Skip to main content

Singapura

Perniagaan SG rancang manfaatkan pembayaran rentas sempadan sedang jumlah pelancong meningkat

Anggaran Waktu Membaca:
Perniagaan SG rancang manfaatkan pembayaran rentas sempadan sedang jumlah pelancong meningkat

Terminal NETS FlashPay di Pusat Penjaja Tanjong Pagar. (Gambar: NETS)

SINGAPURA: Sedang jumlah pendatang ke Singapura semakin meningkat selepas pandemik, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menjangkakan lebih banyak urus niaga pembayaran rentas sempadan bernilai lebih tinggi.

Bank pusat menyatakan ia menyaksikan "peningkatan yang baik" dalam pengunaan kaedah pembayaran sedemikian, yang membenarkan pengguna membuat pembayaran menggunakan kod QR atau pindahan PayNow ke negara lain.

Ini bermakna pengguna boleh membuat pembayaran dengan telefon bimbit, dan tidak perlu ke pengurup wang atau mengaktifkan kad kredit sebelum melancong.

Sebagai contoh, menurut MAS, pembayaran ke Thailand menerusi PayNow-PromptPay, meningkat empat kali ganda dalam suku pertama tahun ini, berbanding tiga tahun lalu ketika kemudahan itu dilancarkan.

Pada masa ini, selain Thailand, Singapura mempunyai ketersambungan pembayaran, antara penduduk dengan penduduk dan juga antara pelanggan dengan penjual, dengan negara seperti Malaysia, Indonesia, China dan India.

Pelanggan boleh membuat pembayaran rentas sempadan kepada peniaga menggunakan PayNow dan DuitNow.

Perniagaan juga sedang merancang untuk menggunakan cara pembayaran demikian, dengan seorang peniaga memberitahu Mediacorp bahawa ia membantu menampung kenaikan kos dan mengekalkan harga penjualan berdaya saing.

BAYARAN RENTAS SEMPADAN NAIK 5 KALI GANDA DI KOUFU

Syarikat makanan dan minuman Koufu, yang terkenal dengan perniagaan medan seleranya, menawarkan pelanggannya pilihan untuk membayar melalui kod QR NETS.

Ia menjadi kaedah pembayaran pilihan utama pelancong dari China dan Malaysia, yang boleh menjimatkan yuran pertukaran mata wang asing.

Dari 2022 hingga 2023, jumlah pembayaran rentas sempadan yang dibuat menggunakan kod QR NETS di Koufu meningkat lima kali ganda daripada kira-kira 20,000 kepada 100,000.

Sehingga 60 peratus pembayaran rentas sempadan Koufu dibuat melalui aplikasi WeChat dan Alipay China, kata ketua operasi bahagian medan selera dan kedai kopi Koufu, Encik Chan Jinkai.

CABARAN MELUASKAN BAYARAN RENTAS SEMPADAN

Meskipun Singapura merancang untuk meluaskan sistem pembayaran rentas sempadan di seluruh Asia Tenggara, usaha tersebut sangat mencabar.

Beberapa faktor yang harus dipertimbangkan dalam cara pembayaran itu adalah sama ada sistem pembayaran di kedua-dua negara sesuai secara teknikal dan memastikan ia mematuhi undang-undang dan peraturan negara, kata Cik Ong-Ang Ai Boon, pengarah Persatuan Bank di Singapura.

Untuk meluaskan cara pembayaran tersebut di luar rantau ini, MAS sedang bekerjasama dengan Pusat Hab Inovasi BIS. Menghubungkan pelbagai sistem pembayaran pada skala lebih besar akan membawa kepada pembayaran rentas sempadan lebih cepat, murah dan mudah diakses.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita