Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perogol usia lebih 50 tahun tidak harus dikecuali dari sebatan rotan, tegas Presiden Halimah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Dec 2022 06:08PM Dikemas Kini : 19 Dec 2022 08:40PM
SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob pada Isnin (19 Dis) mencadangkan agar perogol berusia 50 tahun ke atas tidak dikecualikan daripada dikenakan sebatan rotan.

Beliau mengusulkan demikian menerusi satu catatan di Facebook yang menzahirkan kekecewaannya terhadap kes-kes baru-baru ini, di mana kanak-kanak dirogol di rumah mereka sendiri.

Di bawah Kanun Keseksaan Singapura, seorang perogol yang disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda atau dikenakan sebatan rotan.

Mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas bagaimanapun tidak boleh dikenakan sebatan rotan, tetapi boleh dihukum penjara lebih lama sebagai ganti.

Pada September tahun lalu, Anggota Parlimen (AP) mencadangkan agar usia bagi hukuman sebatan rotan dinaikkan.
Pada Isnin (19 Dis), Presiden Halimah mengutarakan idea itu sekali lagi menerusi satu catatan Facebook: "Perogol tidak patut dikecualikan hanya kerana mereka berusia 50 tahun. Adalah ironik mereka dapat terlepas daripada kesakitan akibat dirotan walaupun mereka menyebabkan trauma teruk dan kerosakan yang tidak sekali-kali dapat dipulihkan, terhadap mangsa yang terpaksa melaluinya seumur hidup."

"Dalam sesetengah kes, perbuatan merogol berlaku lebih awal namun hanya dilaporkan setelah pelaku menjangkaui usia 50 tahun. Sudah tiba masanya untuk menyemak undang-undang ini," katanya.

"Ia adalah tanggungjawab kami untuk melindungi anak-anak kita dan kita tidak boleh mengecewakan mereka."

Minggu lalu, Mediacorp melaporkan kes seorang lelaki 54 tahun yang dihukum penjara kerana merogol anak perempuannya berulang kali sejak dia berusia 10 tahun.

Pada November, seorang lelaki mengaku mencuba merogol anak perempuannya yang berusia empat tahun, sementara seorang lagi bapa dibicarakan kerana didakwa mengajar anak perempuannya melakukan perkara tidak senonoh sejak usia lapan tahun sebelum merogolnya ketika berusia 12 tahun.

Presiden Halimah Yacob berkata hukuman berat ke atas pesalah adalah penting namun ia tidak mencukupi.

"Kita harus mencari cara lain untuk membantu anak-anak kita dan menghalang mereka daripada menjadi mangsa kepada perogol sedemikian," tulis Presiden Halimah.

Presiden Halimah berkata kes yang dilaporkan mengikut satu corak tertentu: Mangsa diajar oleh pesalah yang merupakan bapa, bapa angkat atau saudara lelaki lain; dan dari usia yang muda supaya mereka menganggap perkara tidak senonoh yang dilakukan terhadap mereka - malah bertahun-tahun lamanya dalam sesetengah kes - adalah perkara biasa.

Sebahagian mangsa hanya menyedari perbuatan tersebut adalah salah setelah menghadiri kelas pendidikan seksual di sekolah, tambah Presiden Halimah.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan