Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Perniagaan HBB terjejas dengan lebih ramai kembali bertugas di pejabat

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kesukaran mencari pekerjaan dan permintaan meningkat dek kelaziman dengan budaya membeli daripada perniagaan dari rumah (HBB) sewaktu pandemik COVID-19 mendorong lebih ramai menceburi bidang tersebut.

Menurut perangkaan Dewan Perusahaan dan Perniagaan Melayu Singapura (DPPMS), jumlah pemilik HBB semakin bertambah dan jumlah yang menyertainya juga meningkat hampir 30 peratus berbanding tahun lalu.

Pengarah Eksekutif DPPMS, Azrulnizam Shah berkata: "Di DPPMS, kami lihat ada jumlah meningkat dalam peniaga HBB yang menjadi anggota DPPMS. Pada 2021 kami ada lebih 70 perniagaan yang menjadi anggota, dan sekarang ini sudah menjadi hampir 90."

Meskipun lebih ramai yang tertarik untuk berniaga dari rumah, ada juga cabaran-cabaran baru yang muncul dengan keadaan pandemik yang lebih stabil kini.

PERNIAGAAN MEROSOT DENGAN RAMAI KEMBALI BERTUGAS DI PEJABAT

Selepas meraih diploma spesialis dalam jurusan Pengurusan Jagaan Bersepadu daripada Politeknik Republik pada September lalu, Nurabella Mohamad Amran menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.

Ini lebih-lebih lagi kerana belia, 23 tahun itu tiada pengalaman bekerja.

Lantaran itu, Cik Nurabella bertekad untuk memulakan perniagaan dari rumah, menjual Nasi Lemak Goreng.

"Saya mulakan perniagaan saya pada 1 April 2022. Saya baru habis diploma spesialis. Susah nak dapat kerja sebabkan pandemik COVID-19. Selepas diploma itu saya tidak bekerja sebab saya pun tidak ada apa-apa pengalaman," kata Cik Nurabella.

"Sebenarnya dari zaman politeknik lagi saya ingin mulakan perniagaan dengan ibu saya, itu satu impian saya - untuk membuka gerai penjaja. Mungkin inilah masanya untuk saya menyelami bidang perniagaan," tambah beliau.

Meskipun baru sahaja dibuka, Cik Nurabella merasakan bahawa perniagaannya - Nasi Lemak Goreng SG - mendapat sambutan awal menggalakkan.

Nurabella berkata: "Saya tempah 1,000 kotak dan dalam sebulan ini bekalan kotak-kotak sudah nak habis. Pengikut (di Instagram) pun sudah mencecah 1,000 orang. Saya tidak sangka langsung. Dulu pengikut hanya orang yang kita kenal saja."

Nurabella juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa sebahagian besar pesanannya adalah pesanan pukal, ada yang mencecah sehingga 50 kotak dalam satu pesanan.

Namun dengan lebih ramai yang kembali bertugas di pejabat, ia menjejas perniagaan dari rumah Nurabella.

Dia berkata: " Kita lihat pesanan lebih banyak adalah pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Mungkin ini pun sebab mereka di rumah. Kalau mereka di pejabat pun mereka mesti makan berdekatan di tempat kerja. Mungkin tidak ada masa pun nak buat pesanan pesanan atau nak ambil makanan mereka dari sini."

Dalam bulan-bulan mendatang terutama sekali dengan cuti sekolah pada bulan depan, Cik Nurabella juga menjangkakan perniagaannya tidak akan memuncak pada tahap yang dicapai pada bulan puasa lalu.

"Mungkin perniagaan akan kekal sebagaimana prestasi pada Hari Raya. Kalau waktu Hari Raya kita dapat sekitar 50 pesanan seminggu, mungkin minggu-minggu mendatang, akan naik paling banyak sekitar 5 peratus sahaja," ujar Cik Nurabella.

SUKAR IMBANGI MASA ANTARA PERNIAGAAN HBB DAN TUGAS SEPENUH MASA

Keadaan para pekerja kembali ke pejabat ini bukan sahaja menjejas dari segi jumlah tempahan, malah bagi para peniaga HBB bukan sepenuh masa pula, mengimbangi masa dengan tuntutan kerjaya juga membawa satu cabaran buat mereka.

Antara yang terjejas ialah Shaifulnizam Abdullah, 38 tahun.

Lebih dikenali sebagai Monzie Danial, beliau memulakan perniagaan The Halal Bartender yang menjual air 'mocktail' pencuci mulut sejak akhir tahun lalu.

Pada waktu itu, Encik Shaiful baru sahaja berhenti bertugas secara sepenuh masa.

"Bila saya memulakan jenama THB saya, saya belum kerja sepenuh masa. Saya pun baru pulih daripada COVID. Dari situ saya mulakan perancangan. Berdasarkan pengalaman juga, saya cuba aturkan bagaimana untuk mulakan HBB, saya berhubung dengan kawan-kawan juga. Tanyakan untuk tip dan kenalan," kata Encik Shaiful.

Lantaran itu juga, Encik Shaiful dapat mengendalikan perniagaannya itu 24 jam sehari.

"Sebelum kerja sepenuh masa, saya boleh membuat penghantaran hari-hari. Saya pun boleh mengambil pesanan saat-saat akhir. Ada juga satu atau dua pesanan pada waktu pagi dan inginkan penghantaran petang itu juga. Jadi saya ada masa juga," jelas bapa kepada dua orang anak itu.

Sejak memulakan perniagaannya, Encik Shaiful menerima pesanan sehingga 100 botol setiap bulan sehingga Februari lalu.

Namun, sejak Mac lalu, beliau sudahpun mendapat pekerjaan sepenuh masa di PARKROYAL COLLECTION Marina Bay.

Ini bermakna beliau kini tidak mempunyai banyak masa untuk mengendalikan perniagaannya kerana perlu ke tempat kerja.

Encik Shaiful berkata: "Sekarang saya kerja lima hari seminggu. Saya cuba rancang berdasarkan waktu bekerja saya. Kalau pada hari saya bekerja, saya perlu buat penghantaran pada waktu pagi sebab saya kerja petang. Kalau sekarang orang yang tempah pada waktu pagi dan ingin penghantaran pada waktu petang, saya terpaksa cakap tak boleh."

"Sekarang sudah mula bekerja sepenuh masa, pesanan yang saya boleh terima pun juga kurang sehingga 20 hingga 30 peratus," tambah Encik Shaiful.

Beliau juga memberitahu BERITAmediacorp bahawa para pemilik HBB sepertinya akan menghadapi cabaran, lebih-lebih lagi dengan ramai orang sudah kembali bertugas di pejabat dan sekatan COVID-19 pun sudah dilonggarkan.

Encik Shaiful berkata: "Sewaktu Hari Raya dan bulan puasa, ada bazar Ramadan, jadi HBB yang tidak ambil serta dalam bazar Ramadan, mereka harus bersaing juga dengan mereka di bazar. Sekarang banyak kedai buka, pasar malam pun sudah buka mana-mana, jadi ini antara cabaran untuk HBB perlu hadapi dan bagaimana kita boleh menjadi lebih kreatif dan kembangkan perniagaan. "

Sebagaimana Cik Nurabella, Encik Shaiful juga menjangkakan perniagaannya akan mula merosot bulan depan dek cuti sekolah.

TANGANI CABARAN DENGAN STRATEGI PEMASARAN DAN TEKNOLOGI

Berkenaan trend perniagaan dari rumah (HBB) yang masih kekal kukuh sehingga kini, pihak DPPMS mengatakan bahawa ia bukanlah satu trend yang mengejutkan.

Pengarah Eksekutif DPPMS, Azrulnizam Shah berkata: "Trend HBB memang sudah meningkat sebelum pandemik. Dengan pandemik, kami melihat bahawa orang ramai semakin ingin membeli dan mereka tidak ingin menukar semula, seperti berjalan ke kedai kerana ia lebih mudah."

Selain itu, kurangnya kesan inflasi yang ditanggung para peniaga HBB berbanding peniaga di kedai-kedai, menjadikan industri itu lebih menarik bagi yang baru berjinak-jinak.

"Kalau kita lihat di kedai-kedai makanan, mereka menghadapi banyak kesukaran kerana ada peningkatan kos seperti kos tenaga kerja, kos sewa, kos bahan mentah. Ini semua semakin meningkat tetapi para peniaga HBB, mereka selalunya tidak menggunakan daya tenaga manusia yang lebih dari diri sendiri, mereka tidak membayar sewa kerana beroperasi dari rumah," jelas Encik Azrulnizam.

Bagi melawan arus penjualan yang merosot, Encik Azrulnizam berkata bahawa para peniaga perlu rajin memanfaatkan platform-platform jual beli online.

"Dalam pengalaman bekerja dengan syarikat-syarikat teknologi ini, mereka pun sudah bertukar minda. Dengan melihat industri HBB semakin meningkat, mereka pun semakin senang bekerja dengan HBB kerana mereka tahu ada keperluan untuk HBB. Jadi nasihat saya adalah kerap menggunakan dan kerap mendalami ilmu bagaimana menggunakan platform teknologi ini," ujar beliau.

Selain itu, Encik Azrulnizam juga menasihatkan agar para peniaga teruskan usaha pemasaran mereka terutama dalam meningkatkan kepercayaan para pelanggan demi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan