Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perniagaan, masyarakat ambil langkah jaga-jaga kurangkan risiko banjir

Anggaran Waktu Membaca:
 Perniagaan, masyarakat ambil langkah jaga-jaga kurangkan risiko banjir

Pegawai PUB jalani latihan pastikan kakitangan tahu cara tangani kemungkinan banjir kilat.


SINGAPURA: Hujan lebat berserta guruh dijangkakan pada kebanyakan hari dalam beberapa minggu mendatang sedang rantau ini berdepan musim monsun, menurut Khidmat Meteorologi Singapura.

Agensi air kebangsaan PUB juga sudah mengenal pasti 700 rumah dan perniagaan sebagai terletak di kawasan mudah banjir dan 23 tompok banjir lain di merata negara.

Kawasan mudah banjir merujuk kepada kawasan rendah yang ada sejarah banjir, manakala tompok banjir adalah lokasi yang bukan terletak di kawasan rendah tetapi pernah mengalami banjir kilat.

Menurut PUB, pihaknya berusaha mengurangkan jumlah kawasan yang mudah dilanda banjir.

Sejak 2022, PUB mengagihkan sekitar 16,000 peranti perlindungan banjir kepada mereka yang tinggal dan bekerja di kawasan sedemikian. PUB merancang untuk mengagihkan lagi 800 menjelang musim tengkujuh sekarang.

Sekalipun demikian, lembaga berkanun itu memberi amaran bahawa semua rakyat Singapura perlu bersiap sedia, memandangkan banjir kilat mungkin berlaku secara tidak dijangkakan, terutama sekali semasa hujan lebat.

PUB menyaksikan kenaikan jumlah orang yang mahu dimaklumkan tentang cuaca ekstrem.

Jumlah orang yang melanggani saluran Flood Alerts (Amaran Banjir) di platform Telegram PUB meningkat sekitar 5 peratus sejak tiga bulan lalu kepada lebih 19,000.

Dengan Monsun Timur Laut dijangka melandaa pada hujung November atau awal bulan depan, PUB sedang menjalankan latihan dengan kakitangannya dan meneroka inovasi baharu untuk menangani kemungkinan berlaku banjir kilat.

PUB juga menggalak syarikat-syarikat dan masyarakat supaya mengambil langkah-langkah perlindungan banjir masing-masing.

KURANGKAN RISIKO BANJIR

Salah satu perniagaan yang sudah melakukan demikian ialah Changi Sailing Club.

Ia sebelum ini kerap mengalami banjir semasa musim monsun, yang menjejas kapal layar dan kadangkala menghalang mereka daripada melakukan kegiatan secara selamat.

Pada Oktober tahun lalu, kelab itu membina longkang lebih besar untuk menangani aliran air hujan dan sejak itu premisnya tidak lagi dilanda banjir.

"Kami naik taraf laluan luncur kami, gunakan lebih banyak konkrit untuk meratakan lantai dan tinggikan sedikit kecerunan untuk memastikan air mengalir ke arah yang betul," kata pengurus besar Choy Yi Hong.

Oleh kerana cuaca buruk juga merosakkan tali tambat, syarikat itu meningkatkan kemahiran pekerjanya menerusi kursus-kursus menyelam supaya mereka boleh memeriksa peralatan dalam air dua kali setahun.

Selain melengkapkan pekerja dengan kemahiran tambahan, Encik Choy berkata ini juga membantu syarikat menjimatkan kos kerana ia tidak lagi perlu membayar penyelam dari luar yang mungkin tidak begitu tahu mengenai aturan kerja kelab tersebut.

Beliau menggalak firma-firma lain untuk melabur dalam langkah-langkah pencegahan banjir, bermula dengan pemeriksaan untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi di premis mereka.

"Perubahan iklim itu benar. Ramai orang tidak rasakannya, tetapi dari perspektif perniagaan seperti kami, kami lebih kerap merasakannya," kata Encik Choy.

"Kami betul-betul di tepi pantai, kami lihat ribut datang, kami lebih mudah alami monsun dalam dua tiga tahun kebelakangan ini, kelab ini menyaksikan hujan turun lebih lebat dan ribut lebih kencang."

Bagi Encik Tan Chiew Koon pula yang tinggal di Pasir Panjang sering mengalami banjir, beliau dan jiran-jiranya terus berusaha membuat persiapan menangani banjir dan melindungi harta benda mereka.

“Disebabkan pemanasan global, masalahnya bukan hanya menjejas penduduk tempatan. Ini memerlukan usaha yang lebih besar. Sebagai masyarakat, kita semua perlu bekerjasama … untuk mengurangkan kesan banjir.”
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan