura (SPF) membuat permohonan untuk memberkasnya.
Dia mengaku bersalah di Thailand dan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan. Dia dibebaskan pada 10 Januari 2018 dan dihantar pulang ke Kanada sehari kemudian.
Selepas beberapa kali gagal mengelak daripada diekstradisi, Roach diserahkan kepada SPF. Ini selepas pihak berkuasa Singapura bersetuju dengan permohonan Britain agar Roach tidak dikenakan hukuman rotan jika didapati bersalah.
Mediacorp sudahpun menghubungi Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengesahkan bahawa hukuman sebat tidak akan dilaksanakan.
Dia didakwa di mahkamah pada Mac 2020 dan ditahan reman selama lebih setahun. Roach diwakili oleh peguam bela Anand Nalachandran.
Atas kesalahan merompak, dia boleh dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan sekurang-kurangnya enam sebatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.