Skip to main content

Singapura

Perniagaan tidak terjejas, meski terkait GISBH, kata Pengurus Restoran Mihrimah

Anggaran Waktu Membaca:
Perniagaan tidak terjejas, meski terkait GISBH, kata Pengurus Restoran Mihrimah

(Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Perniagaan di Restoran Mihrimah yang terletak di 742 North Bridge Road kekal seperti biasa.

Demikian menurut pengurus restoran itu, Encik Abdul Muiin Mohamed Johan yang dihubungi wartawan Nurhelmy Hakim.

Baru-baru ini, restoran itu dikaitkan dengan syarikat dari Malaysia, Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.

Ada desakan daripada sebilangan anggota masyarakat agar perniagaan restoran itu diboikot.

''

(Gambar: Facebook/BERITAmediacorp)

Ketika wartawan Nurhelmy Hakim mengunjungi Restoran Mihrimah sekitar 11.00 pagi tadi (17 Sep), ia penuh dengan pelanggan yang datang untuk makan tengah hari.

"Alhamdulillah, sekarang ini tiada masalah. Reaksi masyarakat selepas kenyataan media kami adalah positif. Mereka terus menyokong kami dan tidak melihat sebarang isu selepas kenyataan tersebut. Kami tidak ada masalah apa-apa, kami akan teruskan seperti biasa," kata Encik Muiin melalui panggilan telefon.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad (15 Sep), Restoran Mihrimah juga menyatakan keprihatinan mereka terhadap potensi kesan reputasi terhadap perniagaan mereka.

PERANAN GISBH SELAKU PENASIHAT PERNIAGAAN RESTORAN MIHRIMAH

Dalam kenyataan media yang sama, pihak restoran menjelaskan bahawa GISBH hanya berperanan sebagai penasihat perniagaan.

Encik Muiin memberitahu BERITA Mediacorp bahawa GISBH telah berperanan sebagai penasihat perniagaan itu sejak 2016.

Namun, timbul kekeliruan mengenai logo GISBH yang tertera pada papan nama restoran.

'
(Gambar: Facebook/Mihrimah Restaurant)


Ini penjelasan Encik Muiin.

"Jawapannya sudah ada di kenyataan media. Yang logo, memang pada saya, itu semua tidak ada jawapan. Dalam kenyataan media, itu yang terkini. Kalau setakat logo, kalau saya hendak letak logo sesiapapun itu memang hak saya kan? Itu jawapan saya."

Mengenai kaitan GISBH dengan ajaran dan fahaman Kumpulan Al-Arqam yang diharamkan di Selangor melalui pewartaan tiga fatwa, Encik Muiin sekadar berkata: "Kalau yang itu saya kurang pasti, saya tidak tahu, saya tidak pernah dengar."
 

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita